, ,

Indah Aturan Allah Untuk Dia Bangkit Dari Masa Silamnya

Aku merenung jauh ke dasar silam yang sangat kelam hinggalah aku temui potret-potret lama yang sungguh sarat dengan kenangan.

Aku coretkan kisah ini bukan mahu menagih simpati tapi aku mahu mengajak kalian melihat indahnya aturan Tuhan.

Aku dilahirkan di sebuah hospital yang terletak di Negeri Sabah. Namun, detik kelahiranku bukanlah seindah cerita kalian yang lain. Saat kelahiranku merupakan titik hitam dalam perhubungan ibu dan ayahku. Ikatan pernikahan yang hanya beberapa tahun itu akhirnya terputus dengan lafaz talak.

Seringkali aku tertanya, bukankah lahirnya zuriat itu akan mengeratkan lagi kasih sayang suami isteri? Tapi mengapa lahirnya aku atas muka bumi ini hanya memisahkan dua hati?

Allahu, sudah acapkali empangan air mataku pecah apabila mengenangkan kenangan aku yang satu ini.

Beberapa bulan aku dilahirkan, aku diserahkan pula kepada ibu saudara yang merupakan adik kepada ibuku.

Namun, disebabkan ibu saudaraku juga bukanlah orang yang senang dan mempunyai anak yang ramai, aku sekali lagi beralih tangan kepada pasangan suami isteri yang tinggal tidak jauh dengan rumah ibu saudaraku dan tidak mempunyai zuriat ketika itu.

Mereka ialah ibu bapa angkatku yang menjadi syurga duniaku kini. Walaupun serba kekurangan dengan hanya menjalani hidup ini dengan hasil kampung, mereka berdua menjagaku dengan penuh kasih.

Ketika insan yang mengandungkan aku tidak berupaya untuk membesarkan aku, Allah hadirkan pasangan suami isteri yang begitu cekal dan kental hatinya dalam membesarkan anak yang langsung tiada pertalian darah dengan mereka ini.

Sebenarnya, aku langsung tidak berpeluang mendapatkan segarnya susu ibu itu melainkan hanya meminum air teh ketika aku perlu disusukan. Beruntung kalian, dibesarkan dengan penuh kesempurnaan dan erat dalam dakapan ibu ayah.

Masa terus berjalan hinggalah aku beranjak menjadi seorang kanak-kanak perempuan yang amat bahagia membesar bersama mereka.

Sifat penyayang bapa cukup menjadikan aku insan yang amat berbudi dalam setiap tindakan dan tutur kata. Sifat sabar mama amat membuatku bersyukur kerana berpeluang menjadi anak tunggal perempuan mereka.

Kesungguhan bapa dan mama dalam membesarkanku kadangkala buat aku lupa bahawa aku ini bukan anak kandung mereka. Tiada istilah anak angkat dalam keluarga kecil kami. Aku cukup bahagia menjadi anak perempuan mereka.

Semasa aku berusia 11 tahun, mama telah dikurniakan seorang zuriat lelaki yang sangat comel. Mulalah aku diulit rasa resah dan gelisah kerana kedudukanku sebagai anak tunggal kesayangan akan tergugat.

Tambahan pula, anak lelaki tersebut merupakan hasil perkahwinan mereka yang sudah lama dinanti. Bayi itulah yang dikandung selama 9 bulan, bukan seperti aku yang cuma beralih tangan daripada ibu kepada ibu saudara dan akhirnya barulah kepada bapa dan mama.

Allahu, walaupun ketika itu aku masih kecil, aku akui ada perasaan tidak senang itu terhadap adik lelaki yang baru dilahirkan itu.

Namun, anggapanku itu cumalah mainan syaitan yang mahu menjadikan aku seorang kakak yang tidak baik.

Layanan mama dan abah sedikit pun tidak kurang terhadapku kerana kehadiranku dalam hidup mereka tetap sebagai anak sulung yang membawa sinar cahaya menjadikan mereka bahagia bergelar mama bapa saat belum punya zuriat.

Subhanallah, besarnya rahmat Tuhan itu.

Kelahiran adik lelakiku membuatkan keluarga kecil kami menjadi makin sempurna. Tiada lagi rasa curiga yang cuba menghalangku mencintainya sebagai ahli keluarga yang baru.

Semakin hari, aku semakin menganjak ke usia remaja. Segala keperluanku ditanggung dengan baik sehingga aku peroleh kejayaan yang boleh membanggakan mereka.

Aku memperoleh 5A dalam UPSR semasa di sekolah rendah tapi tidak ada rezeki untuk menduduki PMR semasa di tingkatan 3.

Selepas UPSR, aku pernah ditawarkan untuk meneruskan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sabah, namun disebabkan beberapa dokumen peribadi yang tidak dapat disediakan, aku akhirnya bersekolah di sebuah sekolah swasta.

Allahu, apakah aturan ini yang terbaik untukku ya Allah?

