,

Mengajar Tidak Semudah Yang Disangka

“The best teachers teach from the heart, not from the book…”

“Saya tak puas hati betul dengan budak-budak kelas tu. Lelaki dan perempuan sama!” Amarah Iman diluahkan kepada Nur. Mereka berdua mendapat kelas yang sama, kelas 4S 1. Kelas pertama daripada tiga kelas.

“Mungkin sesi refleksi diri tak pun muhasabah diri harus dilakukan,” kata Iman.

“Nak buat bila?” Nur bertanya. Dia tahu benar sikap sahabatnya yang seorang ini.

Seandainya dia hendak buat sesuatu, dia memang akan buat. Tetapi, dia akui tindakan sahabatnya boleh dipuji. Dia pun mengharapkan pelajar kelasnya berubah menjadi lebih baik.

“Kita buat esok.”

“Ok bos!” Tabik hormat untuk tenangkan hati sahabatnya.

“Tak payah nak senget sangat Cik Nur oi!” Kedengaran tawa di bibir Iman. Baru dengar tawanya di sebalik mukanya yang sentiasa garang dengan pelajarnya.

******

Iman membiarkan Nur memulakan sesi refleksi diri untuk pelajar-pelajar kelas tersebut.

“Cikgu nak kita mulakan slot pagi ini dengan doa.” Nur mengarahkan Mujahid membacakan doa sebelum sesi seterusnya diteruskan.

“Kami bukan nak cari salah sesiapa untuk sesi ini. Kami nak selesaikan masalah kelas kita. Takkan nak macam ni sampai bila-bila. Tengoklah kelas ni. Tak ceria pun.” Nur memulakan bicaranya.

“Cikgu nak tahu apa masalahnya dengan kelas kita?”

“Kenapa asyik isu yang sama berlaku?”

“Kenapa asyik tak sependapat lelaki dan perempuan ni?”

Bertalu-talu soalan yang dilontarkan oleh Iman terhadap pelajar-pelajar kelasnya. 13 orang lelaki dan 9 orang perempuan memandangnya dengan wajah tunduk ke bawah.

Mereka kenal benar dengan sikap guru di hadapannya ini. Walaupun orangnya bertubuh kecil tetapi suaranya agak lantang. Kadang-kadang sakit di telinga.

Suasana tenang di dalam kelas tersebut. 22 orang pelajar masih lagi membisu. Kedengaran bunyi kipas di siling atas. Nur dan Iman menanti jawapan pelajar-pelajarnya.

“Cikgu nak seorang demi seorang beritahu cikgu apa yang kamu tak puas hati di antara satu sama lain?” Iman bersuara lantang lagi.

“Kita mulakan dengan perempuan dulu. Amalia?” Nur bersuara.

“Pelajar kelas kita tak macam dulu. Kelas tak ceria pun. Tak ada kerjasama nak hias kelas.” Amalia bangun menyatakan pendapatnya.

“Ibtisam? Raghdah? Auni?” Ketiga-tiga mereka diam dan mengelengkan kepala.

“Aisyah? Asma’? Hafizah? Ila?” Mereka berempat turut diam.

“Solehah?”

“Kami tak sependapat dengan pelajar lelaki.” Hanya itu dilontarkan oleh Solehah.

“Ok, kita teruskan dengan pelajar lelaki pula.” Iman memandang mereka. Iman memulakan dengan pelajar yang duduk di barisan belakang dahulu.

Entah mengapa hatinya mengatakan ada sesuatu yang berlaku dengan pelajar barisan hadapan. Reaksi muka pelajar ini seolah-olah ingin menyatakan sesuatu kepadanya. Telepati hatinya berlagu lagi.

“Faiq? Anas? Abdurrahman? Hassan?” Mereka menggelengkan kepala.

“Thoriq? Asyraf? Junaidi? Abqarie?” Mereka turut menggelengkan kepala.

“Waleed? Haikal? Haqim? Sulaiman? Tak ada apa-apa masalah ke?”

“Tak ada.” Serentak mereka menjawab.

“Cikgu ada masalah dengan kamu berempat. Inilah pelajar yang paling kerap tak datang sekolah. Jangan ingat baru je habis PT3 boleh bercuti sesuka hati. Tahun depan SPM lagi penting daripada PT3. SPM penentu masa hadapan. Cikgu tak nak dengar lagi alasan tak logik bila tak hadir ke sekolah. Faham?” Mereka angguk.

Pelajar terakhir, Mujahid. “Mujahid? Ada apa-apa nak beritahu cikgu?”

Mujahid memandang gurunya. Dia ingin menyatakan sesuatu tetapi terasa suaranya dikunci. Dia pun diam.

Sekali lagi Iman bertanya. “Mujahid? Kalau ada sesuatu nak katakan, sila katakan sahaja. Kami semua akan mendengar. Kita tak cari salah siapa. Tetapi kita nak perbetulkan kelas kita ni.”

Iman dapat melihat ada kaca yang bakal pecah di bola mata pelajar di hadapannya itu. Entah mengapa hatinya melonjak ingin tahu apa sebenarnya yang terbuku di hati pelajarnya itu.

Dia tetap menyoal Mujahid sehinggalah air mata Mujahid jatuh berlinang dan dia menutup mukanya dan duduk. Sulaiman di sebelahnya bertanya sebab dia menangis.

Kelihatan Anas memanggil Iman dari arah belakang. Iman segera ke barisan belakang.

“Cikgu jangan paksa dia katakan apa yang dia patut katakan. Dia tak akan beritahu cikgu. Saya dah kenal dia sejak tingkatan 1 lagi. Dia memang macam tu.” Anas dengan yakin menyatakan pendapatnya.

“Suka hati cikgu nak paksa dia. Cikgu tahu apa cikgu buat.” Iman segera ke tempat Mujahid dan bertanya Sulaiman. Maaf Anas, hati seorang guru tak akan sama dengan hati seorang kawan yang dah lama kenal.

“Kenapa?”

“Mujahid bagitahu dia tak suka pelajar lelaki buli dia. Asyik dia je yang kena. Dia tak ada masalah dengan pelajar perempuan.”

“Buli macam mana tu?” Nur pula bertanya.

“Ada pelajar kelas ni buli dengan mengatakan Mujahid lah buat itu ini. Mujahid je pandai buat itu ini.”

“Bergurau tak bertempat ni…” Nur menjawab.

“Ini namanya gurauan tanpa akal. Bergurau senda adalah satu medium untuk mengeratkan silaturrahim. Tetapi, awak semua kena jaga adab-adab ketika bergurau. Sekiranya kawan awak tak suka gurauan macam tu, jangan buat!”

“Cikgu harap tak ada lagi isu macam ni berlaku. Mujahid dah ok ke?” Dia hanya angguk.

“Tolong pastikan kelas ni ada jadual kelas, jadual bertugas, sudut di belakang tu dipenuhi dan pastikan semua ni siap selepas cuti. So, awak semua ada dua minggu nak siapkan semua ni. Faham?” Iman bersuara ugutan.

“Faham cikgu!”

******

“To teach is to touch lives forever…”

Iman cuba memahami setiap pelajar di kelas yang dia pegang. Pelajar lelaki dan perempuan agak berbeza. Biasanya pelajar lelaki menimbulkan 1001 masalah terhadapnya. Pelajar perempuan baik sikit.

Bagi Iman, itu tanggungjawabnya untuk memastikan kelas tersebut ceria dan pelajar-pelajarnya pun ceria tanpa masalah.

Dia tahu ada segelintir pelajar tidak menyukai sikapnya yang memaksa pelajar. Dia jenis tak kisah pelajar tak suka dia asalkan dia boleh buat apa yang dia nak buat.

Contohnya kisah Waleed dan Haikal yang paling kerap tak hadir ke sekolah. Dia akan menelefon ibu masing-masing bertanya khabar mereka berdua. Dia turut menyoal siasat bertanya sebab tak datang ke sekolah dengan pelajarnya.

Dia tahu ada pelajar perempuan tak puas hati dengan sikapnya. Dia ada terbaca di Twitter. Entah mengapa dia merasakan pelajar tersebut tujukan status tersebut kepadanya. Dia turut terbaca di Wechat pelajarnya tentang guru kelas mereka tahun lepas.

“Rindu guru kelas tahun lepas…”

Hati guru mana tak terguris bila ada yang membandingkan dirinya dengan guru tahun lepas mereka. Hatinya pilu tetapi dia kuatkan hati menerima segala kekurangan dirinya.

******

Teringat Iman kisah jamuan akhir tahun mereka, Iman melihat sikap bekerjasama di antara pelajar lelaki dan perempuan.

Ada yang menyediakan air minuman, ada yang membakar ayam dan daging, ada yang membawa kek dan macam-macam lagi. Alhamdulillah… Iman puas hati dengan tanggungjawabnya untuk kelas tahun lepas.

Tahun ni dah nak SPM, semoga kejayaan cemerlang milik mereka, doanya dalam hati. Semoga semua dapat A untuk subjek Iman. Amin.

Tiba-tiba kedengaran pintu bilik guru diketuk. Dua orang pelajar perempuan datang berjumpanya.

“Kenapa cari cikgu?”

“Saya sebenarnya nak minta maaf tentang tahun lepas. Saya rasa dah banyak buat salah dengan cikgu. Saya nak minta maaf tetapi belum jumpa waktu yang sesuai. Saya rasa hari inilah paling sesuai memandangkan hanya ada cikgu je di dalam bilik ni.”

Iman pelik dengan pelajarnya. Baru je teringat kisah bersama kelas tahun lepas, terus muncul budak ni.

“Cikgu maafkan saya tau. Saya tak sedap hati tak minta maaf dengan cikgu. Hari tu hati saya tersentuh tengok kebaikan cikgu terhadap Ibtisam. Cikgu sanggup pergi ambil ubat di bilik cikgu untuk dia sebab dia sakit masa tu.”

“ Saya rindulah kenangan dengan cikgu tahun lepas. Ada kek atas meja dengan ucapan buat yang terbaik untuk peperiksaan. Ada kuih di atas meja dengan kad ucapan good luck semasa exam.” Kawannya bersuara pula.

“Cikgu, maafkan kami…”

Pelajar ini menangis teresak-esak meminta maaf. Air mata Iman jatuh jua. Mereka berpelukan. Iman dah lama memaafkan mereka. Mereka pelajar yang baik sebenarnya, cuma nakal sikit je.

Tugas seorang guru tak semudah hanya mengajar. Guru juga perlu membetulkan kesilapan pelajar supaya mereka menjadi insan berguna di dunia dan di akhirat. Semoga setiap pekerjaan kita menjadi saham pahala di akhirat nanti.

“Cikgu sayang kamu semua…”

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

7 points
Upvote Downvote

Total votes: 13

Upvotes: 10

Upvotes percentage: 76.923077%

Downvotes: 3

Downvotes percentage: 23.076923%