,

Air Mata Yang Memadam Lautan Jahannam

Ya Allah, aku telah berdosa

Ya Allah, aku telah bermaksiat kepadaMu

Ya Allah, bagaimana nasib aku di akhirat nanti Ya Allah….

Ada hamba yang sentiasa menangisi dirinya. 

Allah suka melihat hambanya yang menangis di dunia ini kerana dosa-dosanya, merasa rendah diri di hadapan Allah di atas maksiat yang dia telah lakukan.

“Satu titis air mata yang digugurkan di atas dunia kerana takut kepada Allah akan memadamkan selautan api neraka Jahannam.”

Di dunia ini, setitis air mata sudah cukup untuk memadamkan api neraka Jahannam tetapi lautan tangisan di akhirat nanti tidak akan dapat memadamkan walau setitis dari api neraka Jahannam.

Tangisan apabila nyawa manusia telah direntap oleh Malaikat Maut, iaitu di kubur, Padang Mahsyar, Mizan, Sirat, Neraka Jahannam tidak akan memberi kesan dan faedah kepadanya tetapi yang memberi faedah adalah satu tangisan yang digugurkan di dunia.

Semoga Allah melembutkan hati kita untuk menangis di hadapan Allah kerana orang yang tidak dapat mengeluarkan air mata di hadapan Allah kerana dosa-dosanya adalah tanda kekerasan hatinya.

Ulama’ mengatakan, taubat yang dilakukan kerana berdosa itu cukup dengan sekali tapi taubat yang dilakukan kerana ketaatan perlukan 1000 kali taubat.

Maka, seorang yang walaupun telah banyak ibadah kepada Allah.

Sebenarnya dia lebih perlu untuk bertaubat kepada Allah takut-takut dalam ibadahnya ada terselit sifat riak, takabbur, ujub, sum’ah dan sebagainya. 

Semoga dosa kita semua diampuni Allah. In sha Allah.

Rujukan:

Cocombee, Air Mata Yang Memadam Lautan Jahannam | Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari

https://www.youtube.com/watch?v=p0iqVE8oW6w