, , ,

“Macam biasa ya, Az. Berikan..”

kisah Wan dan cucunya

berilah bantuan

Azfar termenung menongkat dagu di jendela.

“Jauh termenung nampaknya cucu Wan ni. Tak kerjakah?”

Tersenyum seraya membetulkan posisi duduknya. Wajah tua itu sungguh mendamaikan.

“Kerja Wan. Tengah tunggu Mail datang jemput. Kereta Az masih di bengkel. Petang nanti siaplah kereta harapnya.”

Ghazali pula tersenyum. Dia turut sama membuang pandangannya jauh ke kebun sebelah. Melihat-lihat dari petak jendela kerjanya yang akan dia habisi kejap lagi. Lalang-lalang dah mula panjang. Jadilah sebagai senaman untuknya hari ini.

“Hah, panjang pun umur Mail. Dah sampai pun dia. Az gerak dulu ya, Wan,” Azfar menghulurkan tangan menyalami tangan kesayangannya itu.

Ghazali mengeluarkan sekeping sampul duit pada cucunya. “Macam biasa ya, Az. Berikan pada Wak Kamal untuk hadiah buat pelanggannya yang tidak punyai wang makan,” pesannya perlahan.

Azfar berkerut seribu. “Wan, dah seminggu Wan suruh Az buat benda yang sama ni. Memang baik amalan Wan ni, tapi kita kena ikut kemampuan kita juga. Kita pun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jangan nanti semua kita berikan, untuk kita tiada apa-apa pula. Kita pun perlukan duit sama Wan.”

Ghazali hanya tersenyum mendengar rungutan Azfar. Jiwa muda itu tidak sama dengan jiwanya yang telah lalui pelbagai asam garam hidup ini.

Benarkah jika kita memberi, kita akan rasa miskin atau rasa tak cukup?

Benarkah jika kita mahu bersedekah, kita perlukan sejumlah wang yang banyak, baru layak untuk bersedekah?

Mana boleh setakat RM2, RM5 atau RM10, sekurang-kurangnya dalam RM30 ke atas, baru rasa layaknya menyumbang begitu.

Saya teringat kata-kata guru saya, “Sumbanglah seberapa banyak pun, asalkan hatimu ikhlas melakukannya. Sumbanglah meskipun hanya 10 sen sekalipun, jika itu sahaja yang kamu miliki dan kamu redha memberinya.”

Sumbanglah seberapa banyak pun, asalkan hatimu ikhlas melakukannya..

Tapi, apa kaifiatnya amalan bersedekah ini? Sihat sangatkah amalan ini jika istiqamah melakukannya? Pernah atau tidak terlintas di benak fikiran kita, keperluan diri kita pun di takuk yang kritikal, inikan pula mahu memberi pada orang lain. Bukankah lebih baik pentingkan diri kita dulu?

Sedekah ini ibaratnya menyingkirkan duri dalam diri kita. Ia juga sebagai jalan keluar dari kebuntuan yang kita hadapi.

Percayalah, dengan memberi kita akan menerima perkara yang jauh lebih baik.

Jika kita sakit, bersedekahlah, insya-Allah, Allah akan segerakan kesembuhan kita.

Jika kita buntu menghadapi kesempitan hidup, bersedekahlah, bi-iznillah, Allah pasti akan lapangkan jalan rezeki kita itu.

Semakin kita memberi, semakin banyak kita akan menerima. Dan percayalah, kelapangan yang Allah berikan pada kita asbab kepada keringanan kita bersedekah, bukan sahaja datang dalam bentuk wang ringgit, tetapi datang dalam pelbagai bentuk yang kita sendiri tidak sangka-sangka. Ia boleh datang dalam bentuk kesihatan, kelapangan hati, dipermudahkan segala urusan, dan bermacam lagi. Allah itu Maha Hebat!

“Wan rasa lapang dada bila selalu amalkan yang ini.”

Azfar setia menunggu bait seterusnya. Dibiarkan sahaja Mail yang masih setia di dalam kereta.

Selama seminggu ni, Wan kurang sakit-sakit, Wan boleh bekerja di kebun macam muda-muda dulu rasanya. Wan tidak lagi rasa resah-resah seperti sebelum ini, Wan rasa tenang setiap masa. Sebab itulah Wan tekad mahu teruskan amalan bersedekah dengan memberi makan pada mereka yang tidak mampu nak makan. Kedai Wak Kamal tu selalu sahaja Wan tengok gelandangan singgah. Ada baiknya Wan mulakan dulu.”

Azfar terkedu seketika. Benar juga kata Wan. Wan selalu tersenyum sejak seminggu ini, langsung tak ada masalah sahaja meskipun hasil kebun tidak memberangsangkan, dan tidak pula Wan mengadu-ngadu sakit seperti biasanya.

Sedekah dapat melapangkan hati dan menanam sifat syukur dalam diri kita ini, supaya kita sentiasa beringat yang memberi rezeki itu Allah. Dalam rezeki kita, ada rezekinya orang lain juga. Biasakan mengeluarkan sedekah meski hanya sedikit sebab sedekah akan memadamkan api kesalahan, menggembiarakan hati dan menghilangkan keresahan. Sudahlah, Mail dah lama tunggu kamu di bawah tu. Lambat pula ke kerja nanti.”

Azfar angguk faham. Lambat-lambat dia menghadam setiap bicara atuknya itu. Cukup terkesan sekali.

“Mail, kita singgah kedai Wak Kamal seperti biasa. Aku nak beli sarapan kejap,” pinta Azfar sambil mengeluarkan not rm5 dari dompetnya dan dimasukkan ke dalam sampul yang diberi atuknya tadi.

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjalah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada kawan atau teman (yang memberi manfaat) serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Surah Al-Baqarah : ayat 254

 

Maklumat Penulis

Perkongsian ini ditulis oleh Nur Amirah Binti Ishak (Cahayanurish). Minat Travel, membaca, menulis cerpen dan fotografi. Artikel ini merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai sayembara penulisan iluvislam.