Kokokkan ayam jantan menjadi tanda subuh hampir menjelma.
“Tuan hamba bangkit. Sudah tiba masa fajar mengambil tempatnya.”
Anak muda itu masih dalam lenanya. Kain selubungnya makin ditarik tinggi menutupi kepalanya. Dingin subuh terasa mencengkam tulang belulangnya.
Si tua yang sudah bersiap lama itu masih gagah membangunkan anak muda itu.
“Tuan hamba. Ayuh gagahkan diri mengangkat sehelai kain yang cuba membaluti tubuhmu.”
“Hamba masih tidak mampu membuka matanya.”
Si tua hanya menggelengkan kepalanya.
“Bagaimanakah tuan hamba mahu mengalahkan anakanda hamba jika begini caranya.”
Anak muda itu bingkas bangun. Tanpa sedar dia menolak si tua. Si tua terbaring di sisinya.
“Persiapkanlah diri tuan hamba segera. Fajar hampir menyinsing”. Bicara si tua sambil membetulkan kedudukkan dirinya.”
Si tua meneruskan rutin harian seperti kebiasaannya. Kayu-kayu api yang dikumpulnya dibelah menjadi lebih kecil.
Anak muda itu hanya memerhatikannya dari pondok.
“Kasihan benar hamba melihat tuan hamba. Putera yang gagah tidak mampu menolong ayahandanya.”
Si tua tidak marah. Dia masih tersenyum.
“Hamba telah merestui perjalanannya. Lagipula hamba sedang mengabdi diri pada Sang Pencipta.”
“Sudah berapa lama dia bepergian? Bukankah pengabdian itu hanya di tikar sembahyang?
“Beberapa hari yang lalu. Ibadah itu bukan begitu. Semua perkara yang disandarkan hanya pada Allah itu akan menjadi ibadah jika benar caranya.”
Anak muda itu tidak berminat berkaitan konsep ibadah yang dibicarakan si tua. Dia lebih tertumpu hanya pada lawannya sahaja.
“Ini bermakna hamba masih berpeluang menemukannya tidak jauh dari sini. Bolehkah tuan hamba khabarkan di mana arahnya?”
“Bolehkah hamba bertanya sesuatu dahulu sebelum memberikan jawapannya?”
“Silakan.”
“Bagaimanakah keadaannya orang tua tuan hamba. Adakah keduanya merestui perjalanan tuan hamba?”
Anak muda itu kelihatan agak tidak suka dengan pertanyaan seperti itu.
“Hamba ini tidak punya siapa-siapa. Selama ini hamba berkelana sendiri di dunia ini.”
Si tua pula bertukar kasihan melihat nasib anak muda itu.
“Di manakah jawapannya? Hamba telah menjawab persoalan tuan hamba.” Anak muda itu kelihatan tidak sabar menantikan jawapannya.
Cukupkanlah bekalan tuan hamba dahulu sebelum menemukan anakanda hamba.”
“Hamba tidak memerlukannya. Hamba sudah cukup gagah untuk beradu tenaga bersamanya.”
“Hamba amat menghormati pendirian dan semangat tuan hamba. Maaf jika hamba bertanya. Apakah itu tujuan hidup tuan hamba?”
“Itulah tujuan hidup hamba selama ini. Hamba harus terus gagah untuk menewaskan semua lawan hamba.”
“Maaf tuan hamba. Jika benar begitu. Tuan hamba masih perlu tinggal di sini buat beberapa lamanya supaya membawa bekalan yang cukup untuk menewaskan anakanda hamba”.
“Apakah dia benar-benar hebat hingga tidak mampu ditandingi sesiapa.”
“Begitulah menurut pemikiran hamba. Hamba yang membesarkan dan mempersiap pakaian, makan dan minumnya.”
“Aneh juga. Dia sudah begitu hebat. Mengapa harus dia merantau ke tempat lain.”
**********
Lima tahun lamanya anak muda itu tinggal bersamanya. Anak muda itu kelihatan lebih matang daripada sebelumnya. Ilmu agamanya juga semakin bertambah.
Kemesraan perhubungan antara manusia itu mula meresap ke dalam jiwanya. Si tua tidak segan dipanggilnya ayahanda. Begitu juga sebaliknya buat diri si tua. Anak muda itu sudah seperti anak kandungnya.
“Ayahanda rehatkanlah dirimu. Biar anakanda sahaja yang melaksanakan semuanya.”
Si tua tersenyum sambil terbatuk-batuk kecil. Tangan kanannya menahan dadanya yang dirasakan kesakitan yang amat sangat. Wajahnya si tua masih bahagia meskipun dalam kesunggulan.
Dia menatap dalam anak muda yang sudah diibaratkan seperti anak sendiri itu. Pandangannya seperti saat pertama kali mereka bertemu.
“Wahai anakanda kesayangan hamba. Ayahanda bahagia melihat keadaanmu saat ini. Kelihatannya anakanda sama gagah atau mungkin lebih gagah daripada anakanda ayahanda.”
“Itu semua berkat tunjuk ajar ayahanda. Terima kasih atas pemeliharaan dan tunjuk ajar ayahanda.”
“Wahai anakanda, tuhan kita itu yang lebih menyayangi dan sentiasa memeliharamu, anakanda hamba.”
“Ayahanda tidak perlu banyak bicaranya. Rehatkanlah dirimu.”
“Wahai anakanda hamba, apakah anakanda masih berhajat menewaskan si lawan iaitu anakanda ayahanda?”
“Anakanda sudah tidak berhajatkannya lagi. Anakanda hanya berhajat dapat hidup lebih lama bersama ayahanda.”
“Jika boleh melaksanakannya, ayahanda juga mahu sedemikian rupa. Anakanda, sudikah anakanda menunaikan dua lagi hajat ayahanda.”
“Apa sahaja hajatmu ayahanda.”
“Anakanda kesayangan ayahanda ini anak laki-laki yang gagah lagi berani. Saat ayahanda sudah tiada lagi di dunia ini. Hiduplah anakanda seperti dulunya lalu pandulah bersama iman dan taqwa mu. InshaAllah. Ayahanda akan lebih tenang nanti saat menghadap-Nya.”
Anak muda itu hanya menganggukkan kepalanya perlahan. Dia sudah tidak mampu melihat keadaan si tua.
“Kemudian kuburkanlah ayahanda di sebelah pusara anakanda ayahanda. Tibalah masanya pula buat ayahanda bertemu semula anakanda ayahanda yang sudah lama dulu menempuh jalan ini.”
Nafas terakhir si tua bersama bisikan kalimah Allah itu meninggalkan pelbagai perasaan di jiwa anak muda itu.
Anak muda itu tidak pernah menyangka si lawannya sudah lama pergi menghadap Ilahi. Pemergiannya bukan kerana persilatan.
Saat dia membantu ayahandanya dirinya diambil Ilahi. Begitulah kisah kebanyakan orang kampung yang didengarnya.
Meskipun begitu si tua masih mampu tenang dan tersenyum menempuhi jalan hidupnya hinggalah bertemu akan dirinya.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Anis Wafda binti Ahmad Asri. Berasal dari Gombak, Selangor.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.