,

Kalau Tak, Sampai Sekarang Aku Rasa Memanah Tak Bermanfaat

“Zulaika, Sabtu ni jom kita pergi karnival sukan tu, nak?”

Suraya melabuhkan punggungnya di sisi katil. Zulaika kelihatan sedang asyik dengan novelnya.

“Sukan apa pula? Kau tahu kan, aku kurang suka bersukan,” jawab Zulaika masih terus membaca novel.

“Kita cuba memanah, nak?” Suraya kembali meneruskan hasratnya mahu mengajak Zulaika memanah di karnival itu anjuran Persatuan Memanah di kolejnya. Percuma dan terbuka untuk semua.

“Memanah? Yang macam Hawkeye dalam cerita Avengers tu ye? Dia panah laju!” Zulaika soalnya kembali. Novel dikatup dan diletakkan di atas katil.

Suraya terkebil-kebil cuba mengingat pula watak-watak Avengers. Haaa sudah, mana satu pula ni?

“Betullah tu. Nak tak?” Suraya mengiyakan sahaja.

“Menarik juga tu! Nak jadi macam Hawkeye! Nak jadi Avengers!” Zulaika tiba-tiba bersemangat.

“Cun! Lagipun free je. Bila lagi kita nak mencuba sukan kegemaran Rasulullah ni. Cikgu sukan tu bagitahu aku, banyak kelebihan kalau kita belajar memanah dan jadikan sukan ni hobi kita.”

“Eh, ye ke? Aku tahu memanah ni Nabi suka, tapi, apa kelebihannya? Ada ek? Aku ingatkan sebab guna dalam perang, sebab tu nampak macam hebat.”

“Banyak kelebihannya. Salah satunya, memanah ni dapat melatih emosi kita untuk meletakkan target pada satu-satu sasaran. Ia memerlukan jiwa yang tenang dan kawalan emosi yang baik bagi mengelakkan sasaran kita tersasar. Dengan sukan ini, kita dapat didik diri kita menjadi seorang yang tenang dan bijak kawal emosi. Jadi, apabila emosi kita mudah dikawal dan kita pun dapat bertenang dalam apa jua situasi, insya-Allah, kita akan mudah menjadi seorang yang pemaaf dan kurang nak marah-marah,” Suraya memberi penjelasan sebaiknya.

“Sungguh?” Zulaika terlopong mendengar.

“Aku first dengar pun macam kau juga. Betul ke cikgu ni? Kot dia kelentong aku kan. Tapi bila lama-lama aku dengar perkongsian dia, aku macam percaya kat dia dan rasa nak cuba dan alami sendiri ‘rasa’ tu,” ujar Suraya.

“Cikgu tu beritahu lagi, selain kawalan emosi, memanah juga menitik beratkan keseimbangan tubuh badan serta dapat membina fokus dan daya tumpuan. Yalah, nak panah kan, kenalah fokus dan perlukan kekuatan fizikal juga waktu nak lepaskan anak panah tu. Cikgu cakap, kalau orang tu selalu memanah, secara tak langsung akan mendidik diri melepasi segala rintangan dalam hidup ni dengan cara yang lebih tenang,” sambungnya lagi.

Best pula aku dengar kau cerita ni. Jarang-jarang orang nak kongsikan kelebihan sukan macam ni. Tapi macam betul, aku tengok Hawkeye tu pun tenang je. Senyap-senyap buat serangan dan tepat pula tu. Dahlah hensem!”

“Eh, ke situ pula dia! Rasulullah SAW kan dah jadi contoh, nak juga hadap Hawkeye tu,” Suraya sedikit mencebik. Zulaika ketawa kecil saat melihat Suraya terkejut begitu.

“Memanah ni sunah Nabi. Secara tak langsung juga, kita dapat pupuk diri kita mencintai dan menyukai sunah Nabi. Sesuatu yang Nabi ajarkan pada kita, bukanlah sia-sia, semuanya ada manfaat tersendiri. Ini juga boleh jadi terapi pada diri, kan?” Zulaika kembali bersuara.

“Pandai pun. Jom kita pergi hujung minggu ni nak? Ajaklah anak-anak buah kau sekali. Lepas tu kita kumpul duit dan belajar memanah ni. Amacam?” Suraya menyuarakan pendapatnya.

“Setuju! Semakin tak sabar nak tunggu karnival tu. Terima kasih sebab kongsikan dengan aku info ni! Kalau tak, sampai sekarang aku rasa memanah tu tak beri apa-apa manfaat pun,” Zulaika melemparkan senyuman pada sahabatnya itu.

“Jika perang dunia ketiga berjuang dengan senjata nuklear, yang keempat akan diperjuangkan dengan busur dan anak panah.” -Louis Lord Mountbatten-

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.