,

Asma Binti Abu Bakar – Meninggal Pada Usia 100 Tahun

Masih ingatkah kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq RA?

Peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Peristiwa yang memisahkan antara yang hak dan yang batil.

Kita juga sedia maklum bahawa terdapat 1001 pengajaran dan iktibar yang boleh kita ambil apabila melihat betapa berstrateginya proses hijrah mereka berdua.

Antara yang turut memainkan peranan ketika itu ialah seorang remaja perempuan. Beliau merupakan anak perempuan kepada sahabat yang menemani Rasullah SAW ketika hijrah.

Tidak lain dan tidak bukan, beliau ialah Asma’ binti Abu Bakar. Beliaulah yang bergelar ‘Dzu al-Nithaqaini’ yang bermaksud ‘Si Pemilik Dua Tali Pengikat.’

.

.

Sama Bapa, Berlainan Ibu

Siapa sangka dua orang tokoh serikandi Islam ini iaitu Asma’ dan Sayidatina Aisyah merupakan adik beradik.

Namun, mereka bukanlah adik beradik seibu sebapa. Mereka hanya berkongsi bapa sahaja. Sebaliknya, ibu mereka berlainan.

Ibu Asma’ bernama Qutailah binti Abdul Uzza. Beliau merupakan isteri pertama Sayidina Abu Bakar al-Siddiq. Memandangkan kedua ibu bapanya telah bercerai, Asma’ tetap tinggal bersama ayahnya.

Manakala ibu Sayidatina Aisyah pula ialah Ummu Ruman yang merupakan balu yang ditinggal mati oleh suaminya yang bernama Abdullah bin al-Harith.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa Asma’ lebih tua 10 tahun daripada Aisyah.

Asma’ hanya memiliki seorang adik beradik seibu sebapa yang bernama Abdullah. Selebihnya, merupakan adik beradik tirinya.

Selain daripada Sayidatina Aisyah, adik beradik tiri beliau ialah Ummu Kulthum, Abdul Rahman, Muhammad dan Tufail.

Asma’ tergolong dalam kalangan orang yang terawal memeluk Islam. Ketika beliau memeluk Islam, umat Islam ketika itu hanyalah seramai 17 orang sahaja.

Maka, setelah itu peranan beliau dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan ayahnya tidak dapat dinafikan sebagaimana kisah yang masyhur itu.

.

.

Kehidupan Seorang Isteri

Menurut Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Asma’ mendirikan rumah tangganya bersama seorang sahabat terkenal, al-Zubair bin al-Awwam.

Tidak lama selepas mereka berdua berkahwin, mereka pula turut berhijrah ke kota Madinah.

Diriwayatkan juga bahawa tatkala berhijrah, Asma’ sedang mengandungkan Abdullah. Setibanya di Quba’, maka lahirlah anaknya itu.

Suatu hari, ibu Asma’ iaitu Qutailah berkunjung ke kota Madinah. Ibu tersebut itu datang membawa bersamanya buah tangan untuk diberikan kepada anaknya itu.

Namun, Asma’ enggan menerima kunjungan ibunya kerana beliau masih lagi belum memeluk Islam.

Lalu, Asma’ bertanya kepada Rasulullah SAW,

Ibu saya telah datang untuk berjumpa dengan saya. Adakah saya boleh melayannya?

Jawab Baginda,

Ya.

Rumahtangga Asma’ bersama al-Zubair tidak tenteram. Akhirnya beliau diceraikan oleh suaminya itu.

Terdapat pelbagai riwayat yang menyatakan sebab berlakunya perceraian tersebut.

Namun, sebagai tanda menjaga adab kepada para sahabat nabi, kita perlu berhati-hati dalam menilai.

Imam Ibn al-Athir menukilkan antara sebab perceraian tersebut ialah;

Suatu ketika, al-Zubair memukul isterinya itu. Lalu, Asma’ menjerit memanggil nama anaknya Abdullah. Mendengar namanya dipanggil, Abdullah terus menyahut panggilan tersebut.

Namun, tatkala beliau ingin masuk menemui ibunya, ayahnya terlebih dahulu berkata;

Sekiranya kamu masuk ke sini, maka jatuhlah talak ke atas ibu kamu!

Abdullah menjawab;

Adakah ayah menjadikan ibu sebagai bahan sumpahan ayah?!

Tanpa berfikir panjang, Abdullah terus masuk dan membawa ibunya keluar. Maka, secara tidak langsung terjatuhlah talak ke atas Asma’.

Apa yang pasti, kita semua tidak tahu punca perselisihan antara Asma’ dan suaminya itu.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa perceraian Asma’ dan al-Zubair berlaku setelah peristiwa Peperangan Yarmuk yang disertai oleh mereka berdua. Wallahu a’lam.

.

.

Wanita Muhajirin Terakhir Meninggal Dunia

Asma’ binti Abu Bakar diiktiraf sebagai seorang wanita Muhajirin yang terakhir meninggal dunia.

Bermakna, dalam kalangan para sahabat wanita yang berhijrah ke kota Madinah dahulu, Asma’lah yang paling lama hidup.

Diriwayatkan bahawa beliau meninggal dunia saat usianya sudah mencecah 100 tahun!

Imam Ibn al-Athir menukilkan bahawa;

Kemudian, Asma’ dikurniakan umur yang panjang sehingga kedua matanya menjadi buta. Beliau masih lagi hidup bahkan menyaksikan terbunuhnya Abdullah, anaknya itu pada tahun 73H.

Tidak lama selepas itu, beliau pun meninggal dunia. Ada pendapat yang mengatakan, selepas 10 hari, 20 hari dan 20 hari lebih.

Abdullah bin al-Zubair pada zamannya telah terlibat konflik dengan Kerajaan Bani Umaiyyah.

Khalifah ketika itu menghantar bala tentera pimpinan al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi untuk memadamkan gerakan yang dikatakan memberontak terhadap kekhalifahan Bani Umaiyyah.

Hal ini disebabkan oleh penduduk Hijjaz dan Iraq telah mengangkatnya sebagai khalifah.

Setelah kubunya di Mekah diserang dengan dahsyat oleh al-Hajjaj, akhirnya Ibn al-Zubair gugur syahid. Ketika itu ibunya, Asma’ masih lagi hidup.

Sepanjang tempoh kepungan itu, Asma’ sering memberikan kata-kata semangat kepada anaknya itu sehingga dengan usia sebegitu masih lagi tabah menghadapi ujian kehilangan anak yang tersayang.

 

Rujukan: Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.