Syahdan bermula sebuah kisah seorang pemuda yang gagah perkasa lagi bagus wajahnya.
Anak muda ini memulakan perjalanannya menuju ke sebuah wilayah. Adapun tempat asalnya sudah tiada lawan tandingnya.
Maka anak muda ini berkelana apabila mendengar ada seorang yang ahli masih belum mampu ditandingi sesiapa.
Semangat yang berkobar membawanya pergi ke sana. Bekalan yang dia punya hanyalah kekuatan fizikal dilatihnya sedekad cuma.
Sepurnama sudah perjalanannya. Namun anak muda ini kelihatan masih gagah meneruskan niatnya.
Pucuk rimba dan air sungai membantu menambahkan tenaganya yang semakin menghilang kelelahan.
Sekian lama perjalanan bertemu juga anak muda itu tempat yang dikatakan banyak orang. Kelihatan sebuah pondok usang terletak jauh di hujung kampung.
“Assalamu’alaikum.” Seorang lelaki separuh abad umurnya menyapa anak muda itu dari belakang.
“Wa…wa…a…alaikum…salam.” Anak muda itu menjawab agak lambat. Bukan gerun mahupun terkejut. Ucapan itu sudah lama tidak didengarkan.
“Apakah hajat tuan hamba bertandang ke mari?” Tenang wajah si tua menyapa. Sedikit senyuman terbit dari bibirnya.
“Hamba ada mendengarkan khabar bahawa ada seorang yang ahli dalam persilatan tinggal di sini. Jadi hamba mahu mencuba beradu tenaga dengannya.”
“Adakah tuan hamba mengenali gerangan si lawan?”
“Hamba tidak mengenalinya. Hajat hamba hanya mahu menewaskannya.”
Si tua menatap dalam anak muda itu. Senyuman tidak pernah lekang di bibirnya.
“Tidak mungkin lelaki tua ini adalah orangnya.” Anak muda itu berkata sendiri dari hatinya. Lelaki tua dengan fizikal badan yang agak kecil itu ditelitinya.
“Tidak mengapalah jikalau tuan hamba tidak mengenalinya. Silakan beristirehat di pondok hamba sebelum meneruskan perjalanannya. Kelihatannya diri tuan hamba tidak begitu terurus.”
“Hamba tidak berhajat untuk perkara tersebut.” Anak muda itu menolak pelawaan si tua dengan agak kasar.
“Tuan hamba begitu cerdas dalam pertimbangannya menurut pemikiran hamba. Bolehkah kiranya hamba meminta sedikit pendapat daripada tuan hamba?”
“Apa sahaja. Asalkan tidak mengganggu urusan hamba. Kelihatan langit bertambah gelap. Hamba harus segera menemukan si lawan.”
“Begini tuan hamba. Saat ketika hamba mahu ke mari. Hamba menemukan seorang buta. Si buta tidak mahu hamba memimpinnya mencari jalan. Bagaimanakah pendapat tuan hamba. Adakah hamba harus menemukannya semula ataupun melupakannya sahaja?”
Anak muda itu terdiam beberapa ketika mendengar permasalahan si tua. Dia mula berfikir-fikir sedang si tua sudah meninggalkannya beberapa tapak di hadapan.
Anak muda itu mengekori langkah si tua.
“Adakah tuan hamba telah menemukan jawapannya?” Tanya si tua sambil meneruskan langkahnya.
“Hamba tidak menemukannya.”
“Terima kasih wahai anak muda.”
“Hamba tidak memberikan jawapannya. Jadi, terima kasihnya atas apa?”
“Terima kasih masih bertemu hamba dan memberikan pendapat tuan hamba. Hamba memohon maaf menyusahkan tuan hamba atas hal yang remeh-temeh.”
Tiada bicara sepatah pun dari anak muda itu. Langkah si tua masih diturutinya.
Si tua memberhentikan langkahnya lalu berpaling menatap anak muda itu.
Adakah tuan hamba berhajatkan sesuatu dari hamba?”
“Hamba tidak berapa pasti. Hanya menuruti langkah kakinya.”
“Marilah ke pondok hamba membersihkan diri tuan hamba dan menikmati sedikit hidangan. Hamba mengerti perjalanan ini pasti melelahkan.”
Si tua meneruskan langkahnya. Anak muda itu terpaku. Ada bunyi asing keluar dari perutnya.
Kayu api yang dipikul si tua dihimpunkan di bawah pondok. Kakinya dibersihkan menggunakan air tadahan hujan dari tempayan yang sudah usang. Anak-anak tangga itu dipanjatnya perlahan-lahan.
Anak muda itu hanya menurut gerak si tua dari mula.
“Silakan duduk tuan hamba. Hamba mahu menyediakan hidangannya.”
“Tuan hamba tinggal bersendirian?”
“Hamba punya seorang anakanda laki-laki.”
“Di manakah gerangannya?”
Si tua termenung lama. Dia bingkas bangun lalu menuju ke kamarnya. Seketika kemudian dia keluar dengan wajah yang gembira bersama sepersalinan pakaian yang masih elok.
“Silakan mencubanya. Kelihatan amat padan dengan susuk tubuh tuan hamba.”
Anak muda itu hanya meneliti pakaian itu. Riak wajahnya agak kebingungan.
“Itu persalinannya anakanda hamba. Saat ini dia sedang menempuh perjalanan yang panjang.”
“Masakan tidak membawa pakaian?”
“Itu pakaian yang ditinggalkan. Dia sama baya dan segagah tuan hamba.”
“Ini bermakna dia lah si lawan yang hamba cari?”
Si tua tidak menjawabnya. Hanya senyuman yang diberikan.
“Hamba perlu segera menemukannya. Ke manakah arahnya yang hamba harus turuti?”
“Wahai anak muda, tangguhkan dahulu perjalanan mu. Hari kelihatan semakin gelap.”
> bersambung Erti Perjuangan Yang Sebenar (bahagian 2-akhir) <
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Anis Wafda binti Ahmad Asri. Berasal dari Gombak, Selangor.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.