, ,

Bagi Kamu Agama Kamu, Dan Bagiku Agamaku

Kaum musyrikin sedar yang mustahil bagi kau muslimin untuk kembali semula pada agama nenek moyang mereka. Jadi, mereka memikirkan strategi yang lain.

Al-Aswad bin Abdul Muttalib, Al-Walid bin Al-Mughirah, Umayyah bin Khalaf, dan Al-Ash bin Wail mewakili kaum musyrikin untuk bertemu Rasulullah.

Mereka mencadangkan supaya mereka sembah apa yang Rasulullah sembah, dan Rasulullah sembah apa yang mereka sembah.

Kemudian, turun surah Al-Kafirun ayat 1 hingga 6.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

Surah Al-Kafirun telah jelaskan bahawa jalan kebenaran adalah satu, dan tak ada jalan keduanya, sebab ia adalah ibadah yang hanya dipersembahkan kepada Allah Yang Maha Esa.

Surah ni merupakan penolakan keras kepada para pemimpin musyrikin Quraisy bahawa tak ada persamaan atau pertautan demi kepentingan peribadi. Perbezaan antara jahiliah dan Islam adalah sangat jauh.

Satu-satunya jalan keluar adalah meninggalkan jahiliah dan masuk ke dalam Islam secara keseluruhannya. Sebab tu pada ayat terakhir surah Al-Kafirun secara jelas dinyatakan, “Bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku.”

Lepas tu, datang pula utusan lain yang memberi tawaran seterusnya iaitu meminta Rasulullah ganti beberapa ayat Al-Quran yang buat mereka marah, iaitu ayat-ayat berkaitan hinaan kepada tuhan-tuhan mereka.

Lalu, Allah turunkan pula surah Yunus ayat 15.

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia “. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, – jika aku menderhaka kepada Tuhanku, – akan azab hari yang besar (soal jawabnya)”.

Kesimpulannya, rancangan rundingan kaum musyrikin gagal dan tidak diterima Allah dan Rasulullah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr. Ali Muhammad As-Shallabi)