Kaum musyrikin ada membuat banyak permintaan, kononnya mereka akan beriman jika dikabulkan permintaan mereka.
Jom kita lihat… contoh-contoh permintaan mereka kepada Rasulullah.
- Pancarkan air kepada mereka dari dalam tanah untuk berikan mereka sumber mata air yang mengalir.
- Meminta supaya Rasulullah ada kebun yang di dalamnya ada kurma, anggur dan sungai-sungai yang mengalir di dalamnya.
- Turunkan dari langit bahagian yang kelak akan terjadi pada hari kiamat.
- Mendatangkan Allah dan Malaikat buat seketika.
- Memberikan rumah daripada emas.
- Memberikan tangga yang dapat digunakan untuk naik turun ke langit.
- Menurunkan Kitab dari langit untuk mereka baca, iaitu kitab yang ditulis di dalamnya untuk setiap orang satu lembar.
- Minta agar Rasulullah doakan mereka, agar gunung-ganang bergerak berjalan, bumi terbelah dan membangkitkan nenek moyang mereka yang telah mati.
Apa respon Rasulullah apabila diminta oleh kaum musyrikin permintaaan sebegitu?
Kata Baginda: “Bukan dengan ini aku diutus kepada kamu, tetapi aku diutus oleh Allah dengan apa yang Dia utus kepadaku, dan aku telah menyampaikan kepada kamu kerana itu aku diutus kepada kamu. Jika kamu menerima maka ia adalah kebahagiaan kamu di dunia dan akhirat, dan jika kamu menolaknya,maka aku bersabar sehingga Allah memutuskan perkara antara aku dan kamu.”
Antara hikmah tidak dikabulkan permintaan orang-orang kafir adalah kerana mereka bukannya meminta untuk diberikan petunjuk, tetapi hanya kerana untuk merendahkan Rasulullah.
Allah sendiri nyatakan bahawa mereka tetap tidak akan beriman walaupun mereka dapat apa yang mereka minta, malah mereka akan terus membangkang dan tetap berada dalam kesesatan.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr. Ali Muhammad As-Shallabi)