Ketika kaum Muslimin dalam perjalanan ke perang Tabuk, para sahabat melaporkan kepada Rasulullah bahawa Abu Dzar tertinggal kerana untanya berjalan lambat. Kemudian, Baginda menyatakan: “Biarkan saja dia, jika dia baik pasti Allah akan mendatangkan dia bersama kamu, dan jika tidak seperti itu, maka sungguh Allah telah melegakan kamu dari dia.”
Unta Abu Dzar berjalan lambat, bukannya disebabkan Abu Dzar sendiri tidak mahu menyertai peperangan. Lalu, Abu Dzar turun lalu berjalan kaki sambil membawa bekalannya. Dia terus berjalan kaki mengikut jejak Rasulullah.
Ketika Rasulullah singgah di suatu tempat, ada seorang sahabat melihat Abu Dzar dari kejauhan. Lalu, Baginda menyatakan: “Mudah-mudahan Abu Dzar.” Para sahabat menyatakan: “Wahai Rasulullah, demi Allah dia Abu Dzar.”
Kemudian Rasulullah bersabda: “Semoga Allah merahmati Abu Dzar yang berjalan seorang diri, mati seorang diri dan dibangkitkan seorang diri.”
Setelah beberapa tahun, ketika zaman pemerintahan khalifah Uthman bin Affan, Abu Dzar ada menyampaikan wasiat kepada isteri dan hamba sahayanya, “Jika aku meninggal nanti, mandikan aku, kafankan aku kemudian bawalah aku di pinggir jalan, jika ada rombongan pertama yang melintasi kamu, katakan, ‘Ini (jenazah) Abu Dzar’.”
Ketika Abu Dzar meninggal dunia, isteri dan hamba sahayanya melakukan sedemikian. Ketika ada rombongan tiba, ada Ibn Mas’ud bersama rombongan tersebut. Setelah mengetahui bahawa itu adalah jenazah Abu Dzar, maka Ibn Mas’ud menangis dan berkata: “Benar apa yang disabdakan Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam: “Semoga Allah merahmati Abu Dzar yang berjalan seorang diri, mati seorang diri, dan dibangkitkan seorang diri”.”
Lalu, Ibn Mas’ud turun daripada kenderaan dan menguruskan jenazah Abu Dzar.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)