,

Mengejar Popular

Tak pernah terlintas di fikiranku untuk jadi seorang sukarelawan, apatah lagi untuk jatuh cinta dengannya.

Dulu aku tak fikir tentang orang lain, tentang nasib orang lain dan  seorang yang bukanlah aktif ketika di alam persekolahan.

Yang aku tahu hanyalah bermain media sosial, post di Facebook dan Instagram. Ya, aku rasa duniaku gelap tanpa media sosial. Aku mudah berasa bosan.

Popular. Ada apa dengan popular? Ya, dulu aku sangat mengejar popular. Aku suka bila apa yang aku buat mendapat perhatian manusia.

Aku suka bila apa yang aku buat dapat pujian, dapat like yang banyak bila aku share di Facebook mahupun Instagram. Tapi itu semua dulu. Selepas itu, satu persatu Allah jawab persoalanku.

Sehingga lah aku terjumpa dengan seorang kawan yang bernama Amalina ketika di universiti, tempatku menyambung pengajian untuk menuntut ilmu. Aku ingat lagi caranya menegurku :

“Awak ni Suhaila kan, yang  famous kt instagram tu? Saya ada follow awak tau! Hihi. Saya Amalina,” katanya dalam nada teruja sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku hanya membalas sapaannya dengan senyum kambing.

“Famous jugak aku ni rupanya, ramai yang perasan aku aktif kat Facebook dengan Instagram. Eh,terperasan sendiri pulak. Haha,” gelakku sendiri di dalam hati.

Tanpa aku sedari, Amalina dan beberapa orang rakannya ketika itu hanya memerhatikanku. Mukaku mula kemerah-merahan menahan malu. Dialah orang pertama yang mengajakku terlibat dengan sebuah program.

Lebih mengejutkan lagi, program itu berbentuk sukarelawan! Aku baru dapat tahu yang Amalina tu sebenarnya merupakan presiden bagi Kelab Sukarelawan Siswa di universiti kami.

“Suhaila, jomlah join kami. Kami ada buka kaunter pendaftaran untuk ahli baru, mula malam ni sampai lusa. Jomlah, seronok tau join program sukarela ni,” tambah salah seorang kawan si Amalina, Faiza namanya.         

“Eh, aku ni dah lah tak aktif join program, tiba-tiba nak join program sukarela. Dia ni biar betul,” bisik hatiku. Hanya mampu berkata di dalam hati. Namun demi menjaga hati Amalina yang beria mengajakku, aku akhirnya mendaftarkan diri sebagai ahli.

Bermula dengan terpaksa, perlahan-lahan aku menjadi suka. Dari situ aku mula berjinak-jinak dengan dunia ‘sukarelawan’. Mula dengan sekecil program yang memerlukan khidmatku secara sukarela, tanpa dipaksa, aku mula jatuh cinta.

Aku juga mula sedar sedikit demi sedikit kesilapanku dulu. Apabila turun ke lapangan, membantu mereka yang memerlukan, sedikit sebanyak telah membuka mataku untuk berubah. Bermula detik itu juga aku mula faham erti sebenar pengorbanan menjadi sukarelawan.

Bukan semudah yang disangka, bidang ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat untuk dilaksanakan. Aku banyak belajar ilmu di luar kelas pengajian. Ilmu tentang kepimpinan, cara berhadapan dengan pelbagai ragam manusia dan banyak lagi.

Aku mula mengenali Amalina dengan lebih rapat. Entah kenapa, dia banyak melembutkan hatiku yang keras seperti batu ni.

“Kau sihat tak ni? Muka kau nampak pucat,” kataku dengan nada risau. Entah kenapa sejak kebelakangan ni, aku sering nampak Amalina jatuh sakit. Daripada panggilan saya-awak, kini kami menjadi kawan rapat ber-aku-kau.

“Eh, aku ok je lah. Cuma pening sikit. Kau tolong aku boleh? Tolong aku panggil semua geng kita. Set masa, aku nak buat meeting,” Amalina memberi arahan secara tiba-tiba.

“Ok, nanti aku beritahu diaorang,” aku menjawab tanpa banyak soal. Hatiku rasa tidak senang dengan perubahan sikap Amalina.

Amalina, secantik namanya, begitulah juga akhlaknya. Aku kagum dengan sifatnya yang memudahkan urusan orang lain. Dia juga sering menyembunyikan sakitnya sendiri.

Aku tidak menyangka, meeting kami pada malam Jumaat itu merupakan pertemuan terakhir kami. Aku dikejutkan dengan pemergiannya pada pagi Jumaat penghujung tahun 2018. Rupanya dia seorang pesakit kanser yang sudah bertahun-tahun lamanya. Duniaku terasa gelap seketika.

Aku pernah keliru, aku ingat kaya itu bahagia. Aku ingat popular itu bahagia. Tapi sebenarnya bahagia itu terletak pada hati. Hati yang sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada, apa yang kita dapat.

Bukannya berlagak dan menunjuk dengan apa yang kita ada dan mengharapkan balasan dan pujian di mata manusia dengan apa yang kita lakukan. Nikmatnya bila bersederhana dan merasa cukup dengan apa yang ada.

Sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam al-quran : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu.” (Surah Ibrahim [14]: 7)

“Apa terjadi, jangan berhenti. Teruskan berjalan dan memberi. Jangan lakukan demi dapatkan perhatian manusia, ikhlaskan hati, buatlah demi Ilahi,” pesanan terakhirnya berlegar-legar di ruang fikiranku.

Lamunanku terhenti apabila disergah oleh Faiza. Faiza telah menjadi pengganti teman baikku kini. Kami menjadi nadi untuk terus mengajak mahasiswa turun ke lapangan, memberi bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa mengharapkan balasan.

Terima kasih Amalina, kau banyak sedarkan aku. Jasamu akan ku kenang hingga akhir nafasku. Moga aku diberi kekuatan untuk terus memberi sehingga akhir hayatku. Aamin. Kini, popular bukanlah matlamat hidupku lagi.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Idayu Nur Illyani Binti Daud. Berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. Boleh mengikuti perkembangannya di Facebook (Illyani Daud) dan Instagram (illyanidaud_)

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.