,

Kampung Halaman Kita Yang Sebenar

Kampung halaman merupakan tempat yang menggembirakan kita apabila kita pulang. Di sana kita dapat berkumpul dan bertemu sanak saudara, ada dalam kalangan kita pulang untuk bertemu ibu dan ayah sebagai lambang kasih kita kepada mereka.

Setiap detik yang berlalu akan kita nikmati dengan rasa kegembiraan dan sebagai tanda tanggunjawab kita kepada mereka. Ia merupakan tempat yang menyimpan pelbagai kenangan lalu dan tentunya kita merindui tempat itu.

Namun, bagaimana pula kita sebagai hambaNya?

Manusia pertama yang diciptakan oleh Allah SWT adalah Nabi Adam dan beliau merupakan bapa kita semua.

Tempat pertama yang dihuninya adalah syurga yang mana tempat untuk menikmati segala nikmat. Tempat yang mana merupakan kampung halaman kita yang mana kita perlu bercita-cita dan berusaha untuk pergi ke sana.

Kata Dr Aidh al-Qarni: “Ramai yang berharap hanya untuk kehidupan di dunia ini, dan mereka menganggap inilah ‘kampung halaman’ yang sebenar. Setiap hari mereka hanya sibuk dengan urusan-urusan dunia ini; sibuk mencari duit, sibuk bekerja, sibuk dengan kesukaan. Mereka melupakan bahawa saat akan tiba apabila segalanya berakhir dan kita kembali kepada ‘kampung halaman’ yang hakiki, iaitu syurga atau neraka.”

Sesungguhnya Hidup Ini Amat Singkat

Hidup kita ini kadang-kadang seperti sebuah mimpi, tidurnya sekejap tetapi mimpinya lama. Begitu juga hidup kita di sini yang mana kita anggap ia kehidupan yang panjang tetapi hakikatnya ia seperti hembusan angin lalu sahaja.

Dan waktu yang singkat itu amatlah rugi kita perjudikannya demi memenuhi kehendak dunia kita semata-mata bahkan kita lupa tempat kita dikembalikan.

Kelak di sana apa yang kita impikan itu tidak diperolehi malah bala menanti. Firman Allah SWT apabila menanyakan soalan kepada manusia:

“Allah bertanya, ‘Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?’ Mereka menjawab, ‘Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung.’ Allah berfirman, ‘Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui.’ Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”(Surah al-Mu’minun: 112-15)

Sangatlah malang bagi manusia apabila mereka beranggapan kehidupan di dunia ni merupakan matlamat utama walhal ada kehidupan yang lain menanti di sana.

Mereka lebih gemar untuk bersusah payah menggembleng tenaga mereka semata-mata untuk menikmati kehidupan yang sementara ini sedangkan sepatutnya kekuatan yang dikuniakan itu lebih menjadi keutamaan untuk menghadapi dan menikmati kehidupan di sana kelak.

Hakikat ini diungkapkan oleh Allah SWT dalam firmanNya di Surah al-Insan ayat 27:

“Sesungguhnya mereka menyukai kehidupan dunia yang sementara dan mereka tidak mempedulikan hari yang berat.”

Kampung Halaman Yang Indah

Tempat pulang yang terbaik adalah syurga dan ia merupakan kampung halaman yang sangat indah. Keindahan yang tidak pernah dilihat, didengar bahkan tidak boleh dibayang oleh fikiran kita.

Manakala tempat pulang yang membinasakan adalah neraka kerana keadaannya sangat menakutkan bahkan jika kita membaca keadaannya, pasti menimbulkan rasa takut untuk menjadi penghuninya apatah lagi melihat keadaan neraka itu sendiri.

Kematian kita di dunia ini menandakan permulaan bagi kehidupan yang baru.

Bermula dari alam barzakh kemudian kita semua akan dihimpunkan di padang mahsyar dan akhirnya kita akan ditentukan sama ada menjadi penghuni syurga atau neraka.

Bagi penghuni syurga, detik kenikmatan mereka bermula apabila mereka akan disambut oleh para malaikat dengan ucapan:

“… Sejahteralah ke atas kamu, beruntunglah kamu, maka masuklah syurga ini, sedangkan kamu kekal di dalamnya.” (Surah Az-Zumaar: ayat 73)

Di syurga merupakan tempat yang terdapat teman yang baik akhlaknya lagi cantik rupanya, iaitu bidadari yang hanya tinggal di tempat masing-masing.

Bidadari ini cantik berseri-seri seperti delima dan marjan. Kulit mereka putih melepak, cantik matanya, malah mata pandangan tertumpu kepada mereka semata-mata.

Allah SWT merakamkan lebih lanjut dalam ayatNya tentang keadaan manusia di syurga:

“Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk; Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya. Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya) – (Keadaannya laksana) kaca, (sedang ia) dari perak; pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya.” (Al-Insaan:13-16)

Sesiapa yang memperolehi syurga sesungguhnya dia memperolehi kemenangan yang nyata.

Ujian Tuhan

Syurga yang di dalamnya itu terdapat pelbagai nikmat, tentu sahaja tidak mudah diperolehi. Barangsiapa yang menyangka syurga itu mudah diperolehi sesungguhnya mereka itu dengan terang dan nyata telah tertipu dengan muslihat dan perangkap iblis.

Hal ini telah diungkapkan oleh Ibnu Jauzi dalam kitabnya Talbis Iblis berkaitan sangkaan dan angan-angan manusia. Allah SWT dengan terang merungkaikan hal ini:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah al-Baqarah: 214)

Sesungguhnya mereka generasi pertama umat ini sangat memahami ayat ini sehinggakan segenap masa dan tenaga mereka itu digunakan untuk menempuh kepayahan bagi menegakkan agama Allah SWT bahkan segala musibah yang menimpa mereka itu dihadapi dengan redha dan sabar.

Kata Ibnu Kathir bila mana menerangkan ayat di atas:

“Apakah kamu sangka bahawa kamu layak masuk syurga tanpa sebarang ujian dan tribulasi sebagaimana yang telah berlaku kepada mereka yang terdahulu daripada kamu. Antara ujian tersebut seperti pelbagai penyakit, musibah, bencana dan kedukacitaan.”

Cita-cita dan Dasar Kehidupan Mukmin

Dalam hal dunia kita mempunyai cita-cita yang mana kita akan berusaha dengan pelbagai cara untuk mencapainya. Lebih teruk lagi apabila kita melanggar sempadan yang dibolehkan oleh syarak.

Sedangkan segala usaha kita itu akan menjadi sia-sia apabila nyawa kita ini terputus dan pada ketika itu apa yang kita usahakan itu akan sibuk dibahagi-bahagikan oleh keluarga kita bahkan cita-cita itu kelak mungkin menjadi sebab kita dihumban ke dalam neraka.

Penyesalan yang dahsyat akan mengambil tempat apabila malaikat maut sedang mencabut nyawa kita sedangkan segala yang kita usahakan itu adalah sia-sia.

Ketika Amirul Mukminin Khalifah Harun ar-Rasyid mengalami sakaratul maut, beliau dalam keadaan menangis meminta anaknya supaya meletakkan pipinya di atas tanah. Seraya berkata:

“Semoga Allah mengampuniku, wahai Tuhan Pemilik Kerajaan yang tidak hilang, kasihanilah orang yang kerajaannya hilang.”

Walaupun beliau telah membangunkan salah satu empayar terhebat dalam sejarah manusia tetapi di akhir hayatnya beliau meminta belas ehsan Tuhan penciptanya.

Cita-cita kita sepatutnya adalah menjadi penghuni syurga dan sedaya upaya untuk menjadi ahlinya. Ada beberapa hadis nabi yang menunjukkan keharusan untuk doa memohon syurga bahkan nabi menyuruh kita agar memohon Syurga Firdaus.

Dengan itu kunci untuk memperolehinya dengan memiliki iman yang benar dan perkara ini perlu menjadi tuntutan asas dalam kehidupan kita.

Sesungguhnya beriman dengan adanya syurga akan mendorong seseorang untuk terus taat dan rajin beramal kepada Allah. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

“Ini adalah sesuatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka, bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redga terhadap Allah, maka itulah kejayaan yang besar.” (Al-Maaidah: 119)

Ala kulihal, Allah SWT apabila menceritakan tentang syurga pasti perihal neraka juga mengambil tempat. Ini supaya kita tidak hanya rindu akan kenikmatan syurga tetapi juga disertai dengan rasa takut akan musibah neraka.

Semoga kita menjadi insan yang berusaha menjadi ahli syurga dan bersungguh-sungguh menjauhi azab api neraka.

Sesungguhnya jika kita menyelusuri kisah bapa kita Nabi Adam, maka kita akan dapati syurga merupakan kampung halaman kita.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq bin Salim. Berasal dari Johor Bahru, Johor. Sedang melanjutkan pelajaran dalam Sarjana Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM Skudai.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

10 points
Upvote Downvote

Total votes: 10

Upvotes: 10

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%