, ,

Jom Belajar Kaedah Fiqh Al-Masyaqqah Tajlibu Al-Taysir

Al-masyaqqah tajlibu al-taysir termasuk antara lima kaedah fiqh yang disebut sebagai al-qawaid al-kubra.

Kaedah ini bermaksud kesukaran membawa keringanan.

Secara tidak langsung, kaedah ini memberikan gambaran bahawa Islam mempunyai ciri al-wasatiyyah iaitu kesederhanaan, jadi segala perintah dalam agama sesuai dengan batas kemampuan manusia.

Malah, Islam juga agama yang waqi’ iaitu berpijak di bumi yang nyata dan langsung tidak membebankan manusia.

Jadi, segala bebanan di luar kemampuan akan digantikan dengan keringanan yang dipanggil juga sebagai al-rukshah.

Bagi kaedah ini, apabila seseorang berada dalam kesusahan, maka harus bagi orang tersebut melakukan pekara-perkara yang tidak dibenarkan sebelum ini.

Kesusahan yang dimaksudkan ialah yang memberi kemudaratan kepada manusia, bukannya kesusahan disebabkan malas atau sengaja.

Antara dalil rujukan bagi kaedah ini adalah seperti berikut:

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ

“…Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…”

(Surah al-Baqarah 2:185)

Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah agama yang mudah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Ada beberapa contoh aplikasi kaedah ini dalam kehidupan seharian, antaranya:

(a) Perempuan mengandung dan ibu yang sedang menyusukan anak diberi keizinan untuk berbuka puasa jika puasa tersebut boleh membahayakan diri atau anaknya.

(b) Orang yang bermusafir diharuskan untuk berbuka puasa dan juga melakukan solat jamak qasar.

(c) Orang yang sakit atau luka sehingga tidak boleh kena air pada badannya, maka dibenarkan tayamum bagi menggantikan wudhuk.

Wallahu’alam.