,

Mata Untuk Melihat KebesaranNya, Bukan Maksiat

Kita sering mendengar istilah ‘menundukkan pandangan’.

Menundukkan pandangan di sini bukanlah bermaksud pandang ke bawah atau memejamkan mata namun lebih kepada mengawal pandangan.

Dan ini merujuk kepada lelaki mahupun perempuan. Dalam erti kata lain, kita semua perlu mengawal apa yang kita lihat.

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah an-Nur: ayat 30)

Firman-Nya lagi dalam ayat 31 surah an-Nur: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatannya…”

Mengawal pandangan adalah usaha untuk menahan atau mengelak daripada melihat apa yang diharamkan.

Tidak berlama-lama memandang perkara yang tidak baik (yang dilarang Allah). Terutamanya aurat orang lain yang kita terpandang atau yang mampu menjentik nafsu kita.

Sebolehnya mata ini kita jaga pada setiap masa.

Pandangan pertama yang tidak disengajakan dimaafkan. Namun jika kita sengaja memandang yang haram, kita akan mendapat dosa.

Tapi kenapa kita perlu menundukkan pandangan?

Kerana pandangan manusia itu amat berkait rapat dengan hati. Hati adalah raja dalam diri kita. Jika hati tercemar, habislah jasad. Islam tidak menghalang umatnya bersiar-siar atau berjalan-jalan, namun Islam ada meletakkan kaedahnya.

Sebelum berlaku fitnah lebih besar, Islam terlebih dahulu menyuruh kita mengelak pintu fitnah (iaitu penglihatan) supaya kita dapat mengelak dosa lebih besar.

Jarir bin Abdullah R.A berkata, “Aku telah bertanya kepada Nabi S.A.W akan perihal melihat secara tiba-tiba, maka Nabi S.A.W menyuruh aku mengalihkan pandangan aku (tidak memandang untuk kali yang kedua).” (Hadith riwayat Muslim)

Sebagai manusia, kita pasti berpotensi untuk terjerumus dengan maksiat, jadi salah satu tanggungjawab kita untuk menghindarinya adalah dengan menjaga pandangan.

Jadi marilah kita bersama-sama memelihara nikmat melihat ini sebaik mungkin. Moga kita semua diberi kekuatan dalam setiap amalan. Insya-Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Berasal dari Selangor. Meminati bidang fotografi, suka menulis dan amat gemar membaca. Ikuti perkembangan beliau di blog http://arnamee.blogspot.my/.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.