,

Penduduk Makkah Masuk Islam Secara Beramai-Ramai Ketika Fath Makkah!

Rasulullah menyampaikan khutbah setelah peristiwa pembukaan kota Makkah yang dikuasai oleh Islam semula. Antara isinya adalah:

  • Tidak boleh menumpahkan darah di tanah Makkah
  • Tidak boleh menebang pokok
  • Makkah menjadi tanah haram
  • Jika ada pembunuhan selepas ini, keluarga mangsa mempunyai dua pilihan sama ada menuntut nyawa atau orang bersalah membayar denda

Kesan daripada pengampunan Rasulullah kepada penduduk Makkah yang selama ini berkelakukan buruk kepada Baginda, memberi kesan dalaman kepada penduduk Makkah sehingga mereka memilih untuk masuk Islam secara beramai-ramai. Semua memilih untuk berbai’ah iaitu berjanji setia dengan Rasulullah.

Dalam hadith ada dinyatakan: “Tidak ada hijrah setelah penaklukan (Makkah), tetapi jihad dan niat, jika kamu diminta untuk pergi (berperang), berangkatlah.”

Maksudnya, tiada hijrah untuk meninggalkan Makkah lagi kerana Makkah sudah menjadi tanah milik Islam. Namun, hijrah untuk menegakkan syiar-syiar Islam masih berlaku sehingga hari kiamat.

Antara yang berbai’ah bersama Rasulullah ialah Hindun binti Utbah yang juga isteri kepada pemimpin Quraisy iaitu Abu Sufyan bin Harb, namun pada awalnya Hindun memakai penutup muka supaya tidak dikenali kerana malu dengan perbuatannya yang sebelum ini telah menyakiti Baginda.

Rasulullah membai’ah kaum wanita tanpa berjabat wanita, bahkan Baginda sememangnya tidak pernah berjabat tangan wanita bukan mahram. Kata Aisyah: “Tidak, demi Allah, Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam tidak pernah menyentuh tangan seorang wanita pun.”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)