,

Apa Sebab Terjadinya Perang Ahzab (Khandaq)?

Para ulama’ berbeza pandangan mengenai bila berlakunya perang Ahzab, antaranya:

  1. Jumhur ulama’ mengatakan ia terjadi pada bulan Syawal tahun kelima hijrah
  2. Al-Waqidi mengatakan ia terjadi pada Selasa 8 Zulkaedah tahun kelima hijrah

Perang Ahzab berlaku apabila ia dicetuskan oleh yahudi bani Nadhir. Setelah mereka meninggalkan Madinah menuju ke Khaibar, mereka merancang strategi untuk membalas dendam kepada kaum Muslimin.

Mereka menghasut kabilah Arab di sekitar untuk memerangi kaum Muslimin. Utusan khas mereka ialah:

  1. Salam bin Abu Haqiq
  2. Huyay bin Akhtab
  3. Kinanah bin Rabi’ bin Abu Haqiq
  4. Haudzah bin Qais Al-Waili
  5. Abu Ammar

Misi mereka disambut oleh kabilah-kabilah lain termasuklah Ghathafan. Malah, utusan yahudi juga mengatakan kepada kaum musyrikin Makkah: “Sungguh agama kamu lebih baik dari agama Muhammad, kamu lebih berhak atas kebenaran melebihi dia.”

Lalu, Allah menurunkan ayat Al-Quran:

“Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad s.a.w). (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya. (Surah An-Nisaa’ 4:51-52)

Kesepakatan dicapai antara utusan yahudi dan pemimpin kalangan badwi Ghathafan, iaitu kesepakatan persatuan bangsa Arab paganis dan ketenteraan yahudi untuk menyerang kaum muslimin.

Lalu, mereka berjaya mengumpul kekuatan 10000 pejuang iaitu 4000 daripada kaum Quraisy dan sekutunya, manakala 6000 lagi daripada Ghathafan dan sekutunya. Mereka menuju ke Madinah untuk memerangi kaum Muslimin.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)