,

Abu Sufyan Bin Harb Berunding Dengan Rasulullah SAW

Abu Sufyan bin Harb mewakili kaum Quraisy pergi ke Madinah untuk berunding dan membatalkan hasrat Rasulullah untuk menyerang kaum Quraisy di Makkah. Tujuan Abu Sufyan bin Harb tidak lain hanyalah untuk memanjangkan jangka waktu perjanjian antara Quraisy dan Muslimin.

Namun, ketika Abu Sufyan berada di Madinah, Rasulullah berpaling dan tidak menerima perkara tersebut.

Lalu, Abu Sufyan meminta pula bantuan daripada para sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali supaya menjadi orang tengah, namun mereka juga tidak mahu menolong kerana keputusan Rasulullah sudah muktamad untuk kaum Quraisy di Makkah. Maka, Abu Sufyan pulang saja ke Makkah tanpa mencapai sebarang kesepakatan.

Sebelum pulang, Abu Sufyan bin Harb sempat singgah ke rumah anak perempuannya iaitu Ummu Habibah yang juga merupakan salah seorang daripada isteri Rasulullah. Ummu Habibah adalah antara sahabiah yang berhijrah dua kali dan sudah enam belas tahun lamanya tidak ketemu ayahnya.

Ketika Abu Sufyan ingin duduk di atas tikar milik Rasulullah, Ummu Habibah segera melipatnya kerana itu adalah tikar milik Rasulullah. Kata Abu Sufyan: “Anakku, aku tidak tahu apakah engkau lebih sayang kepadaku daripada tikar ini ataukah engkau lebih sayang kepada tikar itu daripadaku.”

Disebabkan penentangan ayahnya yang dahsyat kepada Islam, Ummu Habibah tidak melihat peribadi ayahnya sebagai seseorang yang perlu dimuliakan atau dihargai. Ummu Habibah hanya melihat ayahnya sebagai seorang pemimpin kafir yang memusuhi Allah dan Rasul.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)