Neraka sangat sinonim dengan umat Islam. Bagi umat Islam, neraka merupakan tempat kembali yang penuh dengan azab dan seksaan yang pedih.
Penghuninya pula terdiri daripada golongan-golongan yang melakukan dosa-dosa besar.
Sebaliknya, bagi mereka yang beriman dan taat, syurga pula menjadi tempat kediaman yang abadi.
Sungguhpun begitu, akhir-akhir ini, neraka dilihat sebagai salah satu bahan sensasi apabila ia mula dijadikan sebagai bahan penulisan kreatif.
Bahkan, benda yang sebelum ini menjadi ‘tabu’ dalam kalangan masyarakat Muslim kini menjadi lubuk bagi sesetengah pihak mengaut keuntungan melalui penjualan karya-karya sebegitu sehingga mencecah ribuan cetakan.
Persoalannya, adakah fenomena seperti ini menunjukkan petanda yang positif?
Sudah Kenal Kemudian Apa?
Biasanya sesuatu itu apabila disensasikan, tujuannya untuk meraih perhatian orang ramai kepadanya.
Lihatlah bagaimana budaya golongan populis ekstrimis. Mereka bersikap terlalu obses dengan publisiti sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi meraih perhatian manusia.
Misalnya, seseorang yang terkenal itu mengatakan sesuatu yang pelik dan aneh.
Lalu, ditularkanlah perkara tersebut melalui media sosial. Kemudian, akibat tidak berpuasa hati, warganet akan beramai-ramai mengecam tindakan orang tersebut sehingga isu ini menjadi sohor kini.
Secara tidak sedar, walaupun dihujani dengan kecaman dan kritikan, si pelaku tersebut kini sudah dikenali ramai, bahkan boleh jadi seluruh pengguna media sosial mengenalinya.
Malangnya apabila tema neraka itu diangkat menerusi bahan-bahan bacaan, sebagaimana kebiasaannya akhirnya ia akan disimpan di rak-rak buku sahaja.
Tidak dinafikan, pendekatan sebegini merupakan salah satu bentuk dakwah yang berkesan kepada golongan sasar secara lebih meluas.
Walau bagaimanapun, janganlah setakat itu sahaja. Setelah mengetahui segala aspek dan serba-serbi tentang neraka, maka apa yang penting adalah cara kita hendak menjauhinya.
Justeru, caranya adalah dengan merubah dan membentuk kembali sikap agar selari dengan kefahaman kita tentang azab dan seksaan neraka itu.
Cegah Neraka di Dunia
Kembalilah kita ke realiti kehidupan di dunia. Usahlah terlalu memikirkan soal neraka yang maha dahsyat itu sehingga tidak sedar bahawa dunia kita ini sudah pun menjadi “neraka”.
Masakan tidak, dunia menjadi neraka apabila kejahatan bermaharajalela, isu-isu kemanusiaan yang tidak selesai, penindasan, kekejaman, kemusnahan dan bermacam-macam lagi.
Semua itu kita boleh saksikan dengan mata kepala kita sendiri. Ya, hidup di dunia ini tidak kekal memandangkan kehidupan di akhiratlah yang abadi.
Oleh yang demikian, untuk menjauhi neraka akhirat, kita perlu mulakan langkah ketika masih berada di dunia lagi. Caranya?
Ketahui punca-puncanya terlebih dahulu.
Antara puncanya ialah melakukan syirik, memakan harta anak yatim, memakan riba dan melakukan kejahatan.
Justeru, rasa gerun apabila mendengar gambaran neraka semata-mata tidak cukup untuk menjauhkan diri kita daripadanya.
Ia memerlukan tindakan yang mendorong kita untuk menjauhi segala perbuatan yang mendorong ke arahnya.
Pelan Tindakan
Terlalu banyak berteori dan berfalsafah tidak cukup sekiranya ia tidak dapat diimplementasikan dalam kehidupan seharian.
Justeru, sebagai seorang Muslim antara langkah yang boleh dilakukan ialah:
- Kurangkan tindakan mensensasikan perkara-perkara yang bersifat alsam’iyyat seperti azab kubur, neraka, alam barzakh dan sebagainya.
- Didik masyarakat untuk menjadikan rasa takut kepada neraka itu dengan ditonjolkan melalui sikap.
- Memelihara diri dan ahli keluarga daripada melakukan perbuatan yang menjerumuskan ke dalam neraka.
- Sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauhkan daripada azab dan seksaan neraka.
Maka, hanya melalui tindakan sahaja yang dapat merealisasikan usaha untuk mengajak kembali manusia memasuki syurga Allah, sekali gus menjauhi neraka-Nya.
Rasa takut kepada Allah menjadikan kita semakin rapat dengan- Nya.
Sebaliknya, rasa takut kepada neraka sepatutnya menjadikan kita semakin berusaha untuk menjauhinya melalui perbuatan dan tindak-tanduk kita.