,

Rasulullah Memasuki Makkah Dalam Keadaan Rendah Hati Ketika Peristiwa Fath Makkah

Sebelum memasuki Makkah, Rasulullah mengagihkan tentera Islam mengikut tugas masing-masing. Khalid bin Al-Walid memimpin pasukan sayap kanan, Zubair bin Awwam memimpin pasukan sayap kiri, manakala Abu Ubaidah memimpin pasukan berkuda dan mengawasi kawasan Bathnul Wadi.

Kekuatan Muslim memasuki Makkah melalui banyak penjuru menyebabkan kaum musyrikin tidak mampu melakukan apa-apa, kecuali kawasan yang dituju oleh Khalid yang ditentang oleh ekstrimis Quraisy seperti Shafwan bin Umayyah, Ikrimah bin Abu Jahal, Suhail bin Amr dan lain-lain. Namun, kaum Quraisy tetap tidak mampu melawan kekuatan kaum Muslimin.

Seruan yang dilaungkan kepada penduduk Makkah pada ketika itu adalah: “Sesiapa memasuki rumah Abu Sufyan dia aman, sesiapa memasuki rumah dan menutup pintunya dia aman, dan sesiapa memasuki masjid (Masjidil Haram), dia aman.”

Pada ketika itu, Abu Sufyan iaitu antara orang besar Quraisy telah pun masuk Islam, jadi bagi memuliakan kedudukannya maka jika berlindung di rumah Abu Sufyan pun akan selamat.

Rasulullah memasuki Makkah memakai serban hitam tanpa berihram dengan menundukkan kepala seraya merendahkan diri kepada Allah. Baginda membaca surah Al-Fath kerana merasakan kenikmatan penaklukan Makkah.

Setelah itu, Rasulullah menghampiri Kaabah lalu menghancurkan berhala di sekeliling Kaabah. Dicatatkan bahawa kira-kira ada tiga ratus enam puluh berhala.  Lalu, Baginda masuk ke dalam Ka’bah bersama Usamah, Bilal dan Uthman bin Thalhah.

Bilal diarahkan Rasulullah untuk naik ke atas Ka’bah untuk mengumandangkan azan. Rasulullah sendiri ada bertakbir di setiap sudut Ka’bah dan menunaikan solat.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)