Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada fitnah. Fitnah yang dihamburkan oleh orang-orang yang tidak senang dengan kita.
Kadang kala sesuatu perkara itu kecil sahaja tetapi digembar-gemburkan bagaikan ia sesuatu perkara yang teramat besar.
Nabi Muhammad SAW juga pernah ditimpa fitnah? Ya. Apabila ahli keluarganya yang terhampir, Ummul Mukminin Saidatina Aisyah dipalitkan dengan fitnah yang keji duk mulut-mulut yang hajat itu.
Persitiwa ini dikenali sebagai Hadis al-Ifki.
Dek Kerana Tertinggal Kalung
Peristiwa ini berlaku pada tahun keenam hijrah pasca Peperangan Bani Mustaliq.
Ketika itu Saidatina Aisyah RA telah terpilih untuk mengikuti rombongan perang ini bersama Nabi SAW.
Peperangan ini akhirnya dimenangi oleh tentera Islam dan setelah itu berangkat pulang ke kota Madinah.
Safuan bin al-Mu’attal ini pula ditugaskan untuk mengikuti rombongan dari belakang bagi memastikan tiada sebarang serangan hendap berlaku.
Tiba-tiba beliau terlihat kelibat seseorang sedang mencari-cari sesuatu.
Alangkah terkejutnya beliau apabila mengetahui orang itu ialah Ummul Mukminin Aisyah RA yang sedang mencari kalungnya yang tercicir.
Rupa-rupanya, Saidatina Aisyah telah turun dari tandunya ketika rombongan sedang berhenti rehat tanpa disedari oleh orang yang mengenderainya.
Apabila rombongan kembali bergerak, tunggangan beliau pun turut sama berangkat tanpa merasai apa-apa yang aneh disebabkan oleh beliau ketika itu pula bertubuh kecil. Akhirnya beliau tertinggal.
Tidak semena-mena terpacul ungkapan istirja’ dari mulut Safuan. Inna lillah wa inna ilaihi rajiun!
Tanpa membuang masa, beliau terus memberikan tunggangannya untuk dinaiki oleh Ummul Mukminin ini dan akhirnya bertemu kembali dengan rombongan.
Melihat keadaan itu, tersebarlah kata-kata yang tidak baik berkenaan mereka berdua dan hal ini terus dimanfaatkan oleh golongan munafiqin.
Tidak Masuk Akal
Sudah tentu Safuan amat terkejut mengetahui hal ini. Begitu berat sekali tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya lebih-lebih lagi berkait pula dengan Ummul Mukminin.
Tersebar cerita bahawa mereka berdua telah melakukan sesuatu yang terkutuk sehingga menyebabkan mereka berdua boleh tertinggal daripada rombongan.
Fitnah ini telah mencalarkan nama baik keluarga Baginda SAW dan juga Abu Bakar al-Siddiq RA. Begitu juga dengan Safuan.
Di pihak Safuan, beliau sendiri seorang sahabat yang dekat dengan Baginda.
Apabila dikaitkan dengan fitnah sebegitu rupa, sedikit sebanyak telah menggungat hubungan antara mereka berdua.
Terdapat satu hadis yang diriwayatkan olehnya yang menceritakan tentang perihal solat malam Baginda. Katanya: “Aku telah bersama dengan Rasulullah SAW dalam satu permusafiran.
Aku memerhatikan bagaimana solat malam Baginda. Baginda akan mendirikan solat isyak, kemudian tidur.
Apabila tibanya separuh malam, beliau akan bangun dan mendirikan solat dengan membaca 10 ayat terakhir daripada Surah Ali Imran.
Kemudian Baginda tidur dan setelah itu bangun pula. Baginda bersiwak, berwuduk dan mendirikan pula solat dua rakaat.
Aku sendiri tidak mengetahui yang mana satukah paling lama antara berdirinya, rukuknya ataupun sujudnya.
Setelah selesai Baginda menyambung tidur kembali kemudian bangun sekali lagi…” (Riwayat al-Thabrani)
Jikalau sudah begitu sekali hubungan antara Safuan dan Rasulullah, sudah tentu fitnah tersebut tidak dapat diterima akal.
Jelas sekali hanya bertujuannya untuk memburuk-burukkan Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat Baginda.
Jangan Cepat Melatah
Begitulah dalam hidup ini. Kita tidak dapat lari daripada urusan dunia yang penuh dengan tipu daya ini.
Jikalau ditimpa dengan ujian berupa fitnah, satu sahaja kuncinya. Iaitu jangan cepat melatah.
Lihatlah sahabat nabi ini. Sudah tentulah beliau berasa tidak tenang apabila fitnah tersebut mengaitkan dirinya dengan Ummul Mukminin, isteri tercinta Rasulullah.
Namun, beliau tahu itu semua tidak benar dan Allah pasti akan melenyapkan fitnah tersebut.
Akhirnya, wahyu pun turun menerusi ayat 11-19 Surah al-Nur sekaligus melenyapkan fitnah yang tersebar itu.
Begitulah dengan kita hari ini. Jika diuji dengan apa jua bentuk fitnah dan tohmahan, jangan cepat melatah. Jikalau memang kita berada dipihak yang benar, tegakkan.
Gunakan saluran perundangan yang ada untuk membersihkan nama kita semula.
Kita tidak tahu adanya hati-hati yang jahat yang ada di sekeliling kita.
Ada sahaja yang tidak disukai pada kita terus dilemparkan dengan pelbagai fitnah dan tuduhan.
Bahkan kini lebih mudah. Tidak perlu bersemuka untuk menyebarkan fitnah.
Cukup hanya menaip dengan mengetik papan kekunci sahaja dan membiarkan kuasa ‘viral’ yang menjalahkan tugasnya. Wal’iyazubillah.
Rujukan:
Siyar A’lam al-Nubala’ : Imam al-Dzahabi.