,

Aku Bertawakal Atas Nama Allah

“Pandanglah hidup ini seperti buku cerita. Keindahannya tidak terkata di bibir namun melalui kesyukuran.”

Jika lautan yang tenang itu sangat indah permainya, maka saya boleh gambarkan itulah pemandangan kehidupan ini. Saya bertawakal atas nama Allah yang Maha Esa dan Maha Mengetahui.

Sepanjang kehidupan ini, jika kamu rasa kamu yang sangat getir cabarannya, yang paling sedikit rezekinya, maka, bersyukurlah kamu kerana Allah masih memberikan rahmatNya kepada kamu, iaitu ilmu kehidupan.

Saya berkorban, dan kalian semua juga membuat perkara yang sama juga. Pernah tak terfikir dan merasakan bebanan yang kita hadapi ini paling perit berbanding orang lain?

Jika ya, maknanya kamu sedang belajar erti kehidupan. Namun, apa yang kita rasa sebenarnya sama dengan orang lain.

Allah memberikan setiap perkara dalam hidup kita mengikut kemampuan kita kerana Allah tak akan membiarkan hamba-Nya keseorangan.

Betapa Allah ada di sisi kita setiap masa. Jangan pernah merasakan diri kita sahaja empunya dunia ini.

Wujudnya perasaan “masalah aku paling teruk” kerana kita inginkan simpati daripada manusia di sekeliling kita dan kita ingin kekalkan keegoan dalam diri Supaya orang lain akan membantu diri kita.

Patutkah begitu?

Bukankan Allah menyuruh hamba-Nya berusaha? Kenapa kita sendiri tidak berusaha untuk mengubah nasib diri kita?

Sampai bila kita harus bersandar kepada orang lain sedangkan perasaan kepayahan yang kita hadapi itu merupakan isyarat daripada Allah untuk menyebut namaNya?

Satu kaedah yang saya sentiasa amalkan dalam kehidupan. Jangan pernah menganggap orang hendak berbuat jahat kepada kita. Buang prejudis dan sentiasa positif kerana kita sentiasa di bawah jagaan Allah.

Apa yang kita perlukan ialah keredhaan Allah dan bukannnya keredhaan manusia yang menjadi naungan kehidupan kita.

Saya juga seorang manusia sama seperti dia yang melakukan kesalahan. Dia mengumpat dan menyindir, saya sekadar diam dan mempositifkan diri saya.

Saya tak ingin kalah gara-gara aura negatif mereka kerana mereka tidak layak untuk “bendera putih” saya.

Bendera putih saya hanya akan wujud bila kematian menjemput diri ini. Iaitu menyerah diri kepada Allah daripada meneruskan kehidupan di dunia Allah.

Saya ambil kata-kata umpatan dan sindiran itu sebagai panduan yang Allah berikan kepada saya secara tidak langsung dan sebagai ingatan juga kepada diri saya supaya tidak kembali memburuk-burukkan diri dia.

Pada zahirnya, saya sama dengan dia, ada banyak khilafnya. Namun, apa yang membezakan diri seseorang yang hebat dan yang biasa-biasa sahaja adalah, adakah kita membalas keburukan orang itu sama seperti mereka berbuat buruk kepada kita atau kita dengan sabarnya berserah kepada Allah supaya sentiasa memberikan diri kita nilai kesabaran dan nilai di akhirat nanti dan berusaha memperbaiki diri?

Kita sendiri yang menentukannya. Mulai hari ini, cabar diri kita juga dengan berpegang kepada kata-kata; berapa keburukan yang dia lakukan sekalipun, ianya tidak akan memadam sejuta kebaikan yang dia telah atau bakal lakukan.

Sesungguhnya orang yang biasa-biasa akan berkata, “Aku akan buat dia balik sama seperti dia buat aku” manakala orang yang luar biasa akan berkata “Berapa keburukan yang dia lakukan sekalipun, ianya tidak akan memadam sejuta kebaikan yang dia telah atau bakal lakukan kerana aku sedar aku mungkin atau pernah menjadi seperti dia dan apa yang aku pinta ialah ruang kemaafan untuk aku teruskan belajar nilai kehidupan di bumi Allah.”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Hanis Syahirah.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.