Sekali lagi, kesedihan yang sudah lama aku kuburkan, kembali hidup mengenangkan nasib diri yang serba kekurangan ini.

Disebabkan dokumen mengenai urusan penjagaanku sebelum ini tidak diurus dengan sempurna, maka terdapat beberapa dokumen yang perlu ada tidak dapat aku penuhi.

Aku nekad, aku sendiri yang akan uruskan semua perkara itu. Perkara remeh begini bukanlah menjadi penghalang untukku melangkah lebih jauh melakar kejayaan buat bapa dan mama.

Beberapa kali aku ke mahkamah bagi menyempurnakan urusan angkat sumpah mengenai penjagaan ke atas diriku.

Allah Maha Besar.

Akhirnya, segala kesulitan yang membelenggu aku kini terlerai. Aku berpeluang meneruskan pengajian di tingkatan empat dan lima di sekolah kerajaan.

Walaupun bukanlah berstatus asrama penuh dan sebagainya, aku tetap bersyukur kerana setidaknya aku tidak membebankan bapa dan mama dengan yuran di sekolah swasta yang agak tinggi.

Fokus aku kini hanyalah menuntut ilmu supaya aku dapat mencapai cita-cita. Walaupun kadangkala memori silam sering berputar di layar minda, namun kata-kata semangat dan nasihat mama dan bapa cukup menenangkan hatiku yang gundah.

Lihatlah, baikkan Allah?

Saat Dia hadirkan rasa kecewa untuk menghadapi hidup dek masa lalu, Allah hadirkan juga bersamanya syifa’ (penawar) yang amat mujarab. Bagi aku, bapa dan mama serta adikku adalah penawar pada setiap duka laraku.

Aku menamatkan zaman persekolahan dengan begitu cemerlang. Alhamdulillah, rezeki daripada Allah yang mengizinkan aku memperoleh 9A dalam peperikasaan SPM.

Episod dukaku tidak lagi menghantui diriku seperti dahulu. Aku semakin berani untuk melangkah melestari mimpi. Indahnya aturan Allah itu, aku akhirnya kini sedang menghabiskan sisa tahun akhir menuntut ilmu di sebuah maktab perguruan di semenanjung Malaysia.

Walaupun berjauhan sementara dengan keluarga kecilku di Sabah, aku tetap bahagia kerana di sini aku dikelilingi dengan insan yang cukup baik.

Aku juga punya sahabat baik di sini. Bersamanyalah aku tahu pahit dan manisnya persahabatan. Dia mendakapku saat sedang berduka, dia menjadi telinga kala aku bercerita dan dia memimpin tangan saat jauh terleka.

Wallahi, tiada lagi yang mahu aku sesali kerana aku cukup yakin bahawa Allah lebih tahu setiap cerita yang terbaik untuk kita.

Namun, sebelum aku akhiri kisah hidupku ini ingin sekali aku nukilkan puisi buat ayah yang tidak pernah aku tatap sejak kelahiranku. Aku langsung tidak tahu di mana ayah berada.

Cuma namanya sahaja kuusung ke mana-mana. Jika masih di dunia, semoga rahmat Allah bersamamu, jika sudah di sana, ku titipkan doa semoga ayah bersama orang-orang yang soleh.

Ayah,
Aku tidak pernah tahu apa dosaku,
Hingga kau langsung tidak mengendahkanku,
Aku puterimu,
Ingin sekali menatap wajahmu,
Biar cuma dalam mimpi,
Walau kau tidak sudi.

Ayah,
Kau dahulu pernah kurindu,
Kau dahulu juga pernah ku dendam,
Aku tidak pernah tahu apa dosaku,
Lantas aku ditinggal pergi.

Ayah,
Kini aku dewasa,
Aku mengenal erti cinta,
Biarlah kita tidak bersua,
Tiada lagi kesumat di jiwa,
Pintaku pada Tuhan,
Moga kau baik-baik saja,
Bukan saja di dunia,
Tetapi,
Di sana juga.

Terima kasih Allah menghadirkan insan-insan yang dapat sempurnakan hari-hariku di atas muka bumiMu ini. Setiap aturan itu telah Kau atur dengan rapi dan indah-indah belaka.

Semoga aku terus kuat untuk menebar pesona penuh cinta terhadap insan yang hadir dalam hidupku. Yakin dan percayalah bahawa Allah telah menyediakan jalan cerita yang terbaik untuk kita.

Bersyukur dan bersabar itu kuncinya.

“Mereka merancang (tipu daya), dan Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik perancangan.” (Surah Ali Imran, 3:54)

“Bersama kesulitan itu ada kemudahan, sekali lagi ditegaskan bahawa bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah Al-Insyirah, 5-6:94)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Hidayah binti Baharuddin. Sedang menyambung pengajian di Institut Bahasa, Kuala Lumpur. Boleh dapatkan pelbagai handmade casing yang cantik dan murah di Instagram dayangnoorfarizah.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.