Sewaktu dalam perjalanan pulang dari rumah Tok Ba, ibu tak habis-habis membelek pendrive yang berwarna kuning itu.
“Apalah yang menarik sangat pendrive tu? Dari tadi ibu duk belek-belek je,” Saif di sebelah menegur. Fokusnya dalam memandu sedikit terganggu dengan gelagat ibunya itu.
“Macam mana benda ini boleh simpan banyak maklumat? Boleh simpan gambar, lagu, drama, dokumen dan banyak lagilah. Benda ni kecil je pun tapi boleh simpan macam-macam. Macam manalah manusia reka benda alah ni?”
Saif tersenyum sendiri. Itu sahaja yang bermain di fikiran ibunya. Ingatkan apalah tadi. Kemajuan zaman teknologi kini ada kalanya tidak dapat diikuti oleh generasi seperti ibu.
Itu belum lagi bila diperkenalkan dengan aplikasi Whatsapp, Facebook, Instagram, dan bermacam lagi. Mesti lagi banyak fikirnya nanti.
“Dalam benda tu ada satu cip yang boleh tampung kapasiti maklumat yang mahu disimpan. Cuba ibu lihat di badan pendrive tu, ada tulis berapa kapasiti yang boleh dimuatkan. Ada yang 1GB, 16GB, malah, 1Tera pun dah ada sekarang. Besar lagi tu ibu,” Saif menerangkan.
“1 apa? 1Tera? Apa pula tu?” Ibu mengomel sendiri. Berkerut dia memikirkan penerangan Saif itu. Saif di sebelah hanya ketawa. Geli pula hatinya melihat reaksi ibunya begitu.
“Kalau kita perhatikan betul-betul ciptaan pendrive tu, kita dapat belajar dan lihat kebesaran dan kekuasaan Allah juga sebenarnya,” sampuk abah yang sedang bersandar rehat di belakang. Ingatkan abah tidur, pejam sahaja matanya, rupanya berjaga dan mendengar perbualan tadi.
“Maksud abah?” Kurang mengerti pula dia dengan kenyataan abah tadi.
“Manusia cipta benda sekecil itu yang boleh menyimpan banyak maklumat. Macam Saif beritahu tadi, ikut kapasiti yang tertulis di situ. Sama jugalah seperti kerja malaikat yang ada di dua bahu kita ni. Dua malaikat ini Allah cipta untuk catat setiap perkara yang kita lakukan dalam buku catatan mereka. Simpan banyak maklumat tentang dosa dan pahala yang kita lakukan tanpa perlu hadkan kapasitinya. Unlimited katakan.”
Ibu dan Saif diam dan terusan mendengar apa yang disampaikan oleh abah.
“Kalau manusia itu hebat boleh buat begitu dengan pendrive kecil ni, Allah lagilah Maha Hebat. Segala maklumat kita sejak lahir Allah simpan tanpa ada satu pun cacat celanya serta kehilangan mana-mana maklumat. Semuanya yang terkumpul ni akan dihisab pula di hadapan Allah nanti. Kalau sorang dua tak apalah lagi, ni berjuta-juta manusia yang akan dihisab. Yang akan dibuka buku amalan mereka ni. Tak ke hebat tu? Allah nak tunjuk, manusia diberi kemahiran dan ilmu dalam mencipta pendrive untuk simpan banyak perkara, tetapi, Allah tak perlukan apa-apa untuk kumpul semua maklumat tentang kita kerana semua maklumat ada pada DIA. Itu pun bagi mereka yang nak berfikir tentang ini semua.”
“Jauhnya abah fikir sampai macam itu sekali,” Saif bersuara.
Abah melirikkan senyuman dengan matanya yang masih terpejam.
“Setiap perkara yang berlaku memberikan gambaran pada kita akan kebesaran Allah. Jika kita sendiri tidak berfikir untuk melihat dari sudut begitu, macam mana kita nak lahirkan perasaan bersyukur dan sentiasa yakin yang Allah itu ada dalam segenap kehidupan kita?”
“Berfikir dengan cara begini jugalah dapat mendidik diri kita agar sentiasa rasa merendah diri dan waspada selalu yang bahawasanya kita ni tiadalah apa-apa jika hendak dibandingkan dengan kuasa Allah itu sendiri,” sambung abah lagi.
“Haaa, betul tu. Itu ibu sokong abahnya. Ibu jatuh hati dengan abah kamu sebab inilah. Suka kasi jiwa ibu sentap. Kalau tak sentap, ke laut juga ibu ni,” ibu mengekek sendiri. Pendrive kuning bersaiz ibu jari masih lagi digenggamnya.
Saif menggeleng kosong. Diberikan fokus sepenuhnya dalam pemanduannya semula. Dengan pendrive sahaja kita boleh belajar tentang kekuasaan Allah? Abah… abah… terima kasih.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Sangat suka menulis cerpen sejak di bangku sekolah.
Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah dan Instagram cahaya_nurish.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.