,

Bersedekahlah. Semakin Memberi, Semakin Kaya!

“Kak, kami perlukan sumbangan untuk ibu kami yang sakit,” entah dari mana datangnya dua budak perempuan ke meja makannya. Seorang berusia dalam lingkungan 15 tahun, seorang lagi dalam 7 tahun.

Sayu melihat pakaian mereka yang bercompang-camping serta wajah mereka yang kelam seperti sudah tidak mandi beberapa hari.

“Maaf dik, gaji akak belum masuk lagi. Akak pun pinjam duit kawan ni. Akak minta maaf ye dik, tak ada apa akak nak bagi,” ujar Intan memandang atas bawah dua budak tersebut.

“Adik-adik ni dah makan ke?” Ain pula bersuara. Intan di sebelah mencebik mendengar pertanyaan Ain itu.

Mereka berdua menggeleng beberapa kali.

“Nah, ambil duit ni, pergi makan. Dan duit ni pula untuk mak adik. Semoga mak adik cepat sembuh,” Ain menghulurkan sejumlah wang pada si kakak.

Beredar mereka berdua selepas mengucapkan terima kasih dan terus ke kaunter memesan makanan.

“Entah-entah mereka tu sindiket. Mudah kesian sangat kau ni,” Intan menegur. Ain hanya tersenyum.

“Sindiket tak sindiket. Yang pasti, tugas dan tanggungjawab aku pada manusia lain dah selesai. Mana tahu, betul-betul mereka perlukan duit untuk mak mereka ke? Kalau mereka tipu pun, itu urusan mereka dengan Allah. Yang penting, niat aku nak bersedekah,” balas Ain sambil menghirup limau ais kesukaannya.

“Kau banyak duit, bolehlah. Aku ni, asyik pinjam orang je. Gaji pun lambat masuk. Kalau aku bagi duit yang aku ada ni, aku nak makan apa nanti?” Intan muncungkan mulutnya, mengenangkan masalah kewangan yang dihadapinya.

“Kau percaya tak, kalau aku cakap, makin kita banyak bersedekah, makin kita kaya?” Soal Ain tersenyum lebar.

Intan membulatkan matanya. “Kaya tang mana? Kau ada RM10. Kau bagi RM10, apa yang ada lepas tu? Kaya ke tu?”

“Rasulullah SAW bersabda, tidaklah harta menjadi berkurang kerana sedekah, dan tidaklah seseorang itu memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambahkan kehormatan kepada dirinya; dan seseorang tiada bersikap merendah diri kerana Allah melainkan darjatnya akan diangkat oleh Allah. Hadis riwayat Muslim,” Ain memandang tepat pada sahabatnya.

“Nabi dah cakap dah, kita memberi, harta kita tak berkurang. Ada juga meriwayatkan, Allah akan tambah sepuluh kali ganda setiap kali kita sedekah. Ibaratnya, kau bagi adik tu seringgit, Allah bagi kat kau RM10 balik.”

“Kau rasa sempit, kau sedekah, Allah lapangkan jalan kau. Sempit macam mana pun kau rasa, hati kau tu lapang je. Tu antara nikmat sedekah Allah nak kasi kat kau. Rezeki kita ni, kalau kita anggap milik kita seorang je, kita sudah salah menggunakan nikmat Allah.”

“Sebab, di sebalik rezeki yang kita dapat ni ada portion nya milik orang lain yang Allah turunkan. Kita ni ibarat pengantara je. Didik jiwa kita ni, rajin berkongsi rezeki dengan orang lain, walaupun 10 sen. Nilai kecil je, tapi kalau kau ikhlas dan istiqamah, mana tahu nilai kecil tu menjadi besar di sisi Allah. Hebat tau kuasa sedekah ni,” sambung Ain.

“Apa orang cakap kalau tengok aku bagi 10 sen? Orang lain bagi banyak. Seganlah aku,” Intan merendahkan nadanya.

Ain menggeleng beberapa kali. “Kenapa nak kena kisah dengan pandangan serta kata orang lain? Cuba kau tukar mindset kau, kisah akan apa yang Allah nak kata tentang kau. Jangan ambil port apa orang lain nak cakap, tapi kisahkan pandangan Allah pada diri kita. Barulah betul.”

“Allah pandang niat kau tu. Kalau kau ikhlas dalam memberi, kecil macam mana pun nilainya, tak ada hal lah weyh! Sudahlah, tak payah nak masam muka depan rezeki ni. Mulai hari ni, sama-sama kita didik diri kita bersedekah. Tiap-tiap hari lagi baik. Okey?”

Intan mengangguk perlahan. Benar apa yang dikatakan Ain itu. Mungkin ini juga teguran Allah buat diri dia yang selalu berat mahu memberi.

“Semakin memberi, semakin kaya. Semoga Allah kayakan aku dunia akhirat,” bisik Intan perlahan sambal meneruskan makannya.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%