,

Seiring Doa dan Usaha – Tawakal

Tawakkal. Bila berbicara tentang hebatnya the power of tawakkal, seiring usaha dan doa, saya teringat dengan satu cerita yang pernah dibualkan bersama sahabat saya yang bertugas sebagai pegawai penyiasat di sebuah institusi baitulmal.

Kisahnya, pejabat baitulmal tempatnya bekerja telah diceroboh semasa semua staf muslimat keluar berehat, manakala staf muslimin pergi menunaikan solat fardu Jumaat.

Salah seorang pegawai, Ustaz K yang paling awal tiba hanya menyedari grill dirosakkan dan cuba menangkap penceroboh yang didapati sedang menggeledah namun tidak berjaya kerana penceroboh bersenjata tajam.

Mujur saja tidak dicederakan, kerana penceroboh bergegas lari selepas mengugut mangsa dengan senjatanya.

Mereka bernasib baik kerana penceroboh tidak sempat menggeledah lebih lama dan tiada satu pun dari aset baitulmal, dokumen penting mahupun harta benda staf yang dilaporkan hilang.

Abaikan jika ada suara-suara yang berkata pasang grill tujuh lapis sekalipun, siap berantai besi bermangga kunci belum tentu selamat. Kalau dah namanya penceroboh, tetap juga rabak.

Apa yang harus difokuskan di sini, sekurang-kurangnya kita mesti berusaha, bukannya tiada langsung.

Ala kulli hal, syukur kerana semuanya terselamat dengan izin dan bantuan Allah. Mungkin juga kerana amalan para staf yang setiap hari sebelum bekerja mengamalkan bacaan Ma’thurat.

Mereka juga sering diperingatkan untuk mengamalkan ayat ke-9 dari surah Yasin sebagai pelindung diri.

Di sini kita lihat, bagaimana mereka berusaha melindungi keselamatan seisi pejabat dengan pemasangan grill, namun akhirnya dipecah masuk juga.

Tak cukup dengan itu, mereka amalkan doa agar sentiasa dilindungi.

Dari situ kita dapat lihat bagaimana hebatnya tawakkal itu berfungsi, apabila kita berusaha dan berdoa, lalu menyerahkan segala-galanya kepada Allah, untuk melindungi kita.

Kita sering menyebut, “Tawakkal je la..” bila kita sudah habis daya ikhtiar untuk berbuat sesuatu.

Malah kadang-kadang, tanpa apa-apa usaha yang padu, kita sudah semudah-mudahnya meletakkan tawakkal kepada Allah.

Seolah-olah kita serahkan bulat-bulat, sfera-sfera terus kepada Allah. Tanpa perah keringat kudrat tulang empat kerat sendiri. Tanpa kerah akal yang Allah bagi. Tunggu saja, bantuan daripada Allah pasti tiba.

Ya lah. Allah kan ada. Maha Berkuasa pula tu. Takkan tak boleh tawakkal kot?

Cuba bayangkan, jika kita seorang pelajar. Selalu ponteng. Latihan tubi tak pernah siap. Kerja kursus jauh sekali panggang dari api.

Tiba-tiba sebelum peperiksaan, kita dengan muka sepuluh sen datang merayu kepada cikgu supaya bagi full mar, atau sekurang-kurangnya lulus cukup makan.

Rasa-rasanya, wujud tak seorang cikgu di atas muka bumi yang fana ini bersifat siuman lagi murah hati menyumbang markah simpati untuk pelajar spesies terlajak malas sebegini?

Berbalik kepada topik utama, agak-agak Tuhan nak tolong tak hambanya yang tiada daya usaha, sihat walafiat tapi malas, tiba-tiba dengan muka tak malunya minta Allah sediakan segalanya untuk dia?

Islam Bukan Agama Magis

Tak semudah itu. Islam bukan agama magis. Tawakkal menurut agama adalah menyerahkan segalanya kepada Allah, setelah berusaha sehabis daya kudratnya.

Bererti tawakkal bukan batu loncatan untuk kita berlepas tangan daripada berusaha sehabis baik.

Usaha, doa dan tawakkal – ketiga-tiganya sama penting. Ketiga-tiganya harus bergerak seiringan, dalam apa jua keadaan.

Usaha tanpa doa dan tawakkal adalah kesombongan. Doa tanpa usaha dan tawakkal adalah kesia-siaan. Tawakkal tanpa doa dan usaha hanya angan-anganan.

Ketika Allah berfirman dalam surah Ali-Imraan ayat 159, Allah ingin tunjukkan kepada kita, bahawa Nabi juga bermusyawarah dengan para sahabat, kemudian bertawakkal dan berserah kepadaNya.

“Maka disebabkan rahmat daripada Allahlah kamu (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu . Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.” (Surah Ali Imran, 3:159)

Pernah dengar atau masih ingat lagi dengan hadis ikat unta sebelum tawakkal?

Amr bin Umayyah r.a. berkata, “Aku bertanya, “Wahai Rasulullah! Apakah aku ikat dahulu unta lalu bertawakkal kepada Allah, atau aku lepaskan begitu saja lalu aku bertawakal?”” Baginda menjawab, “Ikatlah (untamu) lalu bertawakkallah.” (Musnad Asy-Syihab, Qayyidha wa Tawakkal, 1/368)

Bertawakkallah, dengan sebenar-benar pengertian tawakkal. Kerana Allah sangat mencintai hamba-hambaNya yang bertawakal.

Bagaimana?

Dengan mencukupkan segala urusan mereka.

Barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluan)nya.” (Surah At-Thalaq, 65:3)

 

 Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.