,

Pemuda Al-Quran Yang Dinanti-nantikan

Sungguh hairan melihat setiap hari pemuda menyisir rambutnya tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak pernah menyucikan hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak akalnya.

Walhal, kejayaan seorang pemuda yang dinanti-nantikan bukanlah bergantung pada penampilan zahir semata-mata tetapi juga ketinggian pemikirannya.

Atas pedoman yang sama, percayalah Pemuda Al-Quran suatu penantian buat kita.

Pemuda Al-Quran yang digambarkan dalam surah Yusuf ayat 36 yang bermaksud:

“Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur “. Dan berkata pula yang seorang lagi: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung.” (kemudian keduanya berkata): “Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)”.”

Kitab Tafsir Ibnu Kathir Tahzib Wa Tartib, Mufassir Rabbani Dr.Solah Abdul Fattah Al-Khalidi telah memberi tafsiran dalam ayat ini berkaitan seorang pemuda iaitu Nabi Yusuf a.s yang dilihat oleh khadam raja sebagai pemuda yang sering melakukan kebajikan dan beribadah kepada Allah dalam penjara.

Kita juga dapat lihat bahawa tugas seorang pemuda itu perlu berusaha menjadi qudwah dalam kalangan masyarakat dan beriman kepada Allah utamanya.

Maka jelaslah terbukti firman Allah yang mulia ini menggambarkan salah satu sifat pemuda Al-Quran iaitu qudwah atau suri teladan masyarakat.

Terdapat pelbagai ayat dalam kitab Allah, Al-Quran yang menceritakan hampir 100 kali berkaitan kisah pemuda.

Antaranya kisah Nabi Ibrahim a.s dan juga kisah Ashabul Kahfi. Kisah mereka membuktikan bahawa apa ertinya hidup mencari Tuhan, asas aqidah dan perjuangan menegakkan agama Islam.

Tiada guna hanya cemerlang di dunia tetapi iman tidak dijaga. Rosak dimamah virus dunia yang berlegar di depan mata. Secara tuntasnya, kita dapat memahami seorang pemuda itu perlu sedar bahawa dia membawa agamanya.

Sudah semestinya perbezaan yang sangat ketara wajib berlaku dari sudut tingkah laku dan akhlak pekerti mulia berbanding dengan pemuda bukan Islam.

Namun pada hari ini, dunia menangis lirih meratapi pemuda sebegitu. Dunia mengeluh mengeluarkan jerebunya kerana sikap dan realiti pemuda kini yang tiada kualiti.

Pemuda yang membaca Al-Quran merangkak-rangkak dan terjerumus dengan kancah kemaksiatan tidak dapat dikira.

Kita dikejutkan lagi dengan pemuda yang terlibat dengan kes disiplin, buli, dadah, seksual, samseng dan baru-baru ini terlibat dengan kes pembunuhan seorang kawan dan bakal ipar.

Sungguh tidak berdaya membawa nama seorang pemuda. Namun demikian, inilah realiti yang perlu kita terima walaupun pahit hakikatnya. Siapa lagi jika tidak kita yang bakal membuat perubahan?

Sesungguhnya firman-firman Allah yang menggetarkan jiwa dalam Al-Quran kitab paling mulia, seawal Nabi Adam a.s diajar agar mengerti dan memahami, Nabi Ibrahim a.s diasuh agar berfikir dan mentafsir, bahkan anjuran “Iqra’ bismirabbikallazikhalaq” kepada Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan usaha mendidik manusia tiada titik noktahnya.

Tugas pendidikan bukan hanya guru dan ibu bapa sahaja tetapi tugas kepada setiap individu bergelar manusia.

Pemuda merupakan aset yang bakal menggantikan tampuk kepimpinan Malaysia akan datang dan perlu melakukan anjakan paradigma buat negara tercinta.

Di mana letaknya laungan, saranan juga advokasi Pemuda Harapan Bangsa Pemudi Tiang Negara?

Jangan dibiarkan lapuk dek hujan, lekang dek panas bahkan kita perlu buktikan kejujuran melalui tindakan. Tidak hanya berakhir di hujung lisan tetapi disudahkan dengan perbuatan.

Mentaliti melahirkan pemuda Al-Quran kelas pertama wajar dibina juga merupakan anjakan pemikiran manusia yang tinggi akal budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu menghijrahkan dirinya daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan.

Prof. Dr Yusuf Al-Qaradhawi Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia membicarakan dalam bukunya berjudul Wajib As-Syabab Fil Islam, pemuda umpama sang mentari apabila waktu tengahari menggambarkan personafikasi pertambahan haba panas yang sangat kuat dan panas.

Biarlah panas itu memberikan kebaikan kepada seluruh alam termasuk manusia, tumbuhan dan binatang. Janganlah sesekali menjadi api panas yang membakar daun kering dan kayu.

Oleh yang demikian, pendakwah dan pelindung Risalah Allah adalah pemuda. Jangan kita biarkan Pemuda Al-Quran yang dinanti-nantikan ibarat katak bawah tempurung.

Sebaliknya kita perlu yakin dan percaya bahawa pandangan mereka seakan luasnya pandangan mata burung. Kita sudah semestinya tidak menginginkan pemuda ibarat buluh kasap hujungnya hilang pangkalnya lesap.

Tekadkan azam kita dengan merakyatkan mentaliti pemuda Al-Quran suatu penantian yang tidak menyeksakan sebaliknya memberi kebahagiaan.

Marilah sama-sama kita membaling joran harapan agar terumpan ikan impian, juga mampu menari mengikut rentak bernama perubahan dan bergerak mengikut alunan kemodenan.

Semoga Pemuda Al-Quran yang kita nantikan bakal muncul membawa obor perubahan.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Ammar Yaser Bin Ahmad Nazri. Berasal dari Cheras, Selangor. Sedang melanjutkan pelajaran di University of Jordan, Amman.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

15 points
Upvote Downvote

Total votes: 21

Upvotes: 18

Upvotes percentage: 85.714286%

Downvotes: 3

Downvotes percentage: 14.285714%