KAMPUNG MOLEK – huh, sungguh kontras dengan nama diberikan. Retorik semata. Letaknya dalam Daerah Cantik, Negeri Ehsan yang kaya raya.
Dua belas tahun dulu aku menetap di sini, membuka sebuah kedai runcit untuk kesenangan penduduk kampung.
Benar janji Allah.
Rezeki di mana-mana asal rajin berusaha beriring doa. Biar tidak sekaya korporat, semewah menteri namun cukup senang menyara tujuh zuriat pinjaman Ilahi.
Mengingatkan derita jiwa terhentak di bawah tapak kasut birokrasi, aku jadi yongyat memikirkan kenapa Kampung Molek dan Daerah Cantik diberikan nama sedemikian.
Lebih sepuluh tahun menggarap rezeki di kampung ini, cukup wajar untuk aku mengenal akrab alam dan habitatnya.
Aku kenal antara rumput, lalang atau jelatang yang menjalar subur di pinggir jalannya. Aku kenal antara kera, monyet, lotong, beruk atau siamang jalang miang meloncat dari dahan ke dahan pesisir kampungnya.
Biar cuma dari bisikan suara, jarak berbatu, malah, aku kenal warganya sekadar melihat tapak kaki di tanah becak.
Kerana terlalu akrab, aku dapat membezakan antara batu atau permata, di dalam gelemat gelita. Aku bisa meredah kampung bertutup mata tanpa tersasar ceruk, juzuk dan pelosok.
Aku dapat mencium duri dan onak biar di simpang atau kelok mana sekalipun. Aku tahu di mana lecak, di mana acar, di mana berselut dan di mana kering.
Begitulah intimnya aku dengan fenomena Kampung Molek ini. Sepuluh tahun memang mewajarkan. Aku mengharapkan lahadku di sini, di Kampung Molek ini.
Kesinambungan perniagaan runcit mengalir kepada salah seorang daripada tujuh zuriatku. Namun tidak kesampaian.
Aku tidak menyalahkan fitratullah tetapi apa yang berlaku angkara kerenah warga kampungnya yang tidak berhati perut.
Pentadbir Kampung Molek dan Daerah Cantik sengaja memijak aku di bawah tapak kasut mereka. Dengan kuasa dan jawatan, mereka mengajak warga kampung menyisih, memulau seterusnya menyingkirkan aku.
Mereka sengaja mencipta kesalahan. Ironisnya aku tidak menyokong mereka dalam sebahagian perkara.
Aku banyak menyangkal daripada bersetuju bulat-bulat apa yang mahu mereka lakukan. Itu yang nyata.
Serasa tidak wajar aku bermonolog kalau hanya ini sebabnya. Sebenarnya tidak. Cetusan monolog ini adalah jalan keluar lantaran jiwa amat terdera.
Kepada siapa harus diadukan, harus diluahkan segala henyakan yang menggelodar?
Suara bibir terpasung kejur terbeku. Hanya monolog ini pereda, sekurang-kurangnya meringankan sikit beban jiwa. Ini pilihan terakhir.
Seperti aku katakan tadi, Kampung Molek di Daerah Cantik ini cukup kontras dengan nama diberi.
Walau 98% warganya berbangsa Melayu yang mengaku Islam itu agama mereka tetapi dalam masa yang sama mempraktikkan segala tegahan Azzawajalla.
Inikah fahaman Islam di jiwa mereka? Bermain judi, meminum serbat ijajil, menipu, mencuri dan berzina seolah-olah perkara biasa.
Anak-anak gadis dibiarkan bercanda dengan pasangan masing-masing tanpa ditegah. Malah rasa bangga melihat punggung menonggek di atas motor besar.
Alasan mereka, zaman Koridor Raya Multimedia tidak wajar mengongkong anak. Biar minda terbuka, jangan jadi katak di bawah tempurung.
Aku sungguh terhenyak. Inikah alasan yang sejajar dengan kehendak agama?
Di mana maruah seorang ibu atau bapa yang mengaku Islam andai zuriat sendiri diusung ke sana ke mari tanpa batasan waktu? Islam tidak pernah mengajar ini.
Anak muda pula meleweh terasuk jerat dadah, hampir 80%. Masuk keluar lokap dan pusat serenti acap benar.
Di sekitar Kampung Molek mereka melewar meliar. Kecurian macam pinang merah galak, tak bermusim. Teguran pencetus sengketa.
Akhirnya warga kampung jadi enau. Cuma jaga kepentingan diri masing-masing. Ikatan ukhwah, jalinan kejiranan dan sikap ambil tahu bagai terasing.
Acuan bangkit tidak pernah menghasilkan baulu. Begitulah fitrah alam. Golongan tua dengan kerenah sendiri.
Kedai kopi jadi parlimen tempat diskusi. Isu pelbagai, semuanya mengundang fitnah. Bukankah buruk sangka itu muqaddimah kepada fitnah?
Kadang-kadang kerana terlalu mahu menegakkan hipotesis sendiri, berlaku perbalahan. Tidak bertegur sapa berbulan malah bertahun.
Pak Imam tidak pernah mahu jadi pendamai walau ini tanggungjawab. Barangkali masalah keluarga sendiri tidak tertanggung, inikan pula mahu menyelesaikan masalah orang-orang kampung!
Perebutan jawatan Imam Nikah dengan Imam Muda belum selesai, ditambah isteri suka mengumpat dengan dua tiga anak rosak akhlak, tentu sekali tak punya masa menjenguk masyarakat.
Kesibukan juga tidak mengizinkan dia menjadi Imam lima fardu di masjid. Terluang untuk fardu Jumaat saja.
Bagaimana mahu menjadi imam yang akrab dengan masjid kalau tugas sebagai broker tanah lebih dipentingkan.
Melepaskan tugas kepada Imam Muda juga bukan alternatif yang sempurna. Kerja sebagai jurujual emas tiruan memang tidak menjanjikan masa terluang.
Akibatnya ramai imam tak bertauliah tampil memandu jemaah. Banyak aktiviti keagamaan terbengkalai.
Perebutan jawatan cagun sehingga mencetuskan masam muka. Pengagihan wang fakir jadi tidak adil kerana diserap kronisme dan nepotisme.
Waktu-waktu tertentu pintu pagar masjid dimangga kukuh menyukarkan para musafir singgah beribadat.
Akhirnya, fungsi masjid sebagai penegak syiar Islam jadi pudar. Rumah Allah itu mulai dianggap milik individu, istana larangan yang memerlukan pas kebenaran untuk dijengah.
Akibatnya, sepi dari ditandangi.
Cuma sesekali, kala YB atau Pak Menteri datang melawat, berasak-asaklah mereka. Itupun kerana ada rezeki.
Waktu inilah boleh dilihat wajah Pak Imam dengan serban meleretnya, Imam Muda dengan jubah labuhnya, Ketua Desa, Ketua Muda, Ketua Tua dan lain-lain lagi.
Sungguh hipokrit mereka. Ibadat untuk menunjuk, sembahyang untuk bermegah. Beginikah ajaran Islam yang ditinggalkan Junjungan?
Tidak wajarkah aku bermonolog jika segala usaha untuk membetulkan menemui jalan mati kerana dikekang oleh konco-konco mereka?
Konco-konco mereka ini ada di mana-mana. Tembok tebal jadi penghadang kukuh untuk ditembusi.
Sebaliknya aku yang disalahkan kerana cuba masuk campur urusan Kampung Molek, walaupun alasan aku berlandaskan kehendak hukum demi kebaikan umat Islam.
Mahu dengar apa cemuhan mereka?
“Pak Haji orang luar, bukan anak watan kampung ini. Pak Haji tak ada hak nak masuk campur. Kalau nak berceramah di sini bukan tempatnya. Sana tu… Forum Perdana sana tu tempatnya!”
Mahu dengar lagi cemuhan seterusnya?
“Pak Haji jangan sangka kami semua bodoh soal agama. Tak pakai ketayap putih macam Pak Haji tak semestinya kami tak tahu hukum-hakam. Pak Haji ingat orang pakai ketayap putih saja yang betul?”
Ada lagi.
“Di Kampung Molek ni dah ada Pak Imam. Dah ada Ketua Desa dan dah ada Ketua Muda dan Tua. Semuanya disokong oleh orang ramai terutamanya warga kampung ini. Mereka yang sepatutnya menegur. Bukan orang macam Pak Haji!”
Aku terkesima. Aku tergamam jola dengan kata-kata bersifat prejudis itu. Niat polos telah disalah tafsir. Sungguh terhenyak perasaan kala mengenangkan.
Bukankah tegur menegur dan nasihat menasihati itu ajaran Islam? Kenapa soal ketayap putih pula disebut-sebut.
Memang 95% warga Kampung Molek ini tidak sukakan aku kerana aku ini seorang marhain yang berhijrah dari jauh. Aku bukan anak tempatan.
Tapi itukah alasannya tidak boleh bersuara dalam hal-hal agama?
Perbezaan antara anak watan atau tidak, orang luar atau tidak, orang jauh atau tidak, tidak harus membataskan usaha membetulkan kepincangan terutama dalam agama dan masyarakat.
Sejak itu aku diam, sekadar berdoa supaya Allah tunjukkan jalan yang benar. Aku kira biarlah al-Khalik yang membetulkan.
Aku cuba melupakan segala kebobrokan yang berlaku dalam masyarakat. Biarlah. Seluruh tumpuan aku curahkan untuk memajukan kedai runcitku di samping menganjurkan majlis-majlis usrah dalam kalangan warga Kampung Molek yang memerlukan.
Rupanya dendam mereka terhadapku belum lagi tamat. Masih berbara dan kini semarak.
Majlis usrah yang aku anjurkan difitnah sebagai satu usaha untuk meracun fikiran warga Kampung Molek dengan ajaran sesat.
Ya Allah, ke situ pula tuduhan mereka. Apa yang aku ajar hanyalah soal fardu ain dan fardu kifayah. Kisah-kisah nabi dan para sahabat. Ajar anak-anak kecil dengan iqrak dan muqaddam.
Salahkah aku?
> bersambung Salahkah Aku Mencegah Kemungkaran Itu (bahagian 2 – akhir) <
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Syed Mahadzir Syed Ibrahim. Berasal dari Banting, Selangor. Beliau telah menghasilkan berpuluh-puluh karya dari segi cerpen, esei, puisi, skrip drama radio, skrip drama pentas dan novel.
Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.