Suatu hari ada seorang pencuri yang ingin merompak sebuah rumah. Sedang ia melakukan rompakan, malang nasibnya apabila perbuatannya telah tertangkap oleh tuan rumah.
Pencuri itu lantas ingin melarikan diri namun ditahan oleh tuan rumah tersebut. Lalu, terjadilah perbualan di bawah.
“Kamu ke sini ingin mencuri hartaku?” Soal tuan rumah.
“Ya… benar,” jawab pencuri itu.
“Jika begitu, biar aku menolongmu,” kata si tuan rumah.
Perompak itu kehairanan. Lalu dia bertanya, “Bagaimana mungkin kamu mahu membantuku merompak hartamu sendiri. Aneh!”
Bicara tuan rumah yang alim itu, “Kerana aku yakin pada Tuhanku. Jika rezeki ini memang sudah ditetapkan Tuhan untukku maka tiada siapa yang mampu mengambilnya daripada aku.”
Mendengar kata-kata itu, pencuri tersebut merasa kagum lalu insaf. Dia kemudiannya memulangkan kembali harta yang dirompaknya.
Lalu, tuan rumah yang alim itu berkata, “Baru saja aku katakan tadi tentang keyakinanku pada Tuhan. Dan kini Allah telah memulangkan hartaku kembali…”
Wallahu alam.
Hebatkan keimanan yang ada pada diri si tuan rumah?
Inilah jiwa manusia yang paling tenang. Manusia yang meletakkan setinggi-tinggi tawakal pada Allah.
Dia tidak gundah pada apa yang hilang.
Pada rezekinya yang berkurang… pada nikmatnya yang ditarik.
Kerana dia yakin pada apa yang telah diambil, pasti akan diganti dengan sesuatu yang jauh lebih baik.
Lagipun jika Allah menetapkan sesuatu itu milik seseorang, cara apa sekalipun ia akan tetap sampai pada pemiliknya.
Maka tak usah telalu sedih pada apa yang luput dari genggaman kita.
Bersabarlah.
Sungguh, kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa.
Semuanya milik Allah.
Janganlah menangisi sesuatu yang hanya dipinjamkan Tuhan. Belajarlah bersyukur pada apa yang masih ada
Kau akan fahami erti bahagia.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.