,

Suhail Bin Amr Terbuka Hati Untuk Memeluk Islam

Ketika peristiwa Fath (pembukaan) Makkah, Suhail bin Amr masuk ke dalam rumah dan menutup pintu bagi melindungi diri daripada kaum Muslimin. Dia mengenang kembali permusuhan yang dia lakukan kepada Rasulullah.

Mana tidaknya, dia berperang melawan Islam dalam perang Badar, perang Uhud kemudian dia juga yang meminta untuk melakukan perjanjian Hudaibiyah yang kononnya kelihatan seperti kaum Quraisy yang menang dalam perjanjian itu.

Setelah itu, dia mengutus anaknya Abdullah bin Suhail untuk bertemu Rasulullah bagi menjamin keselamatan Suhail. Kata anaknya: “Wahai Rasulullah, apakah engkau menjamin keamanan Suhail bin Amr?”

Baginda menjawab: “Ya, dia aman berdasarkan jaminan aman yang diberikan Allah, silakan menampakkan diri.”

Bukan itu sahaja, malah Baginda berpesan kepada para sahabat supaya tidak menatap atau melihat Suhail dengan pandangan mata yang tajam kerana Suhail adalah seorang yang bijak dan orang seperti Suhail perlu mengetahui tentang kebenaran Islam.

Abdullah bin Suhail pun memberitahu berita gembira ini kepada ayahnya. Setelah itu, Suhail memilih untuk memeluk Islam.

Kehidupan Suhail setelah menjadi seorang Muslim begitu berbeza sekali. Setelah masuk Islam, Suhail sering solat, bersedekah dan pergi ke Syam bersama para sahabat untuk berjihad.

Ada juga sahabat lain mengatakan bahawa Suhail sering puasa dan solat tahajjud sehingga pucat kulitnya, malah sering menangis ketika mendengar bacaan Al-Quran. Suhail juga berpeluang untuk memimpin salah satu kelompok besar dalam perang Yarmuk.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)