,

Ibrah Daripada Kisah Tawakal Maryam Ketika Ingin Bersalin Diiringi Dengan Usaha

pengajaran perang hunain

Semasa Maryam berasa sakit untuk melahirkan Nabi Isa, ketika bersandar pada pohon kurma, Malaikat Jibril menyeru: “Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu, dan goncangkan pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.” (Surah Maryam 19:24-25)

Ok, cuba korang fikir… kalau nak ikutkan, boleh saja Allah terus beri buah kurma kepada Maryam, tetapi diperintahkan juga Maryam untuk goncangkan dulu pohon kurma. Kenapa?

Hikmahnya adalah… sebagai suatu simbolik bahawa perlu ada usaha daripada kita terlebih dahulu dalam melakukan sesuatu, jangan terus tawakal atau serah pada Allah tanpa kita sendiri berbuat apa-apa.

Ingat ya, usaha dulu lepas tu baru tawakal. Jangan terus tawakal tanpa ada usaha. Faham tak?

Saya bagi analogi yang sangat mudah. Contohnya, makanan yang ada depan mata kita, adakah makanan tu boleh terus masuk dalam mulut kita tanpa ada usaha? Mestilah tak, sekurang-kurangnya kita perlu gunakan tangan untuk ambil makanan tu. Kemudian, barulah kita tawakal kepada Allah, moga-moga dapat berikan manfaat pada tubuh badan kita, moga-moga tidak keracunan makanan, dan sebagainya.

Kalau korang nak tahu, banyak bukti bahawa Rasulullah mengajar kita supaya perlu ada usaha dan tawakal, bukannya tawakal semata-mata.

Contohnya, dalam peperangan, perlu ada usaha untuk mempersiapkan diri memakai topi besi dan baju besi, bukannya terus tawakal dan ‘redah’ saja perang tu.

Contoh lain, Rasulullah juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta: “اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ” yang bermaksud: “Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal.” (Hadith riwayat al-Tirmizi)

Semoga korang dapat contohi Maryam sebagai seorang muslimah yang cekal menghadapi ujian dalam usaha untuk meraih redha Ilahi, insyaAllah.

Nota kaki : Artikel ini ditulis oleh Aizuddin Hamid. Layari https://t.me/aizuddinhamiid untuk perkongsian bermanfaat.