,

Kerana Dia Guru Dunia Akhirat

Mardhiah bersiap untuk ke sekolah bagi majlis penyampaian keputusan SPM 2016. Dia mengambil handphone Samsung Note 2 kepunyaannya untuk menyemak keputusan secara SMS.

Tepat pukul 10 pagi, dia menghantar SMS tersebut, dan terus mendapat keputusan.

Alhamdulillah, dia bersyukur. Mardhiah mendapat 1A+, 7A dan 1B.

Mardhiah mengambil telekung dan sejadahnya untuk menunaikan sujud syukur dan solat sunat Dhuha. Dia memanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Berkuasa.

“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).” (Surah Al-Baqarah : 152)

Setelah selesai menunaikan solat Dhuha, Mardhiah mengemas mejanya yang sedikit berselerak setelah lama tidak digunakan olehnya.

Mejanya itu telah dipinjamkan kepada adik bongsunya, oleh sebab itu, meja tersebut sedikit berselerak.

Mardhiah dan adiknya berbeza perangai. Mardhiah merupakan seorang yang sangat pengemas.

Cikgu Nur pernah berkata kepadanya, Allah sukakan kekemasan. Mardhiah tersenyum teringat akan Cikgu Nur yang mengajarnya Bahasa Melayu.

Gambarnya bersama Cikgu Nur dipandang seketika. Kenangan bersama Cikgu Nur terimbas.

******

Mardhiah merupakan pelajar tingkatan 3 pada tahun itu. Disebabkan neneknya yang berada di kampung menghidap strok, dia dan keluarganya terpaksa berpindah ke kampung untuk menjaga neneknya.

Neneknya enggan tinggal di bandar kerana tidak ingin berjauhan dengan pusara atuknya. Maka, ayah Mardhiah akur dan bertukar tempat kerja di kampung. Mardhiah dan adik-adiknya juga terpaksa berpindah ke sekolah baharu.

Pada suatu petang, Mardhiah berasa rindu akan rakan-rakannya di sekolah lama. Media sosial seperti Facebook merupakan pengantara antara mereka.

Ketika melayari Facebook, Mardhiah terjumpa akaun Facebook gurunya yang bernama Nur Athirah, lalu dia menghantar pesanan kepada guru tersebut.

“Assalamualaikum, Cikgu Athirah. Masih ingat saya, Mardhiah? Dahulu saya merupakan pelajar kelas 2 Bestari.” Tegur Mardhiah.

“Waalaikumussalam. Maaf, tidak ingat. Saya guru baharu di sekolah ini. Kamu pelajar kelas mana sekarang?”Jawab Cikgu Nur.

Rupa-rupanya, Mardhiah tersalah orang. Cikgu Nur mempunyai nama yang sama dengan Cikgu Athirah, tetapi panggilan yang berbeza. Beliau merupakan guru baharu yang mengajar subjek Bahasa Melayu tingkatan 3 dan tingkatan 5.

Dari detik itulah, Mardhiah dan Cikgu Nur berkenalan dan semakin erat. Walau jauh di mata, tetapi dekat di hati.

Setelah 6 bulan berada di kampung, akhirnya nenek Mardhiah dijemput Illahi. Mardhiah sangat sedih dan menangis teresak-esak. Mardhiah tidak mampu menerima takdir. Dia suka bersendirian dan tidak makan untuk beberapa hari.

Cikgu Nur mengetahui berita sedih tersebut, lantas menghantar pesanan melalui Facebok kepada Mardhiah.

“Mardhiah, takziah cikgu ucapkan. Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kita semua akan merasakan kematian. Mardhiah, kita yang masih hidup ini perlu teruskan kehidupan. Jangan terlalu bersedih. Mardhiah doakan nenek Mardhiah ye. Jangan seksa diri Mardhiah.”

Pesanan yang ringkas tapi padat tersebut memberi makna yang besar kepada Mardhiah. Ye, dia perlu meneruskan kehidupannya.

Walaupun dia tidak boleh berbakti kepada neneknya lagi, dia boleh berterusan berdoa kepada neneknya.

Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Keluarga Mardhiah akhirnya pulang ke bandar kembali. Mardhiah dan adik-adiknya kembali ke sekolah lama mereka.

Mardhiah akhirnya dapat bertemu dengan Cikgu Nur yang selama ini hanya berkenalan di Facebook.

Kata Cikgu Nur, media sosial seperti Facebook ini mempunyai banyak kebaikan sebenarnya. Seperti contoh, kita dapat berkenalan dengan ramai orang. Tapi jangan pula mengabaikan orang di hadapan kita.

Mardhiah gembira kerana dapat kembali ke sekolah lamanya, tetapi dia juga tertekan kerana terdapat kerja kursus yang harus dibuatnya.

Pelajar tingkatan 3 diwajibkan untuk membuat kerja kursus bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi. Dia menangis kerana tertekan.

Dia juga tertekan dengan ibunya. Ibunya asyik mengarahkannya melakukan pelbagai kerja di rumah dek baru berpindah semula. Dia tidak ada sesiapa untuk mengadu akan masalahnya.

Ayahnya pula sibuk dengan kerja, maklumlah baru pulang ke tempat kerja yang lama. Akhirnya, dia menangis di dalam kelas, ketika Cikgu Nur sedang mengajar.

Cikgu Nur memujuknya. Pada akhir kelas, Cikgu Nur membawa Mardhiah ke bilik guru bagi menenangkannya.

“Mardhiah harus kuat. Jangan lupa, Mardhiah masih ada tempat mengadu. Mengadulah pada Allah. Dia akan tolong kita, Mardhiah. Kalau orang lain tak mampu, Dia selamanya mampu.”

Pesanan ini selalu tersemat di hati Mardhiah. Allah Maha Kuat, jadi mohonlah kekuatan dari-Nya.

Mardhiah juga masih ingat akan kes tahun lepas. Hari itu, dia berasa sangat tidak sabar untuk bercerita kepada rakan baiknya, Suraya tentang percutiannya.

Ketika Cikgu Nur sedang mengajar di hadapan, Mardhiah tidak henti-henti bercerita dengan nada berbisik kepada Suraya.

Suraya yang sedang fokus kepada Cikgu Nur tidak mengendahkan Mardhiah yang sedang syok bercerita.

“Mardhiah! Berdiri! Kenapa kamu bercakap ketika saya sedang mengajar?”

Mardhiah terkejut, lantas berdiri dan menahan nangis. Dia tidak sangka bahawa Cikgu Nur yang merupakan guru kesayangannya, akan memarahinya.

Mardhiah tidak dapat menahan tangisannya lalu berlari keluar dari kelas tanpa meminta izin. Cikgu Nur tidak menghalangnya, malah menyambung sesi pengajaran tersebut.

Bagi Cikgu Nur, dia tidak boleh memilih kasih. Dia sayang akan Mardhiah tetapi Mardhiah berbual di dalam kelasnya ketika dia mengajar. Memang patut dimarahi.

Cikgu Nur berasa serba salah melihat Mardhiah yang tidak henti-henti menangis di tandas. Tidak, dia tidak boleh beri muka kepada pelajar, nanti dipijak-pijak.

Perang dingin antara Mardhiah dan Cikgu Nur sudah berlalu selama seminggu. Mereka tidak bertegur sapa di Facebook mahupun di sekolah. Mardhiah sangat-sangat terasa hati dengan gurunya.

Cikgu Nur pula tidak ingin memujuk Mardhiah, bukan salahnya untuk memarahi pelajar yang tidak fokus di dalam kelas.

Akhirnya, Cikgu Nur berasa dia tidak patut berbuat begitu kepada Mardhiah. Dia perlu menegur sikap Mardhiah, bukannya melepaskan seperti itu. Memarahi tanpa mengajar itu tidak betul.

Cikgu Nur mendapat idea cara untuk memujuk Mardhiah.

Mardhiah meletakkan beg di kerusinya. Dia mengambil sebuah buku dari bawah mejanya dan terperasan akan sebuah bekas Tupperware. Terdapat sebekas kek coklat beserta nota kecil. Nota minta maaf beserta dengan nota ringkas tentang adab-adab dengan guru.

Imam Syafi’e berkata, “Dulu aku membolak-balikkan kertas di depan gurunya (Imam Malik) dengan sangat lembut kerana segan kepadanya dan supaya dia tidak mendengarnya.”

Mardhiah malu dan sedar akan kesilapannya. Dia mencari Cikgu Nur di bilik guru, tetapi malangnya Cikgu Nur menghadiri kursus.

Cikgu Nur hanya datang sekejap untuk meletakkan kek tersebut dan terus ke tempat kursus diadakan.

Keesokan harinya, Mardhiah membawa kek kegemaran gurunya dan memeluk Cikgu Nur, dia meminta maaf sepenuh hatinya.

******

“Mardhiah, jom pergi sekolah.” Mardhiah tersedar daripada lamunan yang panjang. Ibunya sudah bersiap. Lama dia menunggu ibunya untuk bersiap, sehingga termenung. Sungguh tidak sabar untuk bertemu Cikgu Nur. Sudah 3 bulan tidak bertemu beliau.

Setibanya di sekolah, Mardhiah terus memeluk Cikgu Nur.

“Tahniah, Mardhiah kerana mendapat A+ untuk subjek Bahasa Melayu. Cikgu bangga dengan kamu.” Cikgu Nur tersenyum lebar kepada Mardhiah. Terkejut Mardhiah, tidak menyangka dia akan mendapat A+ untuk subjek tersebut.

“Cikgu Nur, terima kasih kerana mengajar saya Bahasa Melayu. Bukan sahaja Bahasa Melayu, tetapi adab dan akhlak yang baik. Terima kasih Cikgu. Terima kasih kerana menjadi contoh yang baik buat saya. Semua ilmu yang pernah dicurahkan, halalkan ye cikgu. A+ ini bukan untuk saya sahaja, tetapi untuk cikgu juga.” Mardhiah memeluk Cikgu Nur sekali lagi.

“Cikgu, saya sayang cikgu dunia dan akhirat.” Mardhiah berbisik ke telinga Cikgu Nur.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Aida Mardhiah binti Shaiful Bahari. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.