,

Perintah Hijab Diturunkan Ketika Walimah Rasulullah Dan Zainab Binti Jahsyin

Ketika walimah Rasulullah dan Zainab bin Jahsyin yang mana mereka bernikah pada tahun ke-5 hijrah, sudah semestinya ramai para sahabat yang hadir ke walimah tersebut.

Setelah itu, turun firman Allah yang dibacakan oleh Baginda di hadapan para sahabat:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.

Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.” (Surah Al-Ahzaab 33:53)

Ada dua isi penting dalam ayat ini, iaitu:

  1. Teguran kepada para sahabat bersenang-lenang di rumah Baginda
  2. Perintah hijab, iaitu tidak menampakkan sedikit pun bahagian tubuh kepada bukan mahram, tidak boleh bercakap-cakap dengan isteri Nabi, atau meminta sesuatu melainkan dari balik tabir yang menghalangi isteri-isteri Nabi dan para sahabat.

Ketika ayat ini turun, para ayah, anak dan saudara bertanya adakah perlu sebalik tabir juga jika perempuan itu saudara mereka.

Lalu, turun ayat:

“Tidak ada salahnya kepada perempuan-perempuan (yang tidak berpakaian yang melindungi anggota yang haram dipandang oleh lelaki asing itu) menemui bapa-bapa mereka, dan anak-anak lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara perempuan mereka, dan perempuan-perempuan Islam mereka, serta hamba-hamba yang dimiliki oleh mereka. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Ahzaab 33:55)

Malah, Allah juga menurunkan ayat berkenaan isteri-isteri Nabi tentang etika bercakap dan keberadaan mereka di rumah:

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”

“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).” (Surah Al-Ahzaab 33:32-33)

Sebagai kesimpulan, Allah telah menjelaskan mengenai perkara yang seharusnya dilakukan oleh semua wanita muslimah, tidak terhad kepada isteri-isteri Nabi sahaja. Antaranya, perintah menundukkan pandangan, menjaga kemaluan, tidak memperlihatkan tempat-tempat perhiasan seperti leher, betis, lengan, rambut dan aurat-aurat lain kecuali kepada mahram.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)