,

Sejauh Mana Pentingnya Badan Eksekutif Dalam Pentadbiran Negara Islam?

Negara Islam

Badan eksekutif berperanan untuk melaksanakan peraturan yang diluluskan oleh badan perundangan.

Jadi, badan eksekutif terikat dengan keputusan badan perundangan, namun kedua-duanya terletak di tangan seorang ketua negara.

Ketua negara sebagai kuasa tertinggi dalam badan eksekutif, malah ketua negara bertanggungjawab untuk memberi jawapan kepada badan perundangan mengenai segala aktiviti kerajaan.

Ketua negara perlu melantik wazir (menteri) untuk membantunya melaksanakan tugas-tugas kerajaan. Namun, bukan bermaksud ketua negara hanya menyerahkan segala urusan pentadbiran kepada menteri, tetapi lebih baik diwujudkan pembantu berbanding menguruskannya seorang diri.

Dalam kitab Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Al-Mawardi membahagikan wizarah (kementerian) kepada dua, iaitu:

1. Wizarah al-Tafwid (Kementerian Perwakilan) : Diberi sepenuh kepercayaan oleh ketua negara dan diberi semua urusan pentadbiran.

2. Wizarah al-Tanfiz (Kementerian Eksekutif) : Melaksanakan arahan ketua negara dan menjadi saluran rasmi informasi kepada ketua negara. Tidak semestinya orang Islam, boleh juga dilantik daripada orang bukan Islam sekiranya ada keperluan.

Ketika zaman khalifah terawal Islam, khalifah pertama iaitu Abu Bakar tidak memilih keluarganya dalam badan eksekutif tetapi memberi peluang kepada orang yang berhemah tinggi. Contohnya, Abu Bakar melantik:

1. Amr ibn Al-As dan Walid bin Uqbah sebagai pemungut zakar daripada Bani Huda’ah. Kemudian, Abu Bakar memberi nasihat, “Takutilah Allah dalam keadaan terbuka dan tertutup, sesiapa yang takut  Allah, Dia kurnaikan rezeki daripada sumber yang dia tidak tersangka.”

2. Yazid bin Abi Sufyan sebagai gabenor Syria. Kemudian, Abu Bakar memberi nasihat, “Wahai Yazid, engkau mempunyai ramai keluarga di Syria. Jangan cuba memberi faedah yang tidak mengikut undang-undang kepada keluargamu kerana inilah yang paling aku takuti berlaku dalam kalangan pegawaiku.”

Selain itu, khalifah Umar bin Abdul Aziz pula dianggap sebagai pelopor kepada permulaan sistem demokrasi Islam. Antara jasa beliau dalam badan eksekutif ialah:

1. Membahagikan pentadbiran kerajaan kepada beberapa jabatan seperti Jabatan Pendidikan, Pertahanan, Institusi Keintelektualan, Baitulmal dan Pentadbiran Percukaian.

2. Membahagikan negara umat Islam kepada beberapa wilayah yang setiapnya ditadbir oleh gabenor. Contohnya:

            (i)  Hijaz dengan Mekah sebagai ibu negeri di bawah Yazid bin Abi Sufyan.

            (ii) Basrah di bawah Abu Musa al-Asy’ari

            (iii) Kufah di bawah Mughirah bin Syu’bah

            (iv) Mesir di bawah Amr ibn al-As

Kesemua wilayah ini terletak di bawah pentadbiran Madinah sebagai ibu negara.