,

Rendahkanlah Egomu, Wahai Hamba Allah!

“Aku rasa aku tidak boleh terima apa yang dia cakap atau nasihatkan aku… macamlah dia baik sangat.”

“Aku nak kau dengar cakap aku saja, jangan nak melawan pula.”

“Buat apa aku nak minta maaf dengan dia, bukan salah aku pun.”

“Kau nak tegur aku? Kau pun sama dengan aku.”

“Kau ingat kau tu layak ke tegur aku? Cerminlah diri sendiri dulu.”

Pernah dengar atau tidak dialog-dialog seperti ini? Dialog yang dituturkan oleh makhluk yang bergelar manusia yang merasakan dirinya lebih baik… lebih hebat daripada orang lain dan terlalu ego untuk mengakui kesalahan diri walaupun dirinya jelas bersalah.

Hakikatnya tiada seorang pun dalam kalangan kita yang bebas daripada dosa dan kesalahan sehinggakan ingin mendabik dada dan merasakan diri ini suci dan baik.

Jangan pernah merasakan diri kita baik dan suci kerana hanya ALLAH sahaja yang Maha Tahu isi hati dan diri kita.

Hanya sahaja ALLAH yang menutup aib-aib kita sehinggakan manusia lain menyangka kita adalah baik dan sempurna.

Jika ALLAH ingin mendedahkan aib-aib kita maka tidak ada seorang pun manusia yang ingin dekat dengan kita. Oleh itu, kenapa perlu ego dan bangga dengan diri sendiri yang serba lemah dan kekurangan?

Perasaan ego sangat bahaya kerana ia adalah pembunuh senyap kita tanpa kita sedar. Perasaan ego dalam diri yang menghalang seseorang hamba yang hina merasakan dirinya hebat dan angkuh lantas enggan sujud kepada Sang Pencipta.

Aku ada segalanya dalam hidup walaupun aku jauh daripada ALLAH. Aku kaya… berjaya… cantik… semuanya ALLAH berikan kepada aku. Tanpa dia sedari itu adalah istidraj untuknya. Sampai bila engkau ingin menjunjung egomu?

Perasaan ego yang memuncak memusnahkan hubungan pasangan suami isteri yang merasakan diri masing-masing lebih baik.

Masing-masing mengharapkan kesempurnaan dalam rumah tangga lantas sedikit kekurangan dan kesilapan membawa kepada perkara yang dibenci ALLAH dan dirai oleh iblis.

Tiada istilah tolak-ansur dan saling mengalah. Semuanya kerana sebuah ego. Lantas ke mana engkau ingin bawa egomu?

Betapa ramai adik-beradik yang bergaduh dan bermusuhan kerana bahana ego yang akhirnya membawa kepada penyesalan.

Saat kematian menjemput, tangisan penyesalan dan kata-kata maaf tidak mampu untuk menghidupkan kembali hubungan yang terpisah antara dua dinding alam dunia dan alam kubur. Lantas kau bangga egomu telah menang?

“Saya minta maaf kerana sakitkan hati awak.”

“Betul apa yang awak cakap, saya mengakui kesalahan saya.”

“Jom kita perbaiki diri kita sama-sama demi ALLAH.”

 “Terima kasih kerana menegur saya, kalau tidak memang saya tidak sedar akan kesalahan saya.”

“Aku tidak salah tetapi apa salahnya jika aku mengalah dan minta maaf.”

Rendahkanlah egomu demi orang-orang yang kamu sayang. Hidup ini terlalu singkat untuk saling menjunjung ego dan ia sangat merugikan jika salah seorang antara kita pergi tanpa sempat kita meminta maaf.

Kita hanya akan menghargai orang-orang yang kita sayang apabila mereka pergi meninggalkan kita. Jangan pernah membiarkan perkara tersebut berlaku.

Tidak ada salahnya kita merendahkan ego kerana contoh tauladan iaitu nabi kita, Rasulullah SAW seorang yang sangat humble walaupun Baginda adalah seorang pemimpin, hakim, dan ketua.

Baginda Rasulullah memaafkan mereka yang bersalah dan Baginda sendiri bersegera meminta maaf sekiranya melakukan kesilapan.

Baginda turut serta bermandi peluh menggali parit ketika Perang Tabuk walaupun Baginda Rasulullah adalah seorang nabi dan pemimpin.

Rasulullah merendahkan ego dengan cara melakukan apa yang para sahabat dan tentera muslimin lakukan tanpa mengira status dan pangkat.

Kenapa kita begitu ego walhal kita hanya seorang hamba ALLAH yang tiada apa-apa kecuali apa yang ALLAH berikan kepada kita.

Oleh itu, jom kita muhasabah diri kita… rendahkan ego kita… dan syukuri ni’mat yang ALLAH berikan semoga hidup kita disayangi oleh ALLAH dan seluruh makhlukNya. Amin.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Bachok, Kelantan. Merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.