,

Tidak Rugi Jika Kita Menjaga Adab Dan Perbuatan

Agama Islam sangat menitikberatkan akhlak dalam kehidupan. Kita bukan sahaja perlu menjaga hubungan dengan Allah, malah kita perlu juga menjaga hubungan sesama manusia.

Bukankah keamanan satu nikmat yang indah? Jadi di sini saya kongsikan, bagaimana untuk hidup kita menjadi lebih harmoni.

Beradab dengan ibu bapa, ahli keluarga, suami & isteri

Hormatilah ibu bapa kita kerana mereka selamanya adalah ibu bapa kita. Tiada apapun yang dapat membalas kebaikan dan susah payah mereka.

Hargailah sementara mereka masih ada. Sesungguhnya Allah amat mencintai orang yang berbuat baik terhadap kedua ibu bapanya.

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (Surah An-Nisa’: Ayat 36

Pasangan hidup kita (suami / isteri) adalah anugerah untuk kita. Berapa ramai di luar sana yang sedang mendoakan untuk dikurniakan pasangan.

Hiduplah dengan saling menerima kekurangan dan membimbing satu sama lain. Jangan sesekali mengaibkan mereka.

Jika benar caranya, insya-Allah perkahwinan yang dibina akan kekal hingga ke syurga.

Beradab dengan tetamu dan jiran

Tetamu itu mempunyai hak yang wajib ditunaikan. Maksudnya setiap tetamu wajib dihormati dan diuruskan keperluannya (seperti tempat tinggal dan makan minum).

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadith Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Islam sangat mementingkan hak jiran dan memuliakan mereka. Paling minimum adalah tidak menyakiti mereka dengan perkataan atau perbuatan.

Menyakiti mereka bukan saja tidak mencerminkan akhlak seorang muslim, namun boleh menjadikan ibadah kita tertolak.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda maksudnya, “Tidak masuk syurga seorang yang jirannya tidak aman daripada kejahatannya.” (Hadith Riwayat Muslim)

Beradab di media sosial

Jaga percakapan, mata dan tangan kita.

Tulis dan lihatlah yang baik-baik. Elakkan cepat sangat menghukum orang lain. Jagalah hati saudara sesama manusia dengan baik.

Adalah berdosa jika kita berbuat sesuatu sehingga jatuh fitnah atau membuat orang lain bergaduh atau tertipu. Jadi, berhati-hatilah. Jika mahu menasihati, nasihatlah dengan cara yang sopan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Hujurat: ayat 11)

Beradab dengan penganut agama lain

Allah SubhanahuwaTa’ala berfirman,

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ.

“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahah: ayat 8)

Allah tidak melarang kita untuk berbuat baik, menyambung silaturrahim, membalas kebaikan, berbuat adil kepada penganut agama lain selagi tidak mendatangkan kemudaratan terhadap agama kita.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang aman dan berkasih-sayang.

Beradab dengan orang di sekeliling

Hormati hak orang atau makhluk lain. Jauhi sifat dengki, tamak dan suka bergaduh.

Setiap orang mempunyai rezeki yang berbeza-beza. Mungkin apa yang kita ada, tiada pada orang lain. Jadikan kejayaan orang sebagai pembakar semangat untuk kita.

Percayalah, jika kita berbuat sesuatu yang tidak baik, balasan untuk kita lebih dahsyat lagi. Jadi, tenang sahaja dan teruskan berusaha!

Jagalah kebersihan dan elakkan pembaziran.

Firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 77, “… janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Tidak rugi jika menjaga adab dan perbuatan kita. Sebaiknya adab ini dididik sejak kecil.

Rasulullah S.A.W sendiri menjaga hubungan baiknya dengan semua orang, tidak kira agama, jantina mahupun umur.

Malahan akan melahirkan suasana lebih tenang, jika kita saling menghormati perbezaan. Belajarlah daripada satu sama lain. Moga kedamaian terus menjadi milik kita bersama. Biiznillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Berasal dari Selangor. Meminati bidang fotografi, suka menulis dan amat gemar membaca. Ikuti perkembangan beliau di blog http://arnamee.blogspot.my/.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.