Tidak Allah S.W.T jadikan manusia itu selain untuk beribadat kepadaNYA.
Sebagaimana firman ALLAH S.W.T dalam surah Ad-Dhariyat ayat 56 yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
Walau bagaimanapun, sudah menjadi lumrah kehidupan untuk setiap manusia itu berusaha mencari dan menjalani kehidupan terbaik di dunia yang sementara ini.
Pelbagai tuntutan hidup harus dipenuhi selain tuntutan ibadah yang semestinya dijadikan sebagai suatu kewajipan.
Dalam mengejar kelangsungan hidup duniawi, manusia akan melalui pelbagai peringkat kehidupan. Bermula dengan zaman kanak-kanak yang mana di situlah bermulanya pencarian sebuah ilmu, kasih sayang, harapan dan sebagainya, diikuti zaman remaja, dewasa serta kehidupan di usia tua.
Pada setiap peringkat ini, manusia akan berlumba-lumba mencari nikmat kehidupan dunia. Itulah yang disifatkan sebagai mengejar duniawi.
Harus diingat bahawa manusia yang bijak dalam menjalani kehidupan sebagai insan ialah manusia yang berpegang teguh dengan janji ALLAH S.W.T dan sentiasa berusaha ke arah mencari kenikmatan hidup di akhirat kelak.
Mereka merupakan orang-orang yang bijak menggunakan kesempatan hidup dalam mengejar duniawi dengan sentiasa bermuhasabah diri dengan kehidupan sekeliling.
Maksud bermuhasabah diri dalam mengejar duniawi ialah melalui dan meneliti proses kehidupan sekeliling yang mana dengannya kita akan dapat belajar sesuatu yang mampu mendidik dan mengubah diri kita ke arah yang lebih baik.
Sebagai contoh, nasib dan rezeki setiap manusia di muka bumi ini adalah berbeza, sama ada kaya, miskin, berjaya, kurang berjaya dan sebagainya.
Namun begitu, keadaan sedemikian tidak akan menjadi jurang pemisah atau faktor untuk seseorang itu menjadi sombong dan bongkak di masa depan.
Maka, dari situlah seorang manusia itu seharusnya mencari titik pantulan untuk bermuhasabah diri dan belajar makna kehidupan.
Sebagai contoh, seorang individu yang menjalani kehidupan sebagai insan yang lebih kaya dan lebih senang seharusnya memandang kepada kehidupan individu lain yang jauh lebih susah dari hidupnya.
Sebagai hasilnya, seorang individu tersebut akan sentiasa bermuhasabah diri.
Sesungguhnya muhasabah diri adalah amat penting dan perlu dipraktikkan dalam kehidupan seorang insan.
Hal ini kerana daripadanya akan terbentuk seorang insan yang sentiasa bersyukur dan menghargai nikmat kehidupan.
ALLAH S.W.T berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud; “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
Umat Islam amat disarankan untuk sentiasa bersyukur dalam kehidupan. Hal ini jelas terbukti dalam surah al-Furqan ayat 62 yang bermaksud; “Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu).
Kesimpulannya, tiada halangan untuk seseorang itu mengejar kesenangan dan kebahagiaan di dunia selagi mana dia tidak melupakan tuntutan akhirat yang akan lebih menjamin kebahagiaan yang berkekalan.
Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dalam menjalani kehidupan.
Namun demikian, ia tidak bermaksud untuk mencari kesalahan diri sendiri semata bahkan untuk memperbaiki diri ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dunia dan akhirat.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Hasnita Binti Yusof.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.