,

Pemimpin Kaum Quraisy, Abu Sufyan Bin Harb Masuk Islam Ketika Fath Makkah

Sebelum tiba di Makkah, Rasulullah dan tentera Islam singgah di Marr Azh-Zhahran. Baginda memerintahkan tentera untuk menyalakan obor api sebanyak sepuluh ribu sebagai lambang ramainya tentera Islam untuk menghadapi kaum Quraisy.

Ketika itu, Abbas bin Abdul Muttalib menunggang keldai milik Rasulullah menuju ke Makkah bagi memberitahu kaum Quraisy supaya mereka meminta jaminan keamanan sebelum Baginda memasuki Makkah.

Lalu, Abbas ketemu Abu Sufyan bin Harb bersama dua orang lagi. Abbas menerangkan bahawa Rasulullah dan tentera Islam akan memasuki Makkah, kemudian Abbas mencadangkan supaya Abu Sufyan mengikutnya naik di belakang keldai untuk ketemu Rasulullah bagi meminta jaminan keamanan.

Abu Sufyan iaitu pemimpin Quraisy itu akur, lalu mengikut Abbas. Ketika sampai dalam kawasan tentera Islam, kata Umar: “Wahai Rasulullah, ini Abu Sufyan, dia tertangkap tanpa perjanjian apa pun, biarkan aku menebas lehernya.” Namun, Abbas berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah memberinya jaminan keamanan.”

Setelah berlaku perbualan antara Rasulullah dan Abu Sufyan, akhirnya Abu Sufyan mengucap dua kalimah syahadah dan masuk Islam.

Abbas memberikan cadangan: “Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah orang yang menyukai kebanggaan diri, maka berilah sesuatu kepadanya.”

Kemudian, Rasulullah menyahut: “Ya. Sesiapa memasuki rumah Abu Sufyan dia akan aman. Sesiapa memasuki rumahnya dan menutup pintu dia akan aman, dan sesiapa memasuki Masjid dia akan aman.”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)