Hati dan niat. Keduanya merupakan elemen dalaman seseorang manusia, tidak diketahui isinya melainkan tuannya. Padanya, Tuhan menilai seseorang hamba, bersih hatinya atau ikhlas niatnya.
Sahabat-sahabat,
Bagaimana kita mempersiapkan hati untuk dilihat oleh Tuhan kita? Bagaimana kita mempersembahkan niat sesuatu perkara agar diterima oleh Tuhan kita?
Hari ini, kita akan membicarakan soal intipati sesuatu perkara dan amalan iaitu soal hati dan niat.
Mari kita sama-sama lihat sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada luaran ataupun jasad kamu, akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati kamu dan amalan kamu.”
Sekiranya seorang raja atau sultan bakal bertandang ke rumah kita, bagaimana persiapan yang kita akan lakukan? Rumah dikemas rapi, lantai dan tingkap dimop bersih, perhiasan disusun cantik, tuan rumah bersiap sedia di luar pintu, makanan terhidang siap untuk dijamah.
Persiapan kita begitu hebat sekali, bukan?
Namun, bagaimana pula persiapan hati?
Tahukah kita, Tuhan sekalian alam sentiasa melihat hati kita? Siapakah Allah SWT pada pandangan kita? Allah SWT adalah Tuhan atau kita rasa biasa-biasa saja tak rasa apa-apa?
Bagaimana persiapan kita menyediakan tempat untuk dilihat Tuhan? Selalu sekali, hati kita dibiarkan kotor, tidak bersih, tidak ikhlas kerana Tuhan.
Amal baik didatangi riak untuk dilihat orang, ibadah di tengah malam disusuli dengan ujub rasa bangga dengan diri, perbuatan baik orang lain diikuti dengan dengki tidak puas hati.
Betapa kotornya hati seorang hamba. Menyediakan tempat terburuk untuk dilihat Tuhannya. Dalam pada itu, kita sangka amalan telah banyak?
Solat 5 waktu dan puasa sudah cukup untuk masuk syurga? Sedekah dan zakat yang diberi, petanda harta telah bersih sepenuhnya? Haji dan umrah kononnya berpenat lelah menghabiskan tenaga dan wang, telah diampun dosa selamanya? Tidak semestinya begitu.
Jauh sekali keikhlasan dalam melakukan ibadat. Jelek sekali hati dengki kepada sahabat-sahabat.
Kebahagiaan Hidup Bermula Daripada Hati Yang Suci
Kebahagiaan hidup dambaan setiap orang. Baik Muslim, Non-Muslim, dan Atheis.
Sesungguhnya, orang yang paling tenang di dunia ini, bukanlah mereka yang banyak harta. Bukan juga mereka yang tinggi pangkat dan ada kuasa. Bukan juga mereka yang memiliki isteri yang cantik serta anak-anak yang ramai.
Ketahuilah, individu yang paling bahagia hidupnya di dunia ialah Wali Allah. Allah berfirman dalam Al-Quran:
“(Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita ).” (Surah Yunus: 62)
Menurut Imam Abu Ja’far Ath-Thohawi dalam Aqidah At-Thohawiyah, “Setiap mukmin adalah wali Allah. Dan wali yang paling mulia di sisi Allah ialah wali yang paling taat dan paling mengikuti Al-Quran.”
Ulama’ menafsirkan bahawa Wali Allah ialah mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, serta melaksanakan tuntutan imannya dan sangat cinta akan Tuhannya.
Merekalah yang paling bahagia di dunia ini, juga di akhirat nanti, kerana cinta mereka dan hati mereka berpaut kepada Allah SWT, Tuhan yang mencampakkan kebahagiaan dalam diri manusia.
Adakah kita bahagia? Soalan yang perlu kita tanya pada diri. Berapa ramai orang kaya yang tidak bahagia, stress dengan kerja dan penat menguruskan harta. Berapa ramai yang besar jawatannya banyak kuasa, risau dijatuhkan dan ramai musuhnya. Ia bukanlah penjamin kebahagiaan.
Kebahagiaan sebenar terletak pada hati, sekiranya hatinya berhubung dengan Tuhan Pemilik Segala Makhluk, tiada risau dan gelisah padanya.
Sekalipun dicemuh sejuta manusia, makan sekadar sahaja, tetapi hati berpaut pada pemilik segala manusia dan pemilik segalanya. Dialah sebaik-baik pelindung dan penjaga. Moga kita tergolong dalam kalangan mereka.
Ilmu Penyucian Hati
3 ilmu utama yang merupakan Fardu Ain, wajib bagi setiap individu Muslim iaitu Ilmu Akidah, Fekah dan Tasawuf. Akidah membicarakan soal iktikad dan pegangan. Fekah berkaitan Ibadat dan hukum-hukum syariat bersifat luaran. Tasawuf membicarakan soal hati yang bersifat dalaman.
Berkata Imam Ar-Rifaie berkenaan ilmu tasawuf, “Sesiapa yang suci hatinya, dialah ahli tasawuf (Sufi).”
Kesucian hati seseorang tidak diukur dengan luaran, jubah dan serban, tudung labuh dan purdah, tidak semestinya juga mereka yang berbaju buruk dan lusuh boleh digelar zuhud dan sufi (orang yang suci hatinya kerana menolak dunia).
Hal ini kerana, hati adalah soal dalaman. Boleh jadi orang yang berbaju mahal, bercakap di hadapan khalayak ramai dengan begitu gah, tapi hatinya tunduk merasa rendah diri kepada Allah.
Boleh jadi juga orang yang berada di belakang, bawah kedudukannya sesama manusia tetapi hatinya tinggi sombong kepada Allah SWT.
Oleh itu, husnuzhon (berbaik sangka) sesama manusia, nescaya hati akan sentiasa tenang, tidak membezakan antara manusia berdasarkan luaran.
Bak kata Syeikh Yusuf Bakhour Al-Hasani, “Untuk mendapatkan Husnul khatimah (Sebaik-baik kematian), pertama mestilah Husnuzhon (Berbaik sangka) kemudian Husnul Ibadah (Baik ibadatnya) disusuli juga dengan Husnul khuluq (Akhlak yang baik), dengan izin Allah akan diakhiri dengan Husnul khatimah (Sebaik-baik kematian dan penutup dunia).”
Moga-moga dengan perkongsian ini, memahamkan kita soal hati dan aspek dalaman seseorang manusia. Sekaligus dapat mengubah sudut pandang kita kepada manusia yakni dengan memandang orang lain sebagai mulia, dan memandang diri dengan rasa hina dan rendah diri.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Zubair bin Amir Nur Rashid. Berasal dan Sungai Petani, Kedah. Merupakan graduan Universiti Mu’tah, Jordan dalam jurusan Syariah, Feqh wa Usuluh.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.