,

Bahaya Sombong – Menempah Tiket Ke Neraka

Kita meniti perjalanan masa yang singkat dari semasa ke semasa. Kita tidak dapat meramal detik roh kita akan dicabut oleh Malaikatul Maut.

Bersihkanlah kotoran (jiwa sombong) yang menulis nokhtah noda di dalam qalbu kita ini. Andai lidah bergetar melafazkan zikir 1000 kali sekalipun, sia-sia jika terselit sebesar zarah kesombongan.

Sifat sombong berasal dari sifat terpuji Iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam:

“Aku lebih baik daripadanya (Adam), aku diciptakan dari api sedangkan dia diciptakan dari tanah.” (Surah al-A’raf 7:12)

Sifat sombong sangat jahat. Ia adalah racun yang boleh membunuhkan jiwa, membinasakan akal fikiran.

Ianya merupakan perbuatan hina yang keji, dan perbuatan kotor yang nyata menjauhkan kita dari Tuhan Yang Maha Esa.

Sombong juga berasal daripada sifat para penentang dan pembunuh para Nabi sepertimana di jelaskan di dalam surah al-Baqarah 2:87 ini.

“Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?”  (Surah Al-Baqarah 2:87)

Wahai insan. Masa terus berjalan. Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Masa mencemburui perjalanan kita. Ramadhan bersilih ganti dengan Ramadhan. Bersihkanlah hati kalian daripada jiwa yang penuh dengan sifat kesombongan.

Wahai insan yang sombong, ketahuilah amat ngeri sekali amaran azab neraka menanti anda. Allah murka dan memberi amaran akan menyeksa golongan sombong dengan azab neraka yang tidak terperi sakitnya.

“Sesudah itu, orang-orang yang beriman beramal soleh, Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala (balasan) mereka, dan Ia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka. Sebaliknya orang-orang yang enggan beribadat kepada Allah dan berlaku sombong takbur, maka Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan memperoleh sesiapa pun – yang lain dari Allah – yang akan menjadi pelindung atau penolong bagi mereka.” (Surah An-Nisaa’ 4:173)

Wahai ibu bapa, didiklah anak-anak kita agar tidak mewarisi sifat keji ini. Sekiranya kita juga sombong, anak-anak kita yang akan memikul beban kesilapan kita hingga mereka tidak kenal budaya sendiri.

Didiklah mereka dengan keindahan ayat suci al-Quran. Nasihat Lukman kepada anaknya juga boleh dijadikan model didikan kepada anak-anak kita agar tidak berjalan dengan perasaan sombong di muka bumi ini.

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman 31:18)

Allah S.W.T telah memberikan perumpamaan bahawa golongan penyombong amat sia-sia sekali kerana mereka tiada daya menembusi bumi atau menyamai ketinggian gunung-ganang.

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (Surah Al-Israa’ 17:37)

Suka saya menukilkan kata-kata daripada Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumuddin. Imam al-Ghazali mendefinisikan golongan penyombong sebagai memiliki hati yang miskin.

“Dan setiap yang menyombongkan diri itu miskin dan merendahkan diri pada sisi kemuliaanNya.”

Sifat sombong merupakan tiket yang menempah jalan ke neraka. Mereka bukan sahaja memiliki perasaan yang miskin di dunia, malah akan mengharungi nasib yang tercela di dalam api neraka.

Justeru, jangan biarkan sifat sombong terus-menerus meniti tiket perjalanan kita ke neraka. Di dalam firmanNya,

“Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam kekallah kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam”. (Surah Ghaafir 40:76)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia. Ikuti blog beliau http://mridhuansulaiman.blogspot.my/

Adik penulis ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.