,

Pengaruh Thumamah Setelah Masuk Islam Sehingga Hampir Menyebabkan Ekonomi Musyrikin Quraisy Di Makkah Lumpuh!

Selepas kaum Muslimin memenangi perang Ahzab (Khandaq) pada tahun ke-5 hijrah, setahun kemudian iaitu tahun ke-6 hijrah Rasulullah mengirim pasukan berjumlah 30 orang sahabat yang diketuai Muhammad bin Maslamah untuk menyerang bani Qartha dari kabilah Bakar bin Kilab kerana pernah bersekutu dengan pasukan musyrikin.

Setelah menang dan dalam perjalanan pulang ke Madinah semula, para sahabat menawan Thumamah bin Uthal Al-Hanafi, iaitu pemimpin bani Hanifah. Mereka membawanya ke Madinah dan diikat di salah satu tiang Masjid.

Rasulullah datang menghampirinya dan bertanya: “Bagaimana khabarmu, wahai Thumamah?”

Thumamah menjawab: “Aku baik-baik sahaja, wahai Muhammad. Jika engkau membunuhku, engkau membunuh makhluk yang bernyawa, jika engkau melepaskanku, engkau berbuat baik kepada orang yang bersyukur, dan jika engkau menginginkan harta, silakan ambil berapa yang engkau suka.”

Setiap hari Rasulullah bertanya khabar kepada Thumamah, sehinggalah akhirnya Baginda memerintahkan para sahabat untuk melepaskannya. Lalu, Thumamah pergi ke salah satu kebun berhampiran masjid, dia mandi, masuk masjid semula dan mengucap dua kalimah syahadah.

Menurut Thumamah, sebelum ini Rasulullah adalah orang yang paling dia benci, tetapi sekarang Baginda adalah yang paling dia cintai, begitulah juga agama Islam. Setelah itu, dia meminta izin untuk ke Makkah bagi menunaikan umrah.

Sampai saja di Makkah, kaum kafir Quraisy mengetahui tentang Thumamah yang telah memeluk Islam, malah disebabkan pengaruh besar Thumamah dalam ekonomi Makkah, dia mengatakan bahawa tidak ada lagi biji gandum kepada Makkah dari Yamamah melainkan setelah Rasulullah yang mengizinkannya.

Setelah itu, penduduk Makkah mengirim surat kepada Rasulullah yang berada di Madinah, atas nama persaudaraan, meminta supaya Thumamah membawakan semula bekalan makanan kepada mereka. Baginda mengizinkan permintaan mereka walaupun pada ketika itu masih dalam situasi perang melawan kaum musyrikin.

Baginda mengutuskan surat kepada Thumamah yang juga pemimpin bani Hanifah: “Biarkan kebencian kaumku terhadapku.” Lalu, Thumamah melaksanakan perintah Baginda dan mengizinkan bani Hanifah menghantar semula hasil bumi untuk penduduk Makkah sehingga mereka tidak lagi kelaparan.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)