,

Pasukan Abdullah Bin Rawahah Diutus Memerangi Al-Yusair (Yahudi Pengkhianat)

Al-Yusair bin Rizam adalah seorang yahudi di Khaibar. Dia telah menghasut orang-orang yahudi untuk menyerang Rasulullah. Bukan itu saja, dia juga memulakan provokasi dan mengumpulkan kabilah-kabilah Ghathafan untuk memerangi Baginda.

Ketika Rasulullah tahu konspirasi yang dilakukan Al-Yusair, maka Baginda ingin menyiasat kebenaran yang berlalu. Lalu, Rasulullah mengutuskan Abdullah bin Rawahah bersama 30 pasukan berkuda. Peristiwa ini berlaku pada bulan Syawal tahun ke-6 hijrah.

Sampai sahaja pasukan Muslimin, mereka memberitahu: “Rasulullah mengirimkan kami untuk menemuimu, Baginda ingin menunjukmu untuk mengurus Khaibar.”

Maka, pasukan Muslimin membawa orang yahudi naik bersama mereka, iaitu 30 orang yahudi dibonceng setiap seorang Muslim. Al-Yusair naik bersama salah seorang sahabat Abdullah bin Unais di atas unta.

Dalam perjalanan, ketika di Qarqarah, Al-Yusair berasa tidak wajar untuk dia ikut bertemu Rasulullah. Lalu, Al-Yusair terus mengambil pedang milik Abdullah bin Unais yang memboncengnya.

Abdullah bin Unais sedar lalu menyerang Unais. Abdullah bin Unais luka di bahagian kepala akibat serangan Al-Yussair. Berlaku pergelutan sehingga melibatkan semua pasukan Muslimin dan yahudi. Semua orang yahudi terbunuh kecuali seorang saja yang berjaya melarikan diri.

Setelah itu, kaum Muslimin pulang ke Madinah semula. Ketika Abdullah bin Unais berada di hadapan Rasulullah, maka dengan izin Allah, lukanya sembuh, luka itu tidak bernanah dan tidak menimbulkan rasa sakit.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)