,

Depresi : Kamu Bukan Ingin Mati, Tapi Ingin Kesakitan Diakhiri

Bangun pagi. Hati rasa hiba. Rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Sedih. Tapi tak tahu kenapa.

Sakitnya dalam dada. Sesak. Terlerai juga air mata. Belum puas menangis, waktu berlalu pantas. Dengan hati yang kosong, rutin harian diteruskan. Melangkah longlai, tubuh dibawa tanpa jiwa.

Segalanya kelihatan tak bermakna. Hobi yang dinikmati dahulu sudah tidak menarik pada pandangan mata. Badan rasa lelah sentiasa. Jasad ingin tidur selama-lamanya. Penat dengan dunia. Rasa ingin lari menjauhi semua – termasuk teman dan keluarga.

“Cukuplah aku membebankan mereka selama ini.”

“Hidup mereka pasti lebih bahagia tanpaku.”

Itulah penangan lohong hitam depresi. Puncanya? Pelbagai. Ia terlalu rumit untuk disandarkan kepada satu punca tertentu.

Stres melampau, kebimbangan berterusan dan ketidak seimbangan kandungan kimia dalam badan merupakan antara penyebab masalah ini.

Namun, masyarakat seringkali menuduh golongan yang mengalami depresi ini sebagai lemah iman dan daya tahan.

“Ni mesti tak jaga hubungan dengan Allah. Baca Quran tak setiap hari? Tajwid betul tak?”

“Masalah kau kecil. Aku boleh lalui, takkan kau tak boleh?”

Kebanyakan daripada kita lupa, depresi tidak mengenal sesiapa. Ahli ibadah turut tidak terlepas dari masalah ini. Faktor persekitaran juga mempengaruhi kemampuan setiap orang mengatasi masalah.

Contohnya, kemampuan anak-anak yang mendapat sokongan ibu bapa dengan anak-anak yang didera pasti berbeza. Anak yang dihargai akan mempunyai keyakinan diri mendepani masalah manakala anak yang didera akan berasa dirinya lemah dan tidak berguna.

Masyarakat kita begitu cepat menghukum seolah-olah dia tahu segala-galanya tentang kisah hidup orang lain – sedangkan lalat yang terbang di belakang kepalanya pun dia tak nampak. Akibatnya, golongan yang kemurungan ini lebih rela menyendiri daripada dihakimi.

Bagi temanku yang mengalami depresi dan pernah terfikir untuk bunuh diri, ingatlah, kamu tidak keseorangan. Aku tidak tahu apa yang menyakiti jiwamu, tapi aku percaya kamu mampu.

Tiada siapa patut terseksa seperti ini. Abaikan mereka yang menghakimi, kerana Dia tahu apa yang sedang kamu lalui,

“(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).”

(Surah Ad-Dhuha: 3)

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Surah Al-Baqarah: 155)

Temanku, sekat segala fikiran negatif daripada syaitan yang ingin kamu berputus asa dengan diri sendiri dan rahmat tuhan. Mereka bahagia melihat kamu derita.

Bertahan. Sesungguhnya Dia dekat.

“Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.” 

(Surah Az-Zumar : 53)

“Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” 

(Surah Al-Baqarah : 214)

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat.”

(Surah al-Baqarah: 45)

Sahabatku, kesakitanmu pasti berakhir. Hidup hanya sekali dan mati itu pasti. Biarlah ia berakhir tanpa penyesalan tidak berkesudahan. Allah sentiasa ada dan Dia tidak berputus asa denganmu. Justeru, percayalah akan diri sendiri.  

Andai kamu benar-benar berputus asa dengan kehidupan, ingatlah sabda ini;

لا يَتمنَّينَّ أحدُكمُ الموتَ مِن ضُرٍّ أصابَهُ، فإن كانَ لا بدَّ فاعِلًا، فليقُلْ اللَّهُمَّ أحيِني ما كانتِ الحياةُ خَيرًا لي، وتوفَّني إذا كانتِ الوفاةُ خَيرًا لي

Maksudnya: “Janganlah mengharapkan kematian kerana tertimpa musibah duniawi, jika terpaksa, maka hendaklah ia mengucapkan: ‘Ya Allah panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku’!”

Riwayat al-Bukhari, no. 5671, dan al-Nasa’i, no. 1820.

Saudaraku sayang, ingatlah. Cara terbaik untuk menamatkan kehidupan adalah dengan bersedia untuknya.

Persiapkan diri kita dengan jiwa yang tenang dan penuh keredhaan. Moga kita termasuk dalam golongan ini;

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”

(Al-Fajr 27-30)

Akhir sekali, aku ingin berkongsi kata-kata seorang ilmuan,

Berapa banyak orang yang memakai baju di waktu pagi, yang melepaskan bajunya adalah orang lain di waktu dhuha ketika dia telah menutup mata meninggal dunia. Berapa ramai orang yang memakai sepatu di waktu siang, orang lain yang melepaskannya di waktu petang ketika dia telah menuju ke Alam Barzakh. Tiada batasan yang lebih tipis antara batas hidup dan mati. Dunia tempat kita meninggal bukan tempat untuk kita tinggal.”

Bertahan. Sikit sahaja lagi.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Haura Aisyah.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.