,

Menemui Ainul Mardhiah (Ketua Bidadari Syurga)

Tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan, semua kita berimpian mahu masuk ke syurga.

Namun kita selalu terfikir, “Layakkah aku?”

Sedangkan jauh di sudut hati, kita amat takutkan azab api neraka. Insya-Allah dengan rahmat-Nya, pasti kita akan dapat masuk ke syurga.

Sambil itu teruskan berbuat yang Allah suruh dan meninggalkan yang dilarang serta jangan berhenti untuk berdoa dan meminta yang terbaik untuk diri, ahli keluarga dan semua orang.

Siapa Ainul Mardhiah?

Ainul Mardhiah dari segi bahasa bermaksud mata yang diredhai (maksudnya setiap pandangan yang melihatnya pasti akan menemukan keredhaan di hati).

Diceritakan Ainul Mardhiah ini bidadari paling cantik dan sedang menantikan suaminya di syurga (para solihin di dunia).

Usaha untuk ke syurga

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Impian takkan dapat jika sekadar menjadi mimpi.

Antara usaha yang dilakukan untuk terus istiqamah dalam menjadi hamba-Nya yang taat selain memelihara ibadah dan hubungan dengan Allah adalah menjaga juga hubungan dengan manusia dan makhluk lain.

Bagaimana jika seorang perempuan mahu masuk ke syurga?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat akan suaminya, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.” (Riwayat Ahmad)

Jelas di sini untuk memperoleh syurga Allah, seorang wanita itu harus menjaga ibadahnya dan taat pada suaminya (selagi perkara tersebut tidak bertentangan dengan ajaran islam).

Ada harinya mungkin kita penat, rasa marah ataupun sedih, namun dengan istighfar dan bersederhana serta memperbaiki amalan, insya-Allah kita akan lebih tenang dan dipermudahkan.

Yakinlah, dalam setiap ujian, pasti akan ada jalan.

Dan lelaki yang bagaimana akan masuk ke syurga?

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar,

dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa,

dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab: ayat 35)

Maksud ayat ini adalah jika seseorang itu (sama ada lelaki ataupun perempuan), jika dia beriman, benar, sabar, merendah diri, bersedekah, berpuasa, memelihara kehormatannya, selalu menyebut nama Allah, pasti akan ada ganjaran besar yang akan diterima (keampunan dan pahala).

Sebagai khalifah (pemimpin) di atas muka bumi ini, tanggungjawab lelaki bukanlah kecil, namun berbekalkan sifat amanah, ikhlas dan taat kepada Allah, pastinya banyak perkara yang dapat dicapai sama ada kejayaan di dunia mahupun di akhirat sana. Jadi buatlah perkara yang disukai Allah.

Kurangkan berangan, tingkatkan iman

Tiada apa yang mustahil jika Allah sudah berkehendakkan. Kita masuk ke syurga pun atas rahmat Dia. Jadi janganlah putus asa. Tidak ada sebab untuk kita berhenti berharap.

Namun, usaha dan doa haruslah seiring. Jika kita sedar kita ada kekurangan, jangan takut untuk terus membuat penambahbaikan.

Kemaafan Tuhan tidak sama dengan kemaafan insan. Jadi jangan risau jika dosa sebesar lautan, Dia tetap akan ampunkan.

Namun risaulah jika kita tidak mendapat hidayah untuk berdoa dan berusaha menjadi hamba-Nya yang soleh dan solehah.

Untuk lelaki, teruslah berjuang menjadi pahlawan menuju ke syurga Allah. Dan untuk semua wanita, selamat berjuang dalam usaha menjadi Ainul Mardhiah! Insya-Allah. Jom terus berbuat kebaikan!

“Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik r.a: Ada seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW : Bilakah kiamat itu tiba? Rasulullah bersabda: Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu. Lelaki itu menjawab: Cinta Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah menjawab: Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 4775)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Berasal dari Selangor. Meminati bidang fotografi, suka menulis dan amat gemar membaca. Ikuti perkembangan beliau di blog http://arnamee.blogspot.my/

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

11 points
Upvote Downvote

Total votes: 13

Upvotes: 12

Upvotes percentage: 92.307692%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 7.692308%