,

Rancangan Yang Dilakukan Rasulullah Sebelum Fath (Pembukaan) Makkah

  • Rasulullah menyembunyikan perancangan penyerangan Makkah, bahkan terhadap orang terdekat sekalipun.

Baginda merahsiakan perkara ini termasuklah kepada keluarga dan sahabat rapatnya. Buktinya, Abu Bakar ketika bertanya kepada anaknya Aisyah yang juga isteri Rasulullah, kata Aisyah: “Baginda tidak menyebut apa pun kepada kami.”

  • Rasulullah mengirim pasukan menuju Bathn Idham yang dipimpin Abu Qatadah bagi mengelirukan kaum Quraisy.

Tujuannya adalah supaya ada yang menyangka bahawa Baginda menuju ke arah Bathn Idham bukannya Makkah, malah berita itu tersebar sehingga menyebabkan musuh menjadi keliru.

  • Rasulullah mengirim pengintip untuk mencegah maklumat daripada sampai kepada kaum Quraisy.

Perkara ini penting supaya pihak musuh tidak mengetahui persiapan yang sedang dilakukan kaum Muslimin, malah supaya kaum Quraisy tidak dapat melakukan persiapan yang rapi dalam menghadapi kaum Muslimin.

  • Rasulullah berdoa agar kaum Quraisy tidak melihat atau mendengar berita mengenai perancangan Rasulullah terhadap pembukaan kota Makkah.

Baginda berdoa: “Ya Allah, ambillah pendengaran dan pandangan mereka sehingga mereka baru melihat dan mendengar kami secara tiba-tiba.”

  • Rasulullah menggagalkan usaha Hathib bin Abu Balta’ah yang mengirim surat kepada kaum Quraisy untuk memberitahu perancangan kaum Muslimin.

Allah memberitahu Baginda melalui wahyu mengenai perancangan Hathib yang mengutus seorang wanita membawa surat untuk diberi kepada kaum Quraisy. Lalu, Baginda mengutuskan para sahabat untuk menangkap wanita itu.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)