,

Kisah Di Sebalik Karya Agung Tafsir Al-Azhar (bahagian 1)

Tafsir Al-Azhar merupakan satu karya tafsir Al-Quran yang agung dalam simpanan khazanah ilmu terutama bagi umat Islam Nusantara.

Barang siapa yang membacanya tentu akan lahir satu perasaan kagum lantaran susunan bahasanya yang halus dan kandungan bagi setiap penafsiran amat menyeluruh bahkan ia merangkumi hampir kesemua lapangan ilmu termasuk ilmu alam dan teknologi.

Walaupun begitu mungkin ramai dalam kalangan kita tidak mengetahui bahawasanya di sebalik Tafsir Al-Azhar yang agung itu ada cerita yang tersirat di sebalik setiap patah perkataan yang dinukilkan oleh penulisnya iaitu Buya Hamka.

Profesor Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau dikenali sebagai Buya Hamka merupakan insan yang tiada latar pendidikan formal seperti mana kebanyakan kita.

Tetapi beliau mempunyai Iradat yang kuat untuk menuntut ilmu dan berjuang di lapangan masyarakat sehinggakan nama beliau masyhur bukan sahaja di nusantara tetapi di dunia Islam secara umumnya.

Namanya kian di sebut-sebut di dunia Islam sehingga Universiti Al-Azhar memanggilnya untuk mengalungkan anugerah tertinggi kepada Buya Hamka lantaran jasanya kepada umat Islam.

Menerima Gelaran Doctor Honoris Causa Daripada Al-Azhar Al-Sharif

Pada 1959 masihi, beliau dijemput oleh Universiti Al-Azhar untuk menerima anugerah yang mana sangat bermakna dalam hidup beliau.

Dengan penganugerahan itu beliau membuat keputusan untuk menulis satu karyanya yang agung iaitu Tafsir Al-Azhar.

Dan dari sini kita dapat melihat latar belakang Tafsir Al-Azhar itu sendiri. Kata Buya dalam nukilannya di pembukaan Tafsir Al-Azhar:

“Ijazah yang amat penting di dalam sejarah hidup saya itu, telah saya terima dengan penuh keharuan. Sebab ia ditandatangani oleh Presiden Republik Persatuan Arab sendiri, Gamal Abdel Nasser, dan Syeikh Jami’ Al-Azhar yang baru, yang Al-Azhar sangat mencapai martabat gilang-gemilang selama masa pimpinan beliau. Itulah Syeikh Mahmoud Syaltout. Dan beliau turut hadir dalam muhadharah saya di gedung asy-Syubbanul Muslimun itu.

Saya kirimlah kepada beliau sepucuk surat terima kasih yang sebesar-besarnya atas anugerah dan penghargaan itu. Apatah lagi dengan jelas terpampang di dalamnya bahawa “ijazah” yang diberikan kepada saya itu ialah “Raqam I”, iaitu sayalah orang pertama yang memperolehi kehormatan itu semenjak Al-Azhar menciptakan peraturan itu…”

“Terasalah oleh saya suatu utang budi yang amat mendalam untuk menyajikan satu buah tangan, yang moga-moga kiranya banyak atau sedikit dapat memenuhi penghargaan yang tinggi itu. Maka saya karanglah Tafsir ini. Akan tetapi, selalu saya tertanya-tanya di dalam hati, bilakah Tafsir ini akan selesai dikerjakan? Padahal, tugas-tugas yang lain di dalam masyarakat terlalu besar pula?

Saya kerap kali meninggalkan rumah, keluar kota, dan memenuhi undangan dari kawan-kawan sefahaman di daerah-daerah yang jauh. Saya juga menjadi pensyarah pada beberapa perguruan tinggi, baik di Jakarta mahupun di daerah. Saya pun menjadi guru besar di Pusroh (Pusat Pendidikan Rohani) Islam Angkatan Darat. Kalau begini halnya, nescaya Tafsir Al-Azhar ini tidak akan selesai dalam masa dua puluh tahun. Padahal, umur bertambah tua juga.”

Tetamu Yang Tidak Diundang

“Pada Senin, 12 Ramadhan 1385, bertepatan dengan 27 Januari 1964, saya mengadakan pengajian mingguan di Masjid Agung Al-Azhar (masjid di hadapan rumah Buya di Kebayoran Baru, Jakarta selatan) terhadap kira-kira seratus orang kaum ibu, yang umumnya terdiri atas kaum terpelajar. Hari itu ditafsirkan surah Al-Baqarah ayat 255 atau ayat kursi (yang biasa dihafal itu). Pukul 11 siang, selesai pengajian dan kembalilah saya ke rumah untuk berlepas lelah sejenak menunggu datangnya waktu Zuhur.

Setelah kira-kira setengah jam saya beristirahat, anak saya memberitahukan ada empat orang tetamu yang telah duduk di beranda muka ingin bertemu dengan saya. Saya berlalailalai kira-kira lima minit dan saya lihat dari celah pintu ada mobil Fiat berhenti. Pada sangka saya, tentulah keempat tetamu itu pengurus dari salah satu masjid di Jakarta yang datang mengundang untuk mengadakan tabligh dan tarawih bulan puasa.

Dengan tenang, saya pun keluar. Wajah keempat tamu itu tenang dan penglihatan mereka mendalam kepada saya. Saya pun bertegur sapa dengan mereka secara baik-baik dan bertanyakan apakah maksud kedatangan mereka. Lalu, seorang di antara mereka menghulurkan sepucuk surat, bersampul baik. Surat itu saya baca dengan tenang; rupanya ialah surat perintah menangkap saya! Barulah saya tahu bahawa keempat mereka adalah polisi berpakaian preman.

Dalam keadaan tidak tahu apa kesalahan saya, dalam tengah hari letih berpuasa, saya dijemput dan dicabut dengan segenap kekerasan dari ketenteraman saya dengan anak isteri, disisihkan dari masyarakat, dan dimasukkan ke tahanan. Setelah empat hari dalam tahanan, barulah saya diperiksa dengan tuduhan yang amat hebat dan ngeri, iaitu bahawa saya mengadakan rapat gelap di Tangerang pada 11 Oktober 1963.

Yang dikatakan dalam rapat itu ialah hendak membunuh Menteri Agama H. Saifuddin Zuhri dan hendak mengadakan Coup d’etat (Kudeta). Untuk semua maksud ini, saya mendapat bantuan dari Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia, banyaknya empat juta dollar. Ertinya menurut tuduhan ini saya adalah seorang penghianat besar tanah air.”

Terlintas Ingin Membunuh Diri

Dalam karyanya Tasawuf Moden, Buya Hamka menceritakan detik-detik hitam yang dilaluinya ketika di dalam tawanan penjara. Kata Buya dalam tulisannya:

“Saudara penghianat, menjual negara kepada Malaysia!”

Kelam pandangan mendengar ucapan itu, Berat!

Ayah saya adalah seorang alim besar. Dari kecil saya dimanjakan oleh masyarakat, sebab anak orang alim! Sebab itu maka ucapan terhadap diri saya pada waktu kecil adalah ucapan kasih.

Pada usia 16 tahun, saya diangkat menjadi Datuk menurut adat gelaran pusaka saya ialah Datuk Indomo.

Sebab itu sejak usia 12 tahun saya pun dihormati secara adat. Lantaran itu sangat jaranglah orang mengucapkan kata-kata kasar di hadapan saya.

Kemudian saya pun beransur dewasa. Saya campuri banyak sedikitnya perjuangan menegakkan masyarakat bangsa, dari segi agama, dari segi karang-mengarang, dari segi pergerakan Islam Muhammadiyah dan lain-lain. Pada tahun 1959, Universiti Al-Azhar memberi saya gelaran Doctor Honoris Causa, kerana saya dianggap salah seorang ulama terbesar di Indonesia.  

Sekarang terdengar saja ucapan:

“Saudara penghianat, menjual negara kepada Malaysia”

Gementar tubuh saya menahan marah, kecil polisi yang memeriksa dan mengucapkan kata-kata itu saya pandangi, dan pistol ada di pinggangnya.

 

bersambung Kisah Di Sebalik Karya Agung Tafsir Al-Azhar (bahagian 2-akhir)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhamad Syafiq bin Salim. Berasal dari Johor Bahru. Merupakan pelajar tahun akhir Sarjana (Master) Kejuruteraan dalam bidang Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Ikuti perkembangan beliau melalui Facebook Syafiq Alfatih (Muhamad Syafiq bin Salim).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 3

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 66.666667%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 33.333333%