,

Percaya Pada Diri Sendiri

Salah satu tanda keagungan Allah pada diri manusia adalah perbezaan yang Dia wujudkan dalam diri setiap manusia yang diciptakan secara sesempurna mungkin.

Setiap insan mempunyai potensi dan kemampuan yang tersendiri untuk menjadikan dirinya sebagai siapa dia pada hari mendatang.

Trust. Bukanlah satu benda yang mudah untuk kita buat. Lebih-lebih lagi dengan orang lain. Tetapi lain halnya dalam konteks percaya pada diri sendiri.

Kalau kita tak mampu untuk percaya pada diri sendiri, bagaimana kita nak buat orang lain percaya pada kita?

Orang lain takkan yakin dengan apa yang kita mampu selagi kita pun tak yakin dengan diri sendiri.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali Imran: 139)

Sedangkan dalam keadaan kita percaya dengan diri kita sendiri pun masih ramai yang memandang sinis.

Pekakkan telinga, kutip setiap kata-kata orang umpama mengutip ranting-ranting kering. Kumpulkan menjadi satu longgokan. Jangan dibuang terlalu awal.

Siapa sangka mungkin ia berguna di masa hadapan. Mungkin boleh dijadikan kayu api sebagai pembakar semangat hidup kita.

Abaikan kata-kata negatif yang hanya menjatuhkan semangat kita dalam mengatur tapak untuk lebih maju ke hadapan.

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata: “Rasululah S.A.W bersabda, ‘Di antara (tanda) kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya’.” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

Seekor helang yang dibesarkan dalam kelompok seekor ayam juga akan membiasakan dirinya dengan cara dan kebiasaan kelompok ayam itu tanpa tahu potensi dirinya yang sebenar.

Kerana apa? Kerana ia tak pernah punya keyakinan dan kekuatan dalam dirinya sendiri untuk mencari potensi dirinya yang sebenar.

Setiap hari ia diajar dengan gaya hidup kelompok ayam sehingga ia tidak sedar dengan kemampuannya sendiri.

Ia takkan pernah tahu bahawa ia boleh terbang tinggi kerana kelompok tempat ia bergaul tidak pernah memberikannya perangsang untuk menjadi dirinya.

Sehinggalah suatu saat apabila ia berani untuk melangkah keluar daripada kelompok kebiasaannya dan mencari titik potensinya.

Saat itu barulah ia akan sedar sejauh mana ia mampu untuk terbang gah di langit biru berbanding kebiasaannya mematuk padi setiap hari.

Saat ia membawa dirinya keluar daripada kelompok kebiasaannya barulah ia berjaya mencari kekuatan dirinya yang selama ini terpendam.

Optimis adalah sebuah keyakinan yang akan membawa kita kepada satu pencapaian hasil. Kita takkan mampu sampai ke satu-satu tahap tanpa kepercayaan pada diri sendiri. Yakin dengan usaha kita untuk mendapatkan apa yang kita inginkan.

Dari sudut lain ia dipanggil tawakal. Setiap langkah yang diambil bukanlah merupakan sesuatu yang mudah, akan ada tentangan dan rintangan yang mesti dihadapi.

Menginjak remaja, semakin banyak cabaran yang bakal ditempuh. Semakin banyak perkara perlu difikirkan.

Kita harus struggle untuk berada di atas. Dicemuh, disindir, dipuji itu sebahagian daripada proses untuk terus kehadapan.

Cara bertahan? Percaya bahawa Dia ada. Kita sentiasa dalam genggaman Allah walau di mana sekalipun kita berada.

Apa pun yang berlaku, letakkan Dia di carta teratas. Bila tiba masa seluruh dunia menolak, Dia akan tetap mendakap penuh erat.

Jangan pernah letakkan indicator untuk mendapat high expectation daripada orang lain. Manusia memang takkan pernah puas dengan apa yang ada di hadapan mereka.

Memang akan sentiasa mencari kepincangan dalam apa sahaja yang terzahir mahupun tidak. Dalam seribu mata yang bertembung dengan mata kita, mungkin hanya sepasang mata yang benar-benar ikhlas menjalin ukhuwah.

Tak semua orang bahagia bila kita bahagia. Tak semua juga yang akan senyum bila kita tersenyum. Tak semua akan terkesan bila kita berduka.

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) surga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”.” (Surah Fusshilat: 30)

Siapa kita di tempat kita berdiri hari ini adalah kerana bagaimana kita percaya diri pada hari semalam.

Lakukan sesuatu agar diri kita di masa hadapan berterima kasih kepada kita pada hari ini. Memilih sesuatu jalan untuk ditempuh bukanlah suatu keputusan mudah yang dibuat dalam masa sehari.

Keputusan untuk berada di jalan di mana kita berada sekarang mungkin mengambil masa berbulan-bulan. Bahkan mungkin bertahun-tahun.

Kenapa? Kerana untuk berada di setiap satu titik dalam dunia ni memerlukan kekuatan daripada diri sendiri. Sampai satu saat even family pun hanya mampu untuk menyokong dari belakang sahaja.

Kita perlu sedar bahawa setiap insan mempunyai pandangan dan juga hala tuju sendiri dalam kehidupan mereka.

Sikap percaya pada diri sendiri amat penting dalam menentukan arah dan tujuan peribadi diri kita daripada mengikut jejak orang lain yang pastinya satu hari nanti akan membunuh karakter peribadi kita.

Bukankah setiap apa yang kita terima tidak kira sama ada baik ataupun buruk adalah sesuai dengan kemampuan kita?

Dan hanya kita yang tahu sejauh mana potensi diri kita. Maka, kembangkan potensi dalam diri kita. Tak usah risau ataupun meragui apa yang diragui oleh orang lain terhadap kemampuan kita.

Kerana Allah itu ada, dan Dia Maha Mengetahui perihal hamba-hambanya. Allah takkan meletakkan seseorang di atas sesuatu landasan tanpa sebab selayaknya.

“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu terputus asa daripada rahmat Allah.” (Surah Az Zumar: 53)

Sampai satu saat, kita akan mampu merasakan nikmatnya apabila kita percaya dengan diri sendiri. Akan timbul satu rasa kedamaian dalam hati kita.

Ramai orang tersalah langkah dengan membandingkan dirinya dengan orang lain yang seterusnya membuatkan dia terikut-ikut dengan gaya orang lain kerana kurang bersyukur dengan dirinya sendiri.

Setiap hari, cuba untuk benihkan rasa keyakinan dalam diri sendiri kerana itulah yang menjadikan siapa diri kita yang sebenarnya.

Tidak salah menjadi seorang yang chubby, rendah, hitam, putih, hatta kelabu sekalipun. Rasa percaya pada diri sendiri itu akan menyelamatkan kita.

Setiap manusia itu sudah diberikan akal fikiran, yang membuatkan kita mampu untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, yang terpuji dan tercela, dan mana yang terbaik untuk kita. Kerana itulah manusia mendapat darjat yang tinggi.

Namun begitu, sikap percaya pada diri sendiri itu juga haruslah digariskan dengan kepercayaan dan rasa syukur kepada Allah.

Yakin dengan diri sendiri tidak bermaksud kita boleh mengetepikan Allah. Kerana setiap apa yang kita lalui, setiap apa yang berlaku di dunia ini, semuanya adalah di bawah kekuasaanNya.

Ketika akal dan kepercayaan yang dititipkan oleh Allah disalahgunakan, maka darjat kita akan menjadi lebih rendah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih lagi belajar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

7 points
Upvote Downvote

Total votes: 7

Upvotes: 7

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%