,

Tempat Orang Yang Celaka Beristirehat (Bahagian 2-akhir)

Neraka bukan hanya tempat membakar ahlinya sahaja bahkan lebih daripada itu. Dalam banyak riwayat Rasulullah SAW menceritakan tempat-tempat penyeksaan yang lebih dahsyat daripada neraka itu sendiri.

Bahkan nereka sendiri meminta pelindungan Allah SWT daripada kedahsyatan azab yang terkandung di dalamnya. Antara tempat yang diceritakan oleh nabi adalah Lamlam, Bulas, dan beberapa lagi. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

“Mintalah perlindungan kepada Allah dari Jubb al-Huzn”. Para sahabat bertanya, “Apa Jubb al-Huzn itu?” Baginda menjawab, “Sebuah lembah di dalam neraka Jahanam, sedangkan neraka Jahanam sendiri meminta pelindungan kepada Allah dari lembah tersebut sebanyak seratus kali sehari.” (Diriwayatkan oleh Tirmizi)

Bagaimana kita boleh hidup tenang dalam kelalaian apabila mendengar perkhabaran ini?

Jika kita masih tenang dengan perkhabaran ini, sesungguhnya ia adalah musibah terbesar menimpa jiwa-jiwa manusia.

Api Neraka Dan Saiz Ahlinya

Kobaran api neraka sangat dahsyat sehinggakan jika kita membaca tentang percikan apinya sahaja cukup untuk kita termenung memikirkannya.

Bahkan dalam banyak riwayat yang menceritakan betapa gerunnya sifat neraka sehinggakan para rasulNya yang mulia terduduk melutut apabila mendengar suara ngauman neraka itu sendiri lantas mereka menyatakan, “Diriku, diriku” kerana takut dicampak ke dalamnya.

Ditambah pula warna kobaran apinya yang sangat gelap sehinggakan tidak mengeluarkan cahaya. Al-A’masy meriwayatkan daripada Abu Zabyan, daripada Sulaiman, dia berkata:

“Neraka itu berwarna hitam pekat, kobaran api dan baranya tidak mengeluarkan cahaya.”

Suasana yang sangat kelam itu menambahkan penyeksaan kepada ahlinya. Ia seperti penyeksaan atas penyeksaan yang saling bertindih.

Sehinggakan suasana yang mereka lalui itu menjadikan mereka berputus asa untuk memperoleh sedikit rahmat Tuhan bahkan api yang gelap pekat itu diterjemahkan kepada muka mereka yang hitam muram.

Firman Allah SWT:

“Pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram.” (Surah ali-Imran ayat 106)

Lebih daripada itu, penyeksaan yang mereka alami akan sentiasa bertambah dan bertambah kedahsyatannya sama ada dalam bentuk jenis penyeksaan atau daripada ahli neraka itu sendiri.

Bahkan dalam banyak atsar menyatakan saiz tubuh badan ahli neraka akan sentiasa membesar kesan daripada kulit mereka yang diganti dan diganti semasa mereka dibakar.

Saiz mereka yang besar itu bagi menambah penyeksaan kepada ahlinya sepertimana kita lebih terseksa jika tangan kita melecur terkena api daripada jari kita yang melecur kerana kulit yang terbakar itu lebih luas apatah lagi ahli neraka yang saiznya lebih besar dan seluas mata memandang.

Dari Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda:

“Penduduk neraka akan menjadi besar ukurannya kelak dalam neraka. Begitu besarnya sehingga jarak antara tempat anting-anting di telinga dengan tengkuknya adalah perjalanan tujuh ratus tahun. Tebal kulitnya adalah tujuh puluh dzira’ dan gigi gerahamnya sebesar gunung Uhud.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Itu tidak bermakna neraka itu akan penuh lantaran ramai ahlinya dan besarnya saiz mereka sepertimana dakwaan orang-orang yang jahil. Cukup untuk kita mengetahui bahawa saiz bumi yang kita huni ini seperti debu dalam aturan alam.

Seksaan Yang Terberat Bagi Ahli Neraka

Penyeksaan yang diceritakan bukanlah penyeksaan yang terberat bagi ahli neraka tetapi penyeksaan yang terberat bagi mereka adalah tidak dipedulikan oleh Allah SWT kerana neraka yang dicipta itu hanyalah alat penyeksaan semata-mata tetapi zat pemiliknya adalah Allah SWT.

Ia diibaratkan seperti seorang anak yang dirotan. Ia tidak takut kepada rotan tersebut tetapi takut kepada pemilik rotan tersebut, ayahnya!

Ibnu Rejab al-Hambali dalam kitabnya Ancaman Neraka dan Kesengsaraannya menyatakan:

“Bentuk seksaan yang paling berat penghuni neraka ialah ada hijab (tabir penghalang) antara mereka dengan Allah Azza wa Jalla. Selain itu jauhnya mereka daripada Allah, bahkan Dia juga berpaling daripada mereka. Inilah seksaan yang paling berat.”

Ahmad bin Abu al-Hawari berkata:

“Kami diberitahu oleh Ahmad bin Musa, Abu Maryam berkata: Penduduk neraka akan berkata; Wahai Tuhan kami limpahkanlah redhaMu kepada kami. Silakan menyeksa kami dengan pelbagai macam seksaan, asalkan Engkau tidak murka kepada kami kerana sesungguhnya murkaMu lebih berat berbanding seksaanMu.”

Sebaliknya Allah SWT membalas rayuan mereka dengan firmanNya:

“Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku” (Surah al-Mu’minun ayat 108)

Sesungguhnya itulah kali terakhir Allah SWT berbicara dengan mereka dan kemudian neraka akan ditutup serapat-rapatnya bersama tertutupnya pintu rahmat Tuhan kepada mereka.

Tempat Kembali Yang Buruk

 

Apa yang dinyatakan hanya sebahagian kecil sahaja untuk menggambarkan bagaimana keadaan neraka dan ahlinya.

Sebaliknya jika kita membaca dan mengkaji tentang neraka dan apa yang terisi di dalamnya maka kita akan dapati ia merupakan tempat yang dipenuhi dengan segala penyeksaan yang amat dahsyat.

Di dalamnya terdapat gunung-ganang yang tinggi memuncak untuk dipanjat, sungai mengalir nanah yang busuk, istana yang dipenuhi segala penyeksaan, perigi yang menghimpunkan segala kedukacitaan, makanan yang mencekik tekak, malah ada selimut khas untuk menambah penyeksaan mereka.

Di sana tiada istilah ala bisa, tegal biasa’ tetapi penyeksaan yang dialami ahlinya akan dilipat gandakan setiap saat.

Semoga kita tidak menjadi golongan yang celaka di sana dan kita memohon kepada Allah SWT agar tidak menjadi ahlinya. Sesungguhnya ia merupakan seburuk-buruk tempat kembali.

Sebagai mana firmanNya:

“Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling teruk dan tempat berehat yang paling buruk.” (Surah al-Kahfi ayat ke 29)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq bin Salim. Sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Pengurusan Pembinaan di falkulti Kejuruteraan Awam, UTM Skudai. Menjadikan penulisan sebahagian cara untuk menambah ilmu dan membaiki diri sendiri. FB: syafiq alfatih (Muhamad Syafiq Bin Salim).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.