,

Ummu Haram Binti Milhan – Syahid Di Pulau Cyprus

Siapa tahu seorang sahabat wanita telah mencatat nama sebagai salah seorang tentera yang menyertai misi ke Pulau Cyprus. Sebuah pulau terletak di tengah-tengah Laut Mediterranean.

Bukan itu sahaja, dalam misi tersebut beliau telah gugur syahid dan disemadikan di situ. Makamnya masih lagi boleh dikunjungi sehingga hari ini.

Mengapa Pulau ini penting untuk dikuasai?

Menurut Muawiyah bin Abu Sufyan iaitu gabenor kota Damsyik ketika itu, ancaman daripada tentera Rom akan menjadi lebih besar sekiranya pulau tersebut tidak dikuasai oleh umat Islam.

Maka, siapakah sosok sahabat wanita yang turut menyertai ekspedisi ini?

Ibu Saudara dan Isteri Sahabat Nabi

Ada pendapat mengatakan bahawa nama sebenar beliau ialah al-Rumaisha’. Lebih dikenali sebagai Ummu Haram.

Beliau berasal daripada kabilah Bani al-Najjar yang merupakan sebahagian daripada kabilah besar Khazraj di Madinah. Maka, secara tidak langsung beliau juga merupakan seorang wanita Ansar.

Seorang sahabat Nabi, Anas bin Malik yang terkenal ini merupakan anak saudaranya. Ibu Anas iaitu Ummu Sulaim dengan beliau merupakan saudara kandung.

Siapa yang tidak kenal dengan Anas bin Malik. Seorang pembantu Rasulullah SAW dan juga antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis.

Ummu Haram merupakan isteri kepada seorang lagi sahabat besar iaitu Ubadah bin Shamit. Suaminya itu menyertai setiap peperangan besar yang dipimpin oleh Rasulullah SAW seperti Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar, Hunain, dan Tabuk.

Bukan itu sahaja, ekspedisi jihad yang dilancarkan oleh para khalifah, Abu Bakar, Umar dan Uthman juga turut disertainya.

Didoakan Baginda

Rasulullah SAW sering berkunjung ke rumah Ummu Haram. Di situ terdapat Anas dan ibunya Ummu Sulaim. Memandangkan beliau merupakan ibu saudara susuan Rasulullah SAW, maka rumahnya sering dikunjungi oleh Baginda.

Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah menukilkan sebuah hadis yang sangat penting berkaitan Ummu Haram.

Hadis yang menjadikan beliau bersemangat untuk berjihad di jalan Allah SWT sebagaimana suaminya ini diceritakan sendiri oleh anak saudaranya, Anas bin Malik.

Suatu ketika, Rasulullah SAW singgah di rumah Ummu Haram. Ada pendapat yang mengatakan Baginda tidur sebentar di sana. Tidak lama selepas itu, Baginda terjaga lalu ketawa.

Baginda bersabda,

Saya telah ditunjukkan terdapat sekumpulan daripada umatku menaiki kapal berlayar di lautan yang berwarna kehijauan bagaikan para raja yang duduk di atas singgahsana!

Mendengar ucapan Rasulullah itu, Ummu Haram terus berkata,

Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah supaya saya menjadi salah seorang daripada mereka.

Rasulullah SAW membalas,

Sesungguhnya kamu tergolong dalam kalangan mereka.

Kemudian Baginda tidur kembali. Lalu terjaga dan ketawa seperti tadi. Ummu Haram bertanya lagi,

Apakah yang membuatkan tuan ketawa?

Baginda menjawab sebagaimana jawapan yang pertama tadi. Ummu Haram berkata,

Wahai Rasulullah, doakanlah saya untuk menjadi sebahagian daripada mereka.

Jawab Baginda,

Kamu akan menjadi orang yang terawal dalam kalangan mereka!

Ekspedisi ke Pulau Cyprus

Setelah mendengar perkhabaran daripada Rasulullah SAW, Ummu Haram terus mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Ubadah bin Shamit.

Beliau yakin akan dapat turut serta berjihad apabila berada di sisi seorang suami yang turut berjihad sama. Cukuplah sabdaan nabi itu membuat beliau yakin. Baginda tidak bercakap sia-sia.

Maka, Rasulullah SAW pun wafat. Abu Bakar al-Siddiq diangkat menjadi khalifah untuk mengurustadbir umat Islam. Kemudian diikuti dengan Umar bin al-Khattab.

Sepanjang pemerintahan kedua-dua orang khalifah ini, wilayah Islam berkembang pesat sehingga berjaya menguasai Parsi, Syam dan Mesir. Namun, tiada sebarang pertempuran laut berlaku ketika itu. Hanya pertempuran darat sahaja.

Setelah itu, Uthman bin ‘Affan menggantikan Umar setelah sebulat suara memilihnya. Muawiyyah bin Abu Sufyan ketika itu merupakan gabenor Syam.

Beliau mengetahui ancaman yang dibawa oleh tentera Rom yang datang melalui laut terhadap keselamatan wilayah Syam dan Mesir ketika itu. Maka, umat Islam perlu memiliki markas strategik untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku.

Malangnya, cadangan beliau untuk melancarkan ekspedisi jihad ke Pulau Cyprus ditolak oleh Khalifah Umar. Tambahan pula umat Islam masih lagi tidak biasa dengan pertempuran di lautan.

Akhirnya, cadangan yang sama diusulkan kepada Khalifah Uthman dan cadangan tersebut diterima.

Maka, berlayarlah beberapa buah kapal yang bertolak dari pelabuhan ‘Aka, Syam menuju ke Cyprus. Ketika itu, Ummu Haram turut serta bersama suaminya selain beberapa orang sahabat yang lain.

Setiba di sana, Ummu Haram tidak bernasib baik apabila beliau terjatuh daripada tunggangannya. Akibatnya beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di situ. Maka, termakbul sudah doa yang dipanjatkan oleh Nabi sebelum ini.

Kini, lokasi beliau disemadikan masih lagi terjaga rapi di Pulau Cyprus. Tempat tersebut dikenali sebagai Hala Sultan Tekke atau Masjid Ummu Haram.

Rujukan: Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.