, ,

Tembikai Untuk Ba (Bahagian 2-akhir)

“Tapi, Raudhah bukan begitu,”

“Lebih baik Ba jangan tanya perihal Raudhah pada Zati. Apa sahaja Zati bagitahu semuanya tidak betul bagi Ba. Malaslah Zati nak layan Ba. Nah! Zati belikan bihun goreng untuk Ba. Makan sendiri. Zati dah malas temankan Ba makan.”

“Zati,” Tok Ali merendahkan nadanya. Terguris dengan layanan anak sulungnya itu.

“Apa lagi Ba? Nak tembikailah tu. Tak ada tembikai malam ni.”

Izzati mengerling tajam. Sempat dia mengintai di balik langsir bilik. Ayahnya tidak menjamah sedikit pun bihun goreng yang dibelinya. Panas hatinya dirasakan.

Sejak dari kecil, hanya Nur Raudhah sahaja baik di mata ayahnya. Apa sahaja Nur Raudhah hinggakan terbit rasa cemburu pada hati Izzati dan adiknya, Amirul.

Risau jika Raudhah sahaja berzikir di bibir Tok Ali, ada kemungkinan harta-harta Tok Ali hanya akan menjadi hak Nur Raudhah!

“Kita perlu rancang sesuatu Long. Ucu tak nak Kak Dah dapat semua harta Ba nanti. Banyak tu peninggalan Ba,” Amirul mengurut-urut dadanya. Penat memanjat pokok kelapa belum lagi hilang.

“Ba paling pantang kalau kita kata mahu hantarnya ke rumah orang tua. Apa kata kita fitnahkan Raudhah tu? Anak kesayangan kalau khianat, pasti lagi sakit Ba rasakan. Kamu setuju Ucu?”

Amirul mengira-ngira dengan matanya sambil memandang siling ruang tamu, “Ucu tidak kisah, tapi kalau Kak Dah tak ada di rumah ni nanti, Long yang kena jaga Ba. Ucu tak nak!”

Izzati mencebik, “Ucu anak lelaki! Tanggungjawab jatuh pada Ucu! Mana boleh serahkan Ba pada Long. Mana pernah Long jaga Ba!”

Amirul menjungkitkan bahunya.

“Kalau Long nak Kak Dah keluar dari rumah ini dan nak Ba lupakan Kak Dah, Long kena ambil risiko ni. Ucu awal-awal tak nak jaga Ba. Kalau tak, biar sahajalah Kak Dah yang jaga. Harta pun nanti kita bahagi tiga juga tapi Kak Dah mungkin dapat bahagian yang lebih sedikit,”

Izzati termangu. Otaknya ligat berfikir.

“Aku buat semua ni bersebab. Kalau tak, jangan harap aku nak jaga Ba. Ba pun satu, sayang sangat kat Raudhah tu. Entah apa yang ada pada balu tu pun aku tak tahu,” bisik Izzati sendiri sambil terus memandang ayahnya yang masih termenung di jendela bilik. Bihun goreng masih tidak dijamah.

“Assalamualaikum,”

Seorang lelaki segak bergaya berkaca mata hitam berdiri di tangga rumah. Izzati menelek-nelek di balik tingkap sisi untuk melihat siapa gerangan lelaki yang tidak dikenalinya.

“Siapa tu Long?”

Izzati menjungkit bahunya beberapa kali bagi menjawab pertanyaan adik bongsunya itu.

“Mak Long?” Sapa lelaki 20-an itu sebaik sahaja dijemput masuk ke dalam rumah. Izzati menaikkan kening kanannya. Siapa lelaki muda ini yang berani memanggilnya Mak Long.

“Yang ini mesti Pak Ucu kan?” lelaki muda itu beralih pada Amirul dengan wajahnya yang manis tersenyum.

“Kau ni siapa? Datang rumah orang lepas tu panggil dengan panggilan bukan-bukan,” Amirul meninggikan suaranya. Lelaki terbabit hanya tersenyum.

“Saya ni, Ahmad Faiz Jailani. Anak Nur Raudhah,” Faiz memperkenalkan dirinya. Wajahnya masih manis dengan senyuman terukir. Izzati mendengus deras. Pantang nama itu disebut di depannya.

“Apa kau buat sini? Balik! Budak tak tahu malu! Sudah lama hilangkan diri, baru sekarang mahu tunjuk muka! Jangan jejakkan kaki ke sini!” Izzati tiba-tiba bangun dan melenting kuat. Faiz menelan air liurnya.

“Sabar Long,” Amirul turut bangun dan menenangkan kakaknya.

“Baliklah Faiz! Pergi balik!” Amirul kembali bersuara.

“Saya datang mahu bertemu dengan Tok Ba. Saya mahu tunaikan janji saya pada ibu. Izinkan saya jumpa Tok Ba,” Faiz juga turut bangun.

“Raudhah itu anak derhaka. Keturunannya juga derhaka! Jangan harap aku nak benarkan kau jumpa Ba!” Izzati makin melenting.

“Nur Raudhah bukan anak derhaka!”

Izzati, Amirul dan Faiz berkalih. Kelihatan Tok Ali terketar-ketar memegang tongkatnya berjalan keluar dari bilik.

“Ba?” Amirul menerpa dan berpura-pura mahu memimpin tangan ayahnya.

Tok Ali menepis. Matanya tepat memandang Faiz.

“Kamu berdualah puncanya aku halau Raudhah keluar. Kamulah yang menghasut aku supaya terus percaya dengan kata-kata dusta kamu terhadap Raudhah!” Ujarnya kembali.

Izzati menjeling. Raudhah lagi!

“Faiz…” tangan Tok Ali terhulur sendiri memanggil cucunya.

“Ibumu mana Faiz?” Sambungnya sejurus Faiz menyalami tangan datuknya itu.

“Ibu ada di rumah. Faiz datang sini mahu tunaikan janji Faiz pada ibu untuk jemput Tok Ba pulang bersama Faiz.”

“Kenapa baru sekarang nak datang?” Sinis nada Izzati.

“Ibu selalu cerita tentang Mak Long, Pak Ucu dan Tok Ba pada Faiz. Ibu selalu tekankan agar Faiz tidak lupakan keluarga kita, lebih-lebih lagi Tok Ba. Ibu takut nak balik, takut Tok Ba masih marahkan ibu. Ibu minta Faiz jemput Tok Ba bila Faiz sudah dewasa begini,” lembut Faiz menerangkan.

“Nur Raudhah tidak bersalah, cu,” Tok Ali meletakkan tangannya pada wajah Faiz. Raut wajah Faiz persis Nur Raudhah.

“Ikut jelah Ba budak Faiz ni. Tak perlu nak berdrama dah,” Amirul mula bersuara.

“Kau gila Ucu? Rancangan kita?” Izzati menyampuk.

“Long, Ba ni sayangkan Kak Dah je. Buat apa kita nak sibuk-sibuk lagi? Buat sakit hati je.”

Tok Ali menggeleng beberapa kali.

“Bawalah Tok Ba pergi bersama kamu Faiz,” Tok Ali bicara seakan berbisik.

Faiz tersenyum, “Tok Ba, ibu kirimkan ini sekali.”

Faiz mengeluarkan sesuatu daripada beg plastik yang dipegangnya dari tadi.

Ada nota di atas bekas biru itu. ‘Tembikai untuk Ba’.

Tok Ali tidak dapat menahan air matanya lagi.

“Allah. Tok Ba rindu ibumu, Faiz.”

“Bila nak pergi ni?” Izzati tiba-tiba bersuara. Faiz mengangkat wajahnya. Hatinya dididik supaya sabar. Faiz memimpin tangan datuknya perlahan masuk semula ke dalam bilik, “Kita kemas barang ya? Kita jumpa ibu. Ibu pun rindu Tok Ba. Ibu selalu cerita tentang Tok Ba pada Faiz,”

“Faiz, kamu anak yang baik, seperti ibumu. Tok Ba yang bersalah. Ibumu bukan seorang anak yang derhaka. Maafkan Tok Ba,” air matanya kian laju mengalir.

Faiz menggeleng pantas, “Ibu selalu cakap, Tok Ba adalah segalanya. Tiada dosa Tok Ba dengan kami. Kita makan tembikai dahulu? Ibu cakap, Tok Ba suka tembikai. Ibu sekarang peniaga tembikai tau. Belakang rumah banyak tembikai. Ibu cakap semua itu untuk Tok Ba.”

Tok Ali hanya mengangguk. Hatinya tersentuh.

Izzati dan Amirul hanya mencebik. “Kalau tahu ini akhirnya, lebih baik biarkan sahaja Raudhah di sini!”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.

Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.