,

Say No To ‘Aku Lebih Baik’

ISLAM merupakan agama yang indah, yang menuntut penganutnya supaya bersikap adil dalam setiap aspek kehidupan.

Dalam bermuamalah dengan orang sekeliling, kita akan dapati bahawa manusia ini tidak hanya mempunyai satu ragam yang sama. Bak kata pepatah melayu, “Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.”

Bukan semua orang sehaluan dengan kita, kadangkala manusia ini memandang dari pandangan atas sedang yang lainnya memandang dari pandangan bawah.

Analogi pandangan ini saya kira umpama menaiki kapal terbang, cuba kita perhatikan pemandangan dari luar jendela. Semakin tinggi kita terbang, dunia ini terasa semakin kecil, pandangan kita menjadi lebih luas berbanding jika hanya melihat dari atas daratan.

Namun, perlu kita berhati-hati dalam memerhatikan sesuatu. Terkadang, bila kita melontarkan pandangan, kita lupa bahawa orang lain juga punya pendirian dan pandangan mereka sendiri.

Bukan hanya kita yang punya mata dan akal fikiran sehingga kita hanya menganggap bahawa hanya kita yang benar, hanya pandangan kita layak diguna pakai.

Dalam Al-Quran telah dirakamkan tentang sikap meninggi diri, sikap yang mana merasakan kita yang paling terbaik daripada yang lain melalui kisah iblis yang ingkar. Dalam surah Al-hijr ayat 32 dan 33 yang bermaksud:

Allah berfirman: “Hai iblis, apa sebabnya kamu tidak (ikut sujud) bersama-sama mereka yang sujud itu?” (15: 32)

Berkata Iblis: “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.” (15: 33)

Ayat ini menunjukkan sikap angkuh si iblis untuk mentaati perintah Allah supaya sujud kepada nabi Adam kerana dia merasakan bahawa dirinya lebih hebat berbanding nabi Adam yang dicipta daripada tanah.

Hakikatnya, perintah untuk sujud itu bukanlah semata-mata supaya mereka sujud kepada nabi Adam, bahkan hakikatnya ianya adalah perintah daripada Allah yang wajib ditaati oleh sekalian hamba.

Dalam lipatan sejarah manusia, orang yang meninggi diri seringkali tersungkur di penghujung usia. Mereka menyangkakan bahawa mereka yang terbaik, mereka yang paling berkuasa dan tidak ada yang akan mampu menghalang mereka untuk melakukan apa-apa yang mereka suka di atas muka bumi.

Lihat sendiri bagaimana Qarun yang berbangga dengan banyaknya harta ditenggelamkan ke dalam bumi, atau Firaun yang berbangga dengan kekuasaannya terbenam ke dalam lautan.

Riak atau menunjuk-nunjuk dan merasakan dirinya lebih baik adalah tergolong dalam syirik khofi atau syirik yang kecil. Manusia seharusnya tidak punya rasa meninggi diri walau di peringkat mana dia berada kerana hakikatnya Allah jualah sandaran atas segala kemampuan manusia.

Kita hakikatnya sedang berada di dalam posisi yang kita mampu, di dalam posisi yang melengkapkan kehidupan orang lain dan tidak hanya melengkapkan kehidupan kita.

Seorang pemimpin itu melengkapkan kehidupan orang yang dipimpin melalui pentadbirannya, seorang guru melengkapkan kehidupan muridnya melalui apa yang diajarkan, seorang petani melengkapkan kehidupan masyarakat melalui hasil tuaiannya.

Hidup ini bukanlah berkisar tentang ‘HIDUP AKU’ semata-mata. Bahkan ianya menjangkaui batasan itu, mana ada manusia yang hidupnya di atas kakinya sendiri 100%.

Orang kaya kenyang dengan hasil tangan dan penat lelah si buruh, orang miskin dapat meneruskan hidup dengan hasil upah daripada sang majikannya.

Jika kita memandang hanya dari kaca mata hidup kita, kita tidak akan mampu untuk menyelami peritnya kehidupan orang lain untuk menyara kehidupan seharian.

Namun di sebalik ikhtiar dan penat lelah kehidupan, Allah jualah yang berkuasa mengurniakan rezeki dan pemberian kepada hamba-hambaNya. Kita hanya mampu mencari jalan, berusaha sedang hasilnya sedikit atau banyak Allah jualah yang mengetahui.

Begitu juga keadaannya dalam perihal ibadat dan iman, manusia itu cabang kebaikannya pelbagai. Allah yang lebih mengetahui dengan jalan apa hambaNya itu akan dikurniakan nikmat syurga kelak.

Ada orang cabang kebaikannya melalui sedeqah, ada yang melalui istiqomah tahajud, ada yang melalui akhlaknya bahkan berbagai lagi keadaannya amal baik manusia di sisi Allah.

Kita hanya mampu melihat manusia secara zahir sahaja sedangkan apa yang di dalam hati itu tetap menjadi kerahsiaan eksklusif milik Allah untuk menilainya.

Orang yang sedar dirinya hamba tidak akan senang dirinya disanjung dan dipuji, kalamnya menenangkan hati, tingkahnya mendidik diri, pandangannya terus masuk ke dalam hati.

Semoga kita sentiasa sibuk menilai diri sendiri, meraikan orang lain yang punya pandangan tersendiri. Hidup ini terlalu singkat untuk saling memusuhi, hilang nikmat jika hanya mengharapkan manusia yang memuji dan hilang izzah diri bila terlalu mahu disanjung dan dihormati.

Hidup ini berkisar tentang saling lengkap-melengkapi, kita punya peranan kita yang tersendiri untuk menjadikan hidup ini satu perjalanan yang indah berseri, bukan sekadar mencari kepuasan diri sendiri.

Bahkan bersama-sama keluarga dan masyarakat berpimpin tangan menghiasi dunia yang semakin dihujani longgokan persepsi.

Mulakan dengan diri kita, aku, kau, dia dan kita adalah sama. Berjalan di atas bumi yang sama, menghirup udara dari sumber yang sama, meminjam nafas daripada Allah yang Maha Esa, dan kelak akan kembali ke alam yang kekal berbekalkan hitungan amalan selama hidup di atas dunia.

Pesan buat diri dan sekalian pembaca, semoga memperbaiki diri sendiri menjadi salah satu urusan terpenting dalam kehidupan kita.

Siiru a’la barakatillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syarifah Nurul Baiti binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan dan merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